Pengguguran Janin di Malaysia Suatu Barah

Oleh: Mohd Faisal Bin Mustaffa

Pengguguran janin tidak berdosa semakin mudah dilakukan, terutama dengan kecanggihan perubatan moden pada alaf ini. Ia bukan sahaja boleh dilakukan melalui pembedahan, malah dengan penggunaan bahan kimia seperti pil-pil kontraseptif, alat intro-urine dan sebagainya. Di Malaysia, ia berlaku bagai barah yang bernanah dan merebak ke dalam masyarakat. Secara purata, pengguguran kandungan di seluruh dunia dianggarkan melibatkan 50 juta kes setiap tahun, iaitu sebanyak 30 juta melakukannya secara sah, sementara 20 juta lagi dibuat secara ‘haram’.

Baru-baru ini kita didedahkan dengan kegiatan menjual pil ‘cuci benih’ yang dilakukan oleh klinik-klinik bersalin swasta di ibu negara bagi memudahkan proses menggugurkan janin. Dengan hanya membayar RM 50, seseorang itu boleh membeli sehingga enam biji pil dan perlu dimakan dalam masa tiga hari sebelum dapat melihat kesannya. Malah, ia boleh dilakukan sendirian di rumah tanpa perlu mendapatkan khidmat doktor, serta tidak menyakitkan. Pil tersebut boleh menyebabkan goncangan pada rahim dan kandungan boleh terjejas dengan mudah.

Pengguguran janin yang berleluasa lazimnya dilakukan oleh wanita-wanita yang hamil di luar nikah bagi mengelakkan kandungan mereka diketahui umum dan mengakibatkan maruah tercalar. Selain itu, ia turut dilakukan oleh wanita-wanita yang sudah berkahwin, tetapi belum bersedia menimang cahaya mata dengan alasan ingin membina karier terlebih dahulu, atau bimbang dengan bebanan hidup yang akan bertambah.

Menurut Ketua Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof Dr Zainul Rashid Mohd Razi berkata, pengguguran janin boleh memberikan implikasi yang besar kepada pelakunya. Antaranya, boleh menyebabkan jangkitan kuman pada saluran peranakan, selain berpotensi mengalami pendarahan di dalam perut yang boleh menyebabkan wanita tersebut pengsan atau maut. Di samping itu, wanita tersebut juga sukar untuk mengandung lagi kerana proses pengguguran yang dialami sebelum ini boleh mengakibatkan usus dan rahim melekat, selain saluran ovari tersumbat. Sekalipun dia hamil, dia mungkin mengalami kehamilan di luar rahim. Sekiranya tidak, wanita tersebut juga berisiko mengalami kemandulan, di samping memberi kesan pada mental dan emosi setelah mendirikan rumah tangga. Apabila usia semakin meningkat, dia mungkin mengalami masalah psikologi seperti kemurungan lantaran asyik memikirkan kandungan yang pernah digugurkan itu.

Selain implikasi-implikasi tersebut, masyarakat kita seharusnya sedar bahawa pengguguran janin merupakan suatu dosa besar yang dilaknat Allah, kerana ia melibatkan nyawa manusia lain. Mufti Terengganu, Datuk Ismail Yahya berkata, walau sebesar mana pun janin dalam perut ibu, jika sudah mempunyai anggota badan atau bernyawa, menggugurknnya tetap berdosa besar (haram). Malah di dalam surah al-Isra’ ayat 31, Allah berfirman, bermaksud: ‘Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan. Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepada kamu.’

Dari segi undang-undang di Malaysia pula, pengguguran anak merupakan satu jenayah. Mengikut Seksyen 312, Kanun Keseksaan, orang yang menggugurkan anak boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali. Sebaliknya, jika wanita itu mengandung anak sudah bersifat, dia boleh dikenakan penjara sehingga tujuh tahun dan denda. Kesimpulannya, pengguguran janin merupakan satu jenayah yang mesti dibendung.

Sebagai anggota masyarakat, kita seharusnya peka dengan keadaan ini dan berusaha meningkatkan kesedaran terhadapnya dalam kalangan masyarakat setempat. Pengamal-pengamal perubatan juga sepatutnya mempunyai integriti dan tidak hanya memikirkan soal keuntungan.

About these ads
This entry was posted in Isu Nasional. Bookmark the permalink.

One Response to Pengguguran Janin di Malaysia Suatu Barah

  1. nauzubilliahhh…sedih sgat hati,, hmpir 3 tahun saya mengikuti dan cuba mencari jalan terbaik mengenai isu aborsi ni…sama-sama cari jalan penyelesaian wahai rakan perjuangan islamku..ingin saya kongsi bersama, purata setiap hari masalah pembuangan bayi semakin berleluasa setiap negeri namun di singapura, masyarakat islam boleh melakukan aborsi dengan cukup mudah..

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s