Profesion Keguruan: Integriti dan Autoritinya Tanggungjawab Bersama

Istilah ‘guru’ sering memberi gambaran tentang peranan utamanya dalam pembangunan sumber manusia, iaitu sebagai pendidik dalam proses pembentukan dan kematangan sahsiah para pelajar. Tidak dapat dinafikan bahawa profesion keguruan merupakan profesion utama dalam hidup kerana ia melibatkan proses penyerapan ilmu pengetahuan kepada individu-individu, anggota keluarga dan masyarakat yang seterusnya akan menentukan hala tuju sesebuah negara.


Tekad Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini untuk memartabatkan profesion keguruan merupakan niat murni yang mesti disambut bersama oleh segenap anggota masyarakat kerana tugas ini tidak mesti terbeban di pundak kerajaan semata-mata. Secara tidak langsung, gandingan bersama setiap anggota masyarakat ke arah meninggikan profesion keguruan merupakan salah satu bukti penghargaan mereka terhadap tenaga guru yang telah dicurahkan dalam proses menyampaikan ilmu pengetahuan dan mendidik anak-anak bangsa.


Selain itu, memartabatkan profesion keguruan adalah menjadi tanggungjawab semua pihak, sama ada daripada pihak pentadbir atau kerajaan, kalangan guru itu sendiri, anggota masyarakat mahu pun badan-badan bukan kerajaan (NGO) supaya integriti dan autoritinya sentiasa diyakini dan terpelihara. Hal ini merupakan perkara yang perlu dititikberatkan kerana sekiranya sesuatu pihak sudah tidak mempercayai dan meyakini integriti dan autoriti keguruan, maka sukarlah bagi guru untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Hasil pengajaran dan pembelajaran yang diterima pelajar pula akan dipersoalkan kesahihannya disebabkan kewibawaan profesion keguruan itu sendiri yang telah tercalar.


Dalam masa yang sama, kerajaan juga mengalami masalah dalam mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap kewibawaan guru. Pelbagai cara dan langkah terpaksa diambil dan dilaksanakan, yang ternyata menyebabkan kerajaan terpaksa mengeluarkan sejumlah perbelanjaan yang besar.


Oleh yang demikian, antara peranan yang boleh dimainkan oleh kerajaan dalam memartabatkan profesion keguruan ialah meningkatkan kandungan kursus-kursus pedagogi, pengurusan dan psikologi kepada guru-guru supaya ilmu-ilmu ini dapat diaplikasikan secara praktikal dalam pengajaran di kelas-kelas. Selain itu, kerajaan melalui Kementerian Pelajaran haruslah memperkukuh dan memperkemaskan sistem pengawasan dan pemantauan ke atas guru-guru bagi memastikan mereka melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik dan penuh dedikasi. Hal ini juga adalah bagi mengelakkan para guru menyeleweng daripada tugas yang telah diamanahkan.


Guru juga perlu berperanan dengan menambah ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang, terutamanya bidang pengkhususan masing-masing. Hal ini akan menambah keupayaan guru dalam menyampaikan ilmu pengetahuan dengan lebih berkesan kepada para pelajar. Di samping itu juga, guru haruslah mempelbagaikan pendekatan, kaedah dan teknik semasa proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) supaya pengajaran guru dapat diterima dan dihayati dengan baik oleh pelajar, di samping memenuhi objektif sesuatu pengajaran. Antara lain yang harus dititikberatkan guru ialah mendisiplinkan diri mereka sendiri, dan dalam masa yang sama juga perlu mendisiplinkan para pelajar kerana mereka akan menjadi contoh ikutan buat para pelajar. Dalam hal ini, pepatah Arab ada menyatakan bahawa: “Jangan lakukan perbuatan yang anda tegah. Perbuatan demikian aibnya amatlah parah.”


Anggota masyarakat turut memainkan peranan yang penting dalam membantu memartabatkan profesion keguruan. Institusi-institusi seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), dengan kerjasama badan-badan bukan kerajaan (NGO) juga perlu sentiasa mengambil tahu proses pendidikan di sekolah-sekolah, memberi maklumat dan kerjasama kepada guru-guru dalam menjalankan aktiviti atau program pembinaan ilmu dan sahsiah dalam kalangan pelajar. Jika kita hanya mengharapkan guru bagi menangani semua masalah berkaitan pelajar tanpa bantuan pihak-pihak luar, ternyata keadaan ini amat rumit dan sukar mencapai kejayaan.


Justeru, peranan semua pihak merupakan faktor utama dalam memartabatkan profesion keguruan seperti mana yang ditekadkan oleh kerajaan. Ini kerana profesion keguruan itu sendiri merupakan satu profesion mulia yang sewajarnya diangkat dan disanjung. Ketinggian profesion ini telah dinyatakan melalui sabda Rasulullah SAW: “Orang yang mengajar orang lain akan kebaikan, seluruh makhluk Allah termasuk ikan di laut memohon keampunan Allah untuknya.”

About these ads
This entry was posted in Isu Nasional. Bookmark the permalink.

One Response to Profesion Keguruan: Integriti dan Autoritinya Tanggungjawab Bersama

  1. Huraian jelas dan membantu.Sebagai guru tanggungjawab amat diutamakan dan usaha mentransformasi diri dipertingkatkan.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s