Ranking Universiti dan Budaya Intelektualisme

Oleh:Mohd Faisal B Mustaffa
Baru-baru ini, Times Higher Education Supplement (THES) tidak menyenaraikan walau satu pun universiti di Malaysia dalam ranking 200 universiti terbaik dunia 2007. Ini merupakan satu kekecewaan yang amat besar buat negara Malaysia yang menjadikan minda kelas pertama sebagai salah satu teras utama Misi Nasional yang terkandung dalam matlamat Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Kaedah ranking ini dibuat oleh Ququarelli-Symmonds (QS), sebuah syarikat swasta British bagi pihak THES. Beberapa pihak kelihatan menggunakan alasan dengan menyalahkan kaedah yang diguna pakai oleh institusi ini menyebabkan ranking hampir keseluruhan universiti yang tersenarai dalam 20 universiti terbaik dunia juga berubah. Namun menurut THES, kaedah tersebut diubah untuk menjadikan kajian mereka lebih tepat. Justeru, siapa yang harus dipersalahkan di atas kemerosotan pencapaian universiti-universiti kita, khasnya Universiti Malaya yang pernah menduduki ranking ke 89 daripada 100 universiti terbaik dunia pada tahun 2004? Adakah kita perlu menyalahkan Naib-naib Canselor, Timbalan-timbalan Naib Canselor dan para pentadbir universiti? Atau adakah mahasiswa sendiri yang perlu dipersalahkan? Sekarang, usahlah kita saling menuding jari menyalahkan di antara satu sama lain, tetapi ayuhlah bersama-sama mencari jalan untuk menaikkan kembali imej universiti kita, khasnya Universiti Malaya yang pernah tersohor dengan jolokannya sebagai ‘Universiti Perdana.’

Mempergiatkan usaha penyelidikan oleh para pensyarah dan mahasiswa amat perlu bagi menaikkan semula ranking Universiti Malaya. Seandainya banyak penemuan yang berjaya diperolehi melalui kajian dan penyelidikan, ini akan membantu untuk membina, mempertahankan dan memperkembangkan peradaban negara, kerana kekukuhan sesuatu peradaban sangat bergantung pada kekuatan golongan intelektualnya. Sebagai contoh, kewujudan ‘Darul Hikmah’ pada zaman Abbasiyah merupakan satu usaha dalam mendukung budaya intelektualisme pada masa itu, begitu juga ‘A House of Medicine’ di Itali pada zaman Renaissance yang merupakan penganjur program berunsurkan intelektualisme dan ia sanggup menderma kepada pelbagai pihak yang berusaha mewujudkan persekitaran dan institusi intelektualisme. Dalam hal ini, di Malaysia perlu diwujudkan satu badan intelektual sebegini, yang mana akan berperanan sebagai pembiaya bagi sesuatu kajian penyelidikan dan kegiatan intelektualisme lainnya. Ini merupakan satu langkah yang harus diambil dan diteliti oleh kerajaan.

Selain itu, setiap orang daripada kita, sama ada para pentadbir universiti dan mahasiswa haruslah mempunyai pemikiran strategik dan berpandangan jauh. Dengan demikian, setiap satu agenda yang akan direncanakan merupakan pecahan bahagian daripada kerangka gagasan besar yang bertujuan untuk memantapkan nilai tinggi yang ada dalam peradaban. Dalam sejarah peradaban Islam, barisan tokoh besar Islam seperti Ibnu Sina, Ibnu Rusyd dan lain-lain merupakan golongan intelektual yang bertanggungjawab menerapkan nilai Islam yang tinggi dalam kehidupan bagi memastikan kelangsungan masyarakat Muslim pada setiap zaman. Ini merupakan salah satu peranan atau usaha yang harus dititikberatkan oleh golongan terpelajar, iaitu menerapkan nilai-nilai Islam ke dalam masyarakat.

Jika disoroti mekanisme yang pernah digunakan oleh Imam Al-Ghazali dan intelektual Islam seangkatan dengannya dalam memantapkan peradaban Islam, mereka telah menggunakan kaedah penulisan, iaitu dengan menghasilkan karya-karya agung dan muktabar, serta mereka terkenal sebagai penulis yang prolifik. Ini adalah kerana hasil penulisan atau himpunan karya besar merupakan ‘senjata utama’ untuk berdepan dengan realiti cabaran luar, seperti penularan pengaruh ideologi dan budaya Barat. Keadaan inilah yang sepatutnya dicontohi oleh golongan intelektual kita demi membangunkan dan memajukan kembali keunggulan universiti dalam negara. Inilah antara beberapa usaha dan peranan yang harus dimainkan oleh pihak kerajaan, para pentadbir universiti dan mahasiswa untuk meningkatkan peradaban bermula pada peringkat universiti, seterusnya ke dalam masyarakat dan negara. Dengan demikian, pasti universiti-universiti di Malaysia akan mampu bersaing dengan universiti-universiti luar serta dapat merampas kedudukan di antara 200 universiti terbaik dunia.

Untuk akhirnya, selamat bercuti diucapkan kepada semua mahasiswa APIUM yang telah selesai menduduki peperiksaan semester. Isilah masa cuti dengan sebarang aktiviti bermanfaat yang mampu memberi faedah kepada diri dan keluarga, khususnya. Tidak dilupakan kepada pasangan mahasiswa yang telah dan akan diijabkabulkan dalam masa terdekat ini. Selamat pengantin baru diucapkan, dengan harapan jodoh berpanjangan dan berkekalan.

Sekian.

Advertisements
This entry was posted in Cetusan Idea. Bookmark the permalink.

One Response to Ranking Universiti dan Budaya Intelektualisme

  1. Cahaya Kesempurnaan berkata:

    Cuma seperkara yang ingin saya perdendangkan ialah kita menyedari Ibnu Rusyd, Ibnu Sina, Imam Syafie dan lain-lain lagi intektual Islam pada zaman lampau begitu “gah” dengan ilmu yang mereka ada tetapi mereka ada sesuatu yang tersirat yang perlu kita rungkai bersama.

    Apa yang saya maksudkan ialah mereka ini iaitu ilmuan Islam pada zaman lampau tidak sesekali memperdahulukan akal fikiran daripada “anugerah” yang Allah berikan.

    Kita pada hari sibuk memikirkan cara dan usaha ke arah pembentukan kualiti Mahasiswa atau Universiti dan pada masa yang sama membelakangkan “anugerah” Allah. Maka gunalah apa cara sekalipun tentu sahaja segala itu tidak berjaya dan gagal.

    Mungkin di peringkat sebagai Mahasiswa, kita boleh mempersoalkan bahawa kita tidak berdaya untuk ke arah pembangunan “anugerah” Allah. Namun adakah alasan itu bakal di terima oleh Allah kelak.

    Maka dengan itu perlu tindakan demi tindakan untuk ke arah pembangunan “anugerah” Allah. Persoalannya lagi, apakah segala bentuk tindakan kita selama ini selari dengan kehendak ke arah mewujudkan satu bentuk sistem yang mana “anugerah” Allah itu sumber rujukan kita?

    Mukaddimah kepada perbincangan ini ialah menelusuri ilmuan Islam pada zaman lampau yang sentiasa kita perbincangkan ialah akal tidak boleh mendahului “anugerah” Allah. Perkara ini jika tidak berlaku, maka tunggulah laporan daripada Times Higher Education Supplement (THES), penulis yakin akan wujud satu bentuk anjakan pradigma.

    -Sekadar perkongsian-

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s