Gunakan sistem penilaian universiti di sekolah

SAYA menyokong penuh tulisan Faisal Mustaffa – Padah ghairah budaya ‘A’ yang tersiar di ruangan ini pada 18 Januari 2007. Sudah tiba masanya sistem pendidikan kita tidak hanya ditekankan kepada soal mengejar ‘A’ kerana ia hanya menjadikan pelajar tertekan, terkongkong dan tidak berupaya untuk menjadi lebih kritis. Saya merasakan ukuran kecemerlangan bukanlah sesuatu yang hanya boleh ditakrifkan melalui deretan ‘A’ yang tertera dalam slip peperiksaan atau rekod kemajuan pelajar.

Kecemerlangan mempunyai ukuran yang relatif dan subjektif sifatnya. Tidak bermakna seorang pelajar yang gagal mendapat ‘A’ merupakan pelajar yang kurang cemerlang dan tidak pula bermakna seorang pelajar yang mempunyai belasan ‘A’ boleh dinobatkan sebagai yang terbaik.

Kalau Ali mendapat ‘A’ dalam mana beliau merupakan anak orang berada dan dikelilingi dengan sokongan material dan kemudahan pembelajaran yang lengkap, ia mungkin berbeza dengan Abu yang mendapat ‘B’ dalam keadaan keluarganya yang susah, belajar di sekolah pedalaman dan terkebelakang daripada segala kemudahan seperti yang dinikmati Ali.

Puas dipaparkan bagaimana objektif sistem pendidikan negara haruslah bermatlamatkan untuk melahirkan insan yang seimbang dari setiap aspek.

Walaupun tidak mungkin matlamat ini dapat dicapai keseluruhannya memandangkan sifat kita sebagai manusia yang kekal mempunyai kelemahan dan kekurangan, namun keghairahan menjadikan ‘A’ sebagai kayu pengukur utama perlu diperbetulkan.

Saya bersetuju dengan pandangan Faisal Mustaffa bahawa asas atau landasan yang paling perlu ditekankan ialah keperluan melihat semula ‘keupayaan sebenar’ pelajar oleh ibu bapa.

Tidak mendapat banyak atau jejeran ‘A’ bukanlah bermakna seseorang pelajar itu tidak bijak. Tidak menghairankan apabila sesuatu keputusan rasmi peperiksaan utama diumumkan, yang sering dipaparkan ialah pelajar yang mempunyai bilangan ‘A’ yang paling banyak.

Tidak ada salahnya dengan pengiktirafan dan publisiti yang diberikan. Namun ia sudah menjurus kepada kecenderungan yang tidak sihat. Jika sudah sampai tahap terdapatnya pelajar yang membunuh diri kerana gagal mengejar ‘A’, ia adalah sesuatu yang amat menyedihkan.

Ibu bapa dan pelajar harus ingat bahawa ia bukanlah ‘pengakhiran dunia’. Mengambil contoh diri sendiri, saya bukanlah pelajar yang cemerlang sewaktu di alam persekolahan malah merupakan antara pelajar ‘bermasalah’ baik dari segi pengajian dan kenakalan.

Namun kerana kesedaran dan keupayaan yang datang beransur-ansur, saya berjaya menjadi pelajar terbaik (pengiktirafan yang saya sendiri sangsikan kerana saya tetap menganggap ada yang lebih baik daripada saya) di peringkat diploma, ijazah pertama dan seterusnya kini berpeluang menyambung pengajian di universiti luar negara.

Terkejut

Hampir semua guru, rakan dan saudara mara terkejut dengan apa yang saya capai. Antara sebab utama yang boleh saya simpulkan ialah tidak wujudnya paksaan dan sikap menekan ibu bapa saya dalam setiap peringkat pengajian yang saya lalui.

Biarlah kecemerlangan itu bersikap realistik.

Tidak cemerlang di alam persekolahan tidak perlu dijadikan satu premis atau kebimbangan bahawa masa depan seseorang pelajar akan kekal sedemikian sehingga ke peringkat universiti atau berkerjaya. Tanyalah Tun Dr. Mahathir Mohamad yang pernah gagal dalam subjek pengajian perubatannya? Adakah kegagalan itu pernah memberi kesan kepada sumbangan dan keupayaannya setelah memimpin negara? Saya kerap diberitahu oleh beberapa sarjana bahawa tidak semua pelajar cemerlang berjaya mengekalkan prestasinya di universiti.

Sehubungan itu, saya menyeru agar sistem penggredan persekolahan dapat diperhalusi semula bagi mencerminkan keupayaan sebenar pelajar dan agar pelajar yang mendapat kurang ‘A’ tidak berasa demoralized. Mungkin kita boleh mengadaptasikan sistem penilaian universiti di mana pelajar dinilai secara berterusan melalui pelbagai kaedah penilaian.

Walaupun peperiksaan dan kokurikulum masih memainkan peranan penting, ia haruslah dilengkapkan dengan kaedah penilaian lain seperti penulisan esei, diskusi berkumpulan, pembentangan dan kerja lapangan yang semuanya diambil kira dalam penggredan akhir.

Sememangnya saya mengakui tidak ada kaedah untuk menilai kecemerlangan mutlak seseorang pelajar. Namun saya berpandangan sistem penggredan yang ada mungkin dapat diperbaiki agar stigma budaya ‘A’ ini tidak terus menekan pelajar dan ibu bapa.

– ISMARIAH ZAINAL ABIDIN,

University of Sheffield,

United Kingdom.

This entry was posted in Artikel. Bookmark the permalink.

One Response to Gunakan sistem penilaian universiti di sekolah

  1. NURUL MUNAWIRAH says:

    sependapat.apa kata akk cadangkan, suarakan betul2 sampai kementerian berkenaan cakne?doakan ,kalau tak jadi menteri besaq pun jadi menteri pendidikan pun ok.jgn berhenti berjuang!akk sokong!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s