Padah ghairah budaya ‘A’

Seperti halnya kedahagaan kepada air, kedahagaan ilmu juga menuntut usaha menghilangkan kedahagaan. Caranya adalah dengan ‘meminum ilmu’. Kedahagaan kepada ilmu juga boleh ‘mengenyangkan’ minda, fikiran, intelektualisme dan kerohanian.

Begitu menurut ungkapan pemikiran kreatif, Jaafar Abdul Rahim.

Malah menurut beliau, kedahagaan ilmu melibatkan proses pencarian ilmu yang tiada penghujungnya. Semakin dicari, semakin banyak yang tidak diketahui-itulah ilmu.

Namun, melihat realiti rakyat Malaysia hari ini, kedahagaan ilmu seolah-olah tidak wujud melainkan segelintir kelompok kecil. Yang menjadi amalan dan budaya masyarakat sebenarnya boleh diumpamakan seolah menimba ilmu untuk dicurah ke pasir kemudiannya.

Masyarakat lebih mengagungkan budaya ‘A’ dalam pelajaran sehingga budaya ini mendatangkan kesan negatif kepada ibu bapa dan pelajar itu sendiri.

Buktinya, seorang pelajar lepasan UPSR tahun 2007, Subashini a/p G. Sivakumar, dijumpai tergantung di jeriji tingkap bilik tidur dengan sehelai kain selimut, gara-gara tidak mendapat 4A dalam UPSR seperti yang diharapkannya.

Ini menunjukkan bahawa dewasa ini, pelajar hanya mengejar ‘A’ dalam peperiksaan berbanding mengejar penguasaan terhadap ilmu itu sendiri. Hal demikian lazimnya bakal melahirkan pelajar yang lemah penguasaan terhadap ilmu sebaik sahaja selesai menduduki sesuatu peperiksaan, kerana pelajar sekadar belajar untuk mendapat keputusan yang terbaik dalam peperiksaan, bukan untuk diamalkan dalam kehidupan.

Menurut Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Mohamed, peningkatan kes bunuh diri perlu diberi perhatian serius dan memerlukan penyelesaian segera.

Punca

Dalam pada itu, Mayo Foundation for Medical Education and Research yang berpangkalan di Amerika mendapati kes bunuh diri dalam kalangan remaja berusia antara 15 hingga 24 tahun tidak terlalu menonjol pada awal 1990-an tetapi berlaku peningkatan selepas tahun 2000 dengan jumlah 132,000 kes direkodkan di seluruh dunia.

Antara puncanya ialah tekanan perasaan, kemurungan, trauma, pengasingan dan kekecewaan. Tidak dinafikan bahawa tekanan perasaan dan kekecewaan yang dialami pelajar setelah mengalami kegagalan dalam peperiksaan turut terangkum dalam punca-punca tersebut. Kajian turut mengaitkan perubahan sosiobudaya, ekonomi mahupun penarafan tinggi oleh institusi pendidikan menjadi punca remaja semakin tertekan dan gagal menyesuaikan diri.

Selain itu, tekanan yang dialami pelajar lantaran terpaksa memenuhi pengharapan ibu bapa yang tinggi turut menjerumuskan pelajar ke kancah bunuh diri. Hal ini demikian, ibu bapa menganggap jika gagal akademik, masa depan anak-anak mereka akan gelap dan sukar mendapat peluang pekerjaan kelak.

Ini ternyata memberi tekanan kepada anak-anak untuk berusaha mencapai keputusan cemerlang. Sekiranya tidak lulus, seluruh keluarga akan menanggung malu dan dipandang rendah oleh masyarakat.

Ternyata, pembelajaran berorientasikan peperiksaan, iaitu sekadar mahu mengejar ‘A’ dalam peperiksaan mengundang gejala negatif dalam masyarakat.

Justeru, sebagai ahli komuniti dalam masyarakat, perkara ini perlu segera diatasi dengan memikirkan langkah penyelesaiannya. Antaranya ialah melalui peranan ibu bapa. Dalam hal ini, ibu bapa perlu bersikap terbuka, memahami keupayaan anak, jangan terlalu mendesak atau meletakkan sasaran yang tinggi.

Mereka perlu mengubah mentaliti sebelum ini yang menganggap kegagalan bermakna tidak berguna.

Institusi persekolahan pula seharusnya memberi sokongan, mendengar permasalahan pelajar, memberi dorongan dan kata nasihat sekiranya pelajar gagal. Secara tidak langsung, pelajar akan rasa dihargai dan masih berpeluang untuk meraih kejayaan.

Namun yang paling penting ialah didikan agama yang secukupnya perlu diterapkan oleh ibu bapa kepada anak-anak, supaya anak-anak tahu konsep dosa dan pahala, sekali gus menghindarkan diri daripada perkara-perkara yang ditegah agama.

Kesimpulannya, sekiranya kita mahu melahirkan individu bersahsiah seimbang, bukanlah tertumpu kepada kecemerlangan akademik semata-mata, tetapi juga perlu cemerlang dari segi sosial dan emosi. Keghairahan masyarakat terhadap budaya ‘A’ seharusnya mencakupi integrated knowledge, iaitu kesepaduan ilmu yang menyeluruh, merangkumi keseluruhan sistem hidup.

Dengan demikian, kes bunuh diri dalam kalangan pelajar mungkin dapat dikurangkan kerana para pelajar menyedari peranan mereka masih belum berakhir sekalipun gagal dalam akademik.

– MOHD. FAISAL MUSTAFFA,

Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya,

Kuala Lumpur.

Tersiar dalam utusan Malaysia 18 jANUARI 2007

Advertisements
This entry was posted in Artikel. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s