ASHAB AL-UKHDUD DALAM AL-QURAN

Allah merakamkan kisah Ashab al-Ukhdud seperti yang terdapat dalam Surah Al-Buruj ayat 4-8 yang bermaksud :

Celakalah kaum yang menggali parit. (Parit) api yang penuh dengan bahan bakaran. (Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya. Sambil mereka melihat apa yang mereka lakukan kepada orang-orang yang beriman. Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang Yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!

PERBEZAAN PENDAPAT MENGENAI ASHAB AL-UKHDUD

Terdapat perbezaan pendapat mengenai kisah Ashab al-Ukhdud. Berpandukan ayat tadi, terdapat beberapa penafsiran mengenai “yang menggali parit” dalam ayat keempat daripada surah al-Buruj.

Pendapat Pertama

Menurut satu penafsiran daripada Saidina Ali bin Abi Talib, yang empunya parit itu ialah salah seorang daripada raja-raja Parsi pada zaman purbakala yang mendesak ulama’-ulama’ supaya menghalalkan orang mengahwini mahramnya. Namun, ulama’-ulama’ tersebut tidak mahu menghalalkan perkara yang haram itu kerana yang empunya peraturan itu bukan mereka tetapi Allah. Oleh kerana ulama’-ulama’ itu tidak mahu berbuat demikian maka raja itu telah murka. Lalu baginda bertitah supaya digali parit dan dinyalakan api di dalamnya. Seterusnya, ulama’-ulama’ tadi dilemparkan ke dalam parit tersebut. Akhirnya, habislah ulama’-ulama’ yang mempertahankan kebenaran tadi mati terbakar.

Pendapat Kedua

Menurut satu riwayat pula daripada Saidina Ali bin Abi Talib juga, pada zaman purbakala, pernah terjadi di Yaman peperangan antara kaum yang beriman kepada Allah Yang Maha Esa dengan kaum yang mempersekutukan Allah (musyrikin). Oleh kerana golongan beriman sedikit dan golongan musyrikin ramai, maka kalahlah golongan yang beriman. Lalu dengan kejamnya golongan musyrikin itu menangkap, menawan dan menghukum golongan yang beriman tadi. Mereka menggali parit, menyalakan api di dalamnya dan seterusnya mereka melemparkan golongan beriman tadi satu persatu ke dalamnya.

Pendapat Ketiga

Ahmad Mustafa Al-Maraghiy dalam tafsirnya pula menjelaskan, kejadian ini telah berlaku di Yaman hingga ke Najran. Kisah tersebut adalah mengenai pemeluk agama Nabi Isa berdakwah kepada kaumnya yang masih beragama Yahudi. Dia memberitahu bahawa Allah telah mengutus Nabi Isa dengan syariat baru, bagi mengganti syariat mereka. Sebahagian kaum ini beriman. Kejadian ini sampai kepada Raja Dhu Nuwas, seorang yang beragama Yahudi. Baginda segera datang bersama tenteranya dari kota Himyar. Ketika orang itu ditangkap, mereka disuruh memilih antara tetap menganut agama Yahudi atau dibakar.

Mereka dibuatkan parit, lalu dipenuhi bahan bakar dan dinyalakan. Kemudian, seorang daripada orang yang beriman itu dibawa ke parit lalu disuruh membuat pilihan. Orang yang gentar melihat api dan takut akan seksaan, kembali menganut agama Yahudi. Akan tetapi, orang yang tetap teguh kepada nabi Isa dan menganggap ringan seksaan dunia kerana keyakinan mereka terhadap pahala yang telah Allah janjikan, mereka sanggup dilemparkan ke dalam api sampai binasa.

Pendapat Keempat

Terdapat dalam hadis yang menceritakan tentang seorang anak kecil yang kuat imannya dan telah menerima banyak pertolongan daripada Allah sehingga terlepas daripada pelbagai bahaya. Anak kecil tadi akhirnya mati dibunuh setelah raja yang menyuruh untuk membunuh anak kecil tadi membaca suatu pengakuan atas keesaan Allah.
Kisah tersebut berkisar mengenai anak kecil itu, rahib yang mengajarnya ilmu agama, dan ahli sihir. Ramai manusia ketika itu telah beriman setelah meyakini kebenaran yang dianuti oleh anak kecil tersebut. Sehingga akhirnya, berita keimanan mereka tadi telah sampai kepada raja. Akibat tidak mahu kembali kepada agama asal, mereka dihumban ke dalam parit yang dipenuhi dengan api yang marak menyala.

Pendapat Kelima

Ibnu Kathir pula menyatakan dalam tafsirnya, penggalian parit dan pembakaran terhadap orang yang beriman yang teguh pada keyakinannya itu bukanlah hanya berlaku sekali tetapi berkali-kali. Ibnu Kathir menyalinkan keterangan daripada Abi Hatim bahawa penggalian parit pembakaran itu pernah terjadi di Yaman pada zaman raja-raja Tubba’ serta di Constantinople pada zaman Konstantin memaksa orang Nasrani melepaskan kepercayaan mereka yang asli tentang Tauhid.

Kejadian tersebut juga pernah berlaku di Iraq iaitu di negeri Babil pada zaman Raja Buchtinashr (Nabukadnesar) yang membuat berhala dan memaksa orang menyembah berhala itu. Maka Nabi Danial tidak mahu mengorbankan kepercayaannya kepada Allah Yang Maha Esa bersama kedua temannya ‘Izriya dan Mikhail. Lalu dibuat parit dan dimasukkan kayu kering kedalamnya serta dihidupkan api. Ketiga-tiga mereka tadi kemudiannya dimasukkan ke dalam api tadi. Namun, sesampai mereka dalam api yang menyala tadi, mereka tetap hidup dengan segar dan keluar dengan selamat sedangkan bersama-sama ketiga mereka yang beriman tadi dimasukkan juga sembilan orang yang dianggap pemberontak kepada raja. Tetapi, kesemua sembilan orang yang dianggap pemberontak tadi hangus terbakar.
Advertisements
This entry was posted in Tazkirah. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s