Hadis Berkenaan Ashabul Ukhdud

Haddab bin Khalid menceritakan kepada kami daripada Hammad bin Salamah daripada Tsabit bin Abdul Rahman bin Abu Laila daripada Suhaib bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
Pada zaman sebelum kamu, ada seorang raja yang mempunyai seorang ahli sihir. Apabila ahli sihir tersebut telah tua, dia berkata kepada raja, “usiaku telah lanjut, berilah kepadaku seorang ghulam yang dapat aku ajarkan kepadanya ilmu sihir.” Maka diberikan kepadanya seorang ghulam untuk diajarkan ilmu sihir kepadanya. Dalam perjalanan menuju kepada ahli sihir terdapat seorang rahib. Maka ghulam bertemu dengannya, mendengar pengajarannya dan tertarik dengannya. Setiap kali ghulam mendatangi ahli sihir, dia akan melalui rahib dan bertemu dengannya. Apabila dia mendatangi ahli sihir, maka dia dipukul. Lalu dia mengadu perkara tersebut kepada rahib.
Rahib menjawab, “apabila kamu takut kepada ahli sihir, maka katakanlah, keluargaku menyebabkan aku terlewat. Apabila kamu takut kepada keluargamu, maka jawablah ahli sihir menyebabkan aku pulang lewat.” Keadaan tersebut berterusan sehiggalah pada suatu hari dia bertemu dengan seekor binatang besar yang menghalang perjalanan orang ramai. Ketika itu, ghulam tersebut berkata, “pada hari ini aku akan mengetahui adakah ahli sihir yang lebih afdhal ataupun rahib yang lebih afdhal.” Maka dia mengambil seketul batu lalu berdoa,”Ya Allah, sekiranya urusan rahib lebih Kamu sukai daripada urusan ahli sihir, maka bunuhlah binatang ini sehingga orang ramai dapat lalu lalang.” Dia pun melontarnya, maka binatang tersebut mati dan orang ramai dapat lalu lalang.
Lalu dia menceritakan perkara tersebut kepada rahib. Maka rahib berkata, “Wahai anakku, kamu pada hari ini adalah lebih afdhal daripadaku. Sesungguhnya aku melihat bahawa urusanmu telah sampai pada satu peringkat. Kamu akan diuji. Sekiranya kamu diuji, janganlah kamu menceritakan tentang aku”. Ghulam tersebut mempunyai kebolehan mengubati penyakit buta semenjak lahir, sopak dan dia juga mengubati pelbagai lagi penyakit.

Seorang pembesar diraja yang sentiasa bersama raja telah mendengar kisah kebolehan ghulam. Beliau adalah seorang buta. Lalu beliau mendatanginya dengan membawa hadiah yang banyak. Beliau berkata, “semua yang aku kumpulkan ini adalah untuk kamu sekiranya kamu dapat menyembuhkan aku.” Ghulam menjawab, “aku tidak boleh menyembuhkan seseorang pun. Yang menyembuhkan hanyalah Allah. Apabila kamu beriman kepada-Nya, aku akan berdoa kepada-Nya, maka Dia akan menyembuhkan kamu.” Lalu beliau beriman, maka Allah menyembuhkan penyakitnya. Kemudian beliau mendatangi majlis raja. Beliau duduk di sisi raja sebagaimana sebelumnya. Raja berkata kepadanya, “wahai fulan, siapakah yang telah mengembalikan penglihatanmu?” Beliau menjawab, “Tuhanku.” Raja bertanya lagi, “adakah kamu mempunyai tuhan selainku?”

Beliau menjawab, “tuhanku dan tuhanmu adalah Allah.” Beliau terus menerus diseksa sehinggalah beliau menceritakan tentang ghulam. Maka ghulam pun dibawa mengadap. Raja berkata kepadanya, “wahai anakku, sesungguhnya sihir kamu telah sampai ke peringkat dapat menyembuhkan penyakit buta, sopak dan pelbagai lagi yang kamu lakukan.” Ghulam menjawab, “aku tidak boleh menyembuhkan sesiapa pun. Yang menyembuhkan hanyalah Allah.” Maka dia pun diseksa. Dia terus-menerus diseksa sehinggalah dia menceritakan tentang rahib. Maka rahib dipanggil lalu dikatakan kepadanya, “tinggalkan agamamu.” Rahib enggan berbuat demikian lalu dibawa gergaji dan diletakkan di tengah-tengah kepalanya sehinggalah tubuhnya terbelah dua.

Kemudian dibawa pembesar diraja dan dikatakan kepadanya, “Tinggalkan agamamu.” Dia enggan lalu diletakkan gergaji di tengah-tengah kepalanya sehinggalah tubuhnya terbelah dua. Selepas itu ghulam dibawa dan dikatakan kepadanya, “tinggalkan agamamu.” Dia enggan lalu dia diserahkan kepada sekumpulan tentera raja. Raja berkata, “pergilah kamu semua membawa ke bukit sekian-sekian. Dakilah ia. Apabila kamu sampai kemuncaknya, jika dia meninggalkan agamanya (maka jangan apa-apakan dia), jika tidak, maka campakkanlah dia. Mereka pergi membawanya dan mendaki bukit tersebut.

Ghulam pun berdoa, “Ya Allah, selamatkanlah aku dengan cara apa jua yang kamu sukai.” Lalu bukit bergoncang dan mereka semua jatuh. Ghulam pun pulang untuk menemui raja. Rja berkata kepadanya, “apa yang telah dilakukan oleh kawan-kawan kamu?” Ghulam menjawab, “Allah telah menyelamatkan aku daripada mereka.” Lalu dia dihantar kepada sekumpulan tentera yang lain. Raja berkata, “pergilah kamu semua membawanya ke sampan. Bawalah dia ke tengah lautan, jika dia meninggalkan agamanya (maka jangan apa-apakan dia), jika tidak, campakkan dia ke laut. Maka mereka pergi membawa ghulam lalu dia berdoa, “Ya Allah, selamatkanlah aku dengan apa cara yang Kamu sukai.” Maka sampan pun terbalik dan mereka semua tenggelam. Ghulam pun pulang untuk menemui raja. Raja berkata kepadanya, “apakah yang dilakukan oleh kawan-kawan kamu?” Dia menjawab, “Allah telah menyelamatkan aku daripada mereka.”

Kemudian dia berkata kepada raja, “sesungguhnya kamu tidak boleh membunuh aku sehingga kamu melakukan apa yang aku suruh.” Raja berkata apakah dia?” Ghulam menjawab, “kamu kumpulkan orang ramai di suatu kawasan lapang dan kamu salibkan aku pada sebatang pokok. Kemudian kamu ambil anak panahku daripada bekasnya, dan letakkan pada busarnya. Selepas itu sebutlah, “dengan nama Allah, Tuhan ghulam dan panahlah aku. Sekiranya kamu melakukan yang demikian, kamu boleh membunuhku.” Maka raja pun mengumpulkan orang ramai di suatu kawasan lapang,menyalibnya pada sebatang pokok, kemudian mengambil anak panah kepunyaan ghulam daripada bekasnya dan meletakkan pada busarnya.

Selepas itu raja berkata, “dengan nama Allah, Tuhan ghulam,” sambil melepaskan anak panah menuju sasarannya.anak panah tersebut kena pada bahagian di antara mata dan telinga ghulam lalu dia meletakkan tangannya pada tempat panahan dan meninggal. Orang ramai pun berkata, “Kami beriman dengan tuhan ghulam. Kami beriman dengan tuhan ghulam. Kami beriman dengan tuhan ghulam.” Maka raja pun datang dan dikatakan kepadanya, “apakah tuanku tidak melihat apa yang tuanku takuti.
Sesungguhnya, demi Allah! Ia telah menimpa tuanku. Orang ramai semuanya telah beriman.” Lalu raja memerintahkan supaya digalikan parit dan dinyalakan api. Raja berkata, “sesipa yang tidak kembali kepada agama asalnya, maka humbankan dia ke dalamnya.” Mereka pun melaksanakan perintahnya sehinggalah datang giliran seorang perempuan dengan membawa bayinya. Dia berhenti kerana takut untuk terjun ke dalam api. Lalu bayinya berkata, “wahai ibu, bersabarlah, sesungguhnya ibu berada di atas kebenaran.”
Advertisements
This entry was posted in Tazkirah. Bookmark the permalink.

One Response to Hadis Berkenaan Ashabul Ukhdud

  1. NURUL MUNAWIRAH says:

    dah lama akk cari cerita pasal ni.yang tahu, penggali parit tapi tak tahu cerita penuh.terima kasih atas ulasan yang diberi .

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s