Sufiah , Saya dan Emak

Saya membelek akhbar Berita Harian. Terpampang gambar Sufiah, pelajar bijak yang menjadi kebangaan rakyat Malaysia suatu ketika dahulu. Anak comel kacukan Pakistan dan Malaysia ini bukan calang-calang orang. Di usia seawal 13 tahun sudah menjejakkan kaki ke Universiti Oxford. Bijak benar.

Dikala usia 13 tahun, saya masih lagi mentah. Lucu rasanya mengingati kembali usia 13 tahun. Ketika itu saya merupakan pelajar yang agak nakal dan “anti” perempuan. Ada sahaja yang tidak kena. Pernah juga sahabat karib saya, mematahkan kerusi pelajar Muslimat kerana geram yang teramat sangat. Tidak tahan mendengar leteran pelajar muslimat. Habuannya rotan yang diperolehi. Itulah saya dan sahabat-sahabat diusia 13 tahun. Angka 13 juga tidak asing bagi saya. Ini kerana tarikh lahir saya juga adalah 13 hb.

Didikan yang diperolehi daripada senior Sek Men Kebangsaan Agama Kedah menjadikan batch saya agak agressif dengan pelajar Muslimat. Itu haram, ini haram. Tetapi yang menghairankan saya, mereka yang mendidik kami supaya tidak bertolak ansur dengan muslimat. Tetapi mereka sendiri rapat dengan muslimat. Kesannya kepada kami berlanjutan hingga ke tingkatan 5. Saya sendiri kekok untuk berinteraksi dengan muslimat semasa zaman sekolah. Bahkan terbawa-bawa sehingga ke hari ini. Agenda Badan Pendidikan Islam ataupun BPI sendiri bercelaru antara muslimin dan muslimat. Tetapi aktiviti tetap berjalan. Berbanding muslimat, saya dan Idris lebih suka bekerja tanpa dipantau oleh Ustazah. Ini disebabkan terlalu banyak karenah. Kami “meninggalkan” muslimat dibelakang.

Namun begitu, saya tetap bersyukur. Walaupun saya bukanlah pelajar yang genius, tetapi saya tetap diberi peluang masuk ke Universiti di usia 20 tahun. 7 tahun lebih lewat daripada Sufiah. Saya merasakan, umur 20 an ini membuatkan saya cukup matang untuk menilai sesuatu berbanding diusia 13 tahun.

Sufiah merupakan insan terpilih. Ada yang mengatakan kecerdikkanya adalah hasil perkahwinan campuran antara ayah dan ibunya. Pelbagai andaian diberikan. Mungkin itu adalah salah satu faktor, namun begitu kecerdikan tersebut merupakan anugerah Allah kepada insan yang terpilih sahaja.

Ada orang mengatakan berkahwin saudara dekat boleh menyebabkan anak kurang cerdik. Islam juga tidak menggalakkan kita berkahwin dengan saudara terdekat. Saya sendiri adalah anak hasil cantuman benih perkahwinan bersaudara. Ibu dan ayah saya mempunyai hubungan saudara yang rapat. Seperti hubungan Saidina Ali B Ali Talib dengan Saidatina Fatimah, puteri kesayangan Rasulullah SAW, yang juga bersaudara. Ayah pernah meluahkan kepada saya ketika mendapat tawaran ke Universiti Malaya.

“Shan, hari ini ayah dah buktikan bahawa ada anak ayah yang pandai. Ada orang kata anak ayah tak pandai. Alhamdulillah hari ini, hang dah dapat UM. Kak Mina hang pun dah keluar poli. Ayah tak putus doa setiap kali selepas solat, anak minta sangat-sangat mudah-mudah anak ayah berjaya”, Ujar ayah. Kelihatan air mata ayah bergenang kegembiraan.

Ketika saya mendapat keputusan STPM, ayah dan emak masing-masing terharu. Tidak dapat saya bayangkan perasaan ayah dan emak ketika ditempatkan di hotel Angsana, semasa saya mendapat anugerah biasiswa OCBC. Saya tahu mereka berasa sangat-sangat terharu. Pertama kali menjejakkan kaki untuk bermalam di hotel. Dikala nama saya dicicirkan oleh pihak Felda untuk mendapat anugerah anak Felda terbaik STPM di peringkat Malaysia di dewan Perdana Felda bersama Dato Seri Najib, saya melihat riak-riak tidak puas hati di wajah ayah. Ayah tahu, semuanya kerana fahaman politik Islam yang ayah dokongi selama ini.

Kata ayah “Rezki bukan pada mereka, tetapi dari Allah”. Dulu hal sebegini pernah terjadi pada ayah. Lembu kerajaan yang diagihkan seekor pun ayah tak perolehi. Namun hari ini lembu ayah sudah mencapai angka puluhan ekor.

Ayah belajar setakat darjah 4. Emak pula setakat SRP. Sejak dari muda, bekerja keras menoreh getah untuk membesarkan kami. Semasa tadika saya sering membuat karenah. Malas ke tadika. Kuat menangis dan malas untuk bangun. Tetapi emak tetap melayan karenah saya. Mungkin difikirannya sendiri tidak terbayang saya akan akan berjaya seperti hari ini. Saya bukanlah Sufiah, anak kecil yang lahir daripada keluarga yang pandai.

Tidak pernah tertonjol pada diri saya potensi untuk menjadi seorang yang cerdik. Bila sudah sampai di sekolah, menangis hendak pulang. Hinggakan ayah saya mengeluarkan nama saya daripada tadika ketika berusia 5 tahun. Ayah kata, dia malu dengan sikap saya. Tak jaga air muka ayah depan cikgu. Saya masih ingat ketika itu, dengan air mata bergenang saya keluar ke beranda rumah sambil memegang kuih pow. Tertanam dalam hati, saya tidak mahu ke tadika. Kedengaran emak bersembang dengan ayah di dalam rumah. Mungkin mereka membayangkan, bagaimana masa depan saya.

Di kala itu, saya merasakan Sufiah sudah berada dibangku sekolah. Umurnya setahun lebih senior daripada saya. Mungkin ketika itu dia sudah tahu membaca. Bahkan lebih daripada itu. Saya pula masih buta A, B, C. Keluar masuk hutan mencari burung bersama lastik ditangan. Guli, gasing, wau merupakan permainan bermusim yang menjadi kegilaan saya bersama rakan-rakan. Menonton TV sekadar untuk siaran tertentu. Kartun saja yang menjadi pilihan. Namun begitu, aktiviti lasak lebih saya minati. Pernah suatu ketika saya bersama rakan-rakan masuk ke dalam hutan getah untuk mandi sungai. Perjalanan agak jauh. Saya menaiki basikal kecil bertayar mati. Sebaik sahaja mandi, tiba-tiba emak datang. Terpaksalah saya bergegas pulang. Mujur hanya sekadar amaran, bukannya rotan.

Sebelah petang kadang-kadang saya membontoti ayah untuk mengawal selia lembu-lembu peliharaan yang dilepaskan di dalam kebun getah. Sambil itu, saya mencari pucuk paku bersama ayah. Jika berkesempatan juga, kami akan mencari rebung di perdu-perdu buluh yang ada. Boleh juga dibuat lauk. Orang susah, semuanya boleh ditelan.

Di kalangan peneroka Felda Bukit Tangga pada ketika itu rata-ratanya susah. Oleh demikian, masing-masing bekerja kuat untuk mendapatkan sesuap nasi. Saya melihat, dikala mereka mencari rezki terdapat pelbagai rintangan dan halangan yang dilalui. Misalnya emak dan eyah. Kadang-kadang ketika ayah pening kepala. Emak memberanikan diri untuk pergi menoreh getah sekitar jam 2 pagi berseorangan. Meredah hutan berbukit, bersebelahan pagar sempadan Thailand. Emak pernah berkata pada saya, emak tidak takut pada hantu tetapi emak takut pada “orang”. Namun emak gagahi juga memandangkan anak-anak masih kecil. Emak mahu melihat anak-anaknya berjaya.

Pernah suatu ketika motor “skremlar” yang emak dan naiki terbalik ketika mendaki bukit untuk pulang. Tong susu getah yang dibawa menghempap emak dan menyebabkan tergeliat. Peristiwa itu jugalah menyebabkan emak sehingga hari ini berhenti daripada menorah getah. Disebabkan urat, emak tidak mampu bekerja berat lagi.

Ketika mengandungkan adik saya, Hisyam yang kini belajar di Politeknik Sultan Azlan Shah Perak. Ketika sedang sarat mengandung 9 bulan, emak masih lagi mendaki bukit untuk menoreh getah. Tiba sahaja hari untuk bersalin mujur emak tidak ke kebun. Kata emak, ketika itu sememangnya letih yang tidak terhingga. Tetapi membayangkan anak-anak yang harus dibesarkan, emak gagahi juga. Saya sendiri termengah-mengah ketika mendaki bukit ketika membantu ayah mengutip susu getah dan getah sekerap.

Emak menjadi seorang berani dan kental sejak zaman kanak-kanak lagi. Ketika itu emak berseorangan berjalan kaki ke sekolah. Ketika umur darjah satu meredah sawah padi seawal jam 4 pagi untuk ke sekolah sejauh kira-kira 10 KM. Kata emak pohon padi tersebut lebih tinggi dari emak. Pada zaman itu, padi dituai setahun sekali. Walaupun emak bersungguh-sungguh belajar, namun anugerah Allah kepada emak sekadar SRP. Sebab itu saya katakan, kecerdikkan Sufiah ini adalah anugerah Allah.Jika hendak dibandingkan dengan Sufiah, rasanya jauh ketinggalan.

Cuma apa berbeza disini, dikala Sufiah mendapat anugerah yang cukup bermakna dari Allah, anugerah tersebut ibarat ujian pada dirinya. Dia sendiri gagal menggunakan peluang tersebut untuk memandu diri untuk mendekati diri dengan Allah SWT. Walaupun emak saya tidak dikurniakan IQ yang setanding dengan Sufiah, namun akal emak berfungsi dengan baik selari dengan naluri seorang wanita dan seorang ibu. Walaupun emak tidak mendalami agama secara mendalam, tetapi semangat untuk mengamalkan Islam dalam kehidupan ada dalam dirinya. Dibantu oleh ayah yang berpendidikan pondok, membolehkan emak memahami Islam secara lebih mendalam.

Semoga orang intelek seperti Sufiah akan kembali ke pangkal jalan. Rasulullah SAW pernah bersabda, orang yang paling cerdik itu adalah orang yang selalu mengingati mati. Renung-renungkanlah.

Advertisements
This entry was posted in Cetusan Idea. Bookmark the permalink.

One Response to Sufiah , Saya dan Emak

  1. suara berkata:

    Salam…

    1. Bagi saya, Islam mampu menajamkan dan menumpulkan fikiran seseorang terutamanya generasi muda. Pernah diceritakan pada saya, ada pelajar yg nakal dan lembap, bila dimasukkan ke sekolah tahfiz Quran, kemudian didapati dia begitu mudah menerima pelajaran, malah berjaya melanjutkan pelajaran ke IPTA kerana hati dan fikiran yg sering dibasuh dengan ayat-ayat Quran.

    Sebaliknya juga telah berlaku kepada pelajar yg dilahirkan dgn kepintaran semulajadi. Sufiah. Satu contoh anugerah kebijaksanaan yg terkubur bila tidak disertai dengan pendidikan agama. Dan seorang lagi, yang tak saya ingat namanya tapi saya pernah terbaca di satu akhbar (rasanya 5 thn lepas). Masa tu lelaki itu telahpun berusia 20-an dan diselongkar kisah hidupnya yg mana zaman kanak-kanaknya dulu dia pernah diwar-warkan sebagai anak genius. Kebijaksanaannya telah mendorong Prof Ungku Aziz mengambilnya sebagai anak angkat. Namun kepintaran yg dibanggakan itu tidak membawanya ke mana-mana kerana dia kemudian terleka dan hanyut. Yang pasti laluan hidupnya tdk dilandasi oleh agama sehingga terlibat dgn gejala tdk sihat (kalau tk silap saya terbabit dgn penyalahgunaan dadah). Lantaran beberapa contoh ini membuat saya bimbang satu jika Adi Putra diberikan pendedahan media yg keterlaluan dan tidak pula di semai dengan pendidikan agama yg mendalam, akhirnya akan tewas. Sudahnya membazirkan anugerah itu begitu saja. Semoga Allah melindunginya dari dugaan yang tak mampu dia tanggung.

    2. Perkahwinan saudara terdekat seperti sepupu memang tidak digalakkan dalam Islam kerana mungkin timbul masalah genetik. Sebenarnya bagi saya, masalah genetik yang dimaksudkan bukan lebih kepada tahap intelektual atau kepintaran, tapi lebih kepada tahap kesihatan. Saya mengakui fakta ini kerana terdapat sejarah kesihatan dlm keluarga terdekat saya sehingga arwah ibu sdr saya pernah berpesan agar jangan sesekali saya berkahwin sepupu.

    Apapun, kesihatan itu adalah juga rezeki yang Allah turunkan kepada kita. Lagipun Allah telah mengamanahkan kepada kita tubuh badan untuk dijaga, jadi jagalah sebaiknya.

    3. Seronok membaca kisah zaman kecil kerana saya juga punya kenangan kehidupan kampung yang kalau boleh ingin sekali saya ulangi. Saya bersekolah di sekolah biasa saja, tapi mungkin kerana keluarga saya semuanya perempuan, saya cenderung menjauhi lelaki terutama zaman sekolah dulu. Kiranya saya ni anti lelaki lah… hehe

    4. Lastly, selamat belajar ya… Semoga berjaya.

    Wassalam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s