Surat Terbuka PERSADA: Isu PPSMI

Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA)
No. 8, Jln. 19/13
46300 Petaling Jaya
Selangor.

6 Oktober 2008

Kepada:
Menteri Pelajaran
Timbalan Menteri Pelajaran
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia
Menteri Pengajian Tinggi
Ketua Pengarah Pengajian Tinggi

Yang Berhormat Menteri-menteri,

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI) WAJAR DIMANSUHKAN

Merujuk perkara di atas, kami selaku Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA) telah mengkaji dan mempertimbangkan perihal isu berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Seperti yang kita sedia maklum, ia mula dicadang dan dilaksanakan pada tahun 2003 dan tahun 2008 ini merupakan tahun kelima pelaksanaannya. Jika diikutkan, PPSMI untuk kumpulan perintis akan berjalan selama lima tahun. Menurut Menteri Pelajaran, Hishamuddin Tun Hussein, projek perintis inilah yang menjadi keputusan dasar sama ada untuk mengekalkan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris atau sebaliknya. Justeru, kami merasakan adalah amat wajar sekiranya PPSMI dimansuhkan di kesemua sekolah rendah dan sekolah menengah jika diteliti kepada kesan dan hasilnya setelah lima tahun pelaksanaannya.

Jika melihat kepada kedudukan bahasa Melayu di negara ini, dengan terhentinya pengajaran dan pembelajaran (P&P) Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu, maka ini juga bererti bahawa bahasa Melayu itu sendiri telah dikhianati dan dicabuli. Menurut Ketua Satu GAPENA, Tan Sri Ismail Hussein, zaman ini merupakan zaman penghinaan kepada seluruh bangsa Melayu, zaman cabaran dan pancaroba terhadap tamadun dan budaya Melayu. Sekiranya kerajaan masih terus-terusan meminggirkan bahasa Melayu, hal ini akan menjadi bom jangka dan akan mencetuskan satu keadaan seperti yang berlaku dalam peristiwa 13 Mei 1969.

Daripada aspek pencapaian pelajar pula, kita mendapati bahawa berlaku kemerosotan yang serius terhadap pencapaian pelajar dalam subjek-subjek berkenaan. Hal ini demikian kerana kurangnya minat pelajar untuk belajar subjek-subjek berkenaan kerana kesukaran untuk memahaminya. Jika merujuk kajian yang dilakukan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris mengenai kesan dasar PPSMI pada April 2008, lebih 80 peratus murid menyatakan bahawa guru Matematik dan Sains mereka menggunakan campuran Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia untuk mengajar kedua-dua mata pelajaran ini. Purata lebih 70 peratus murid menyatakan mereka ‘tidak faham atau kurang faham’ pengajaran guru Matematik dan 80 peratus terhadap pengajaran subjek Sains dalam Bahasa Inggeris dan mereka ‘sukar atau agak sukar’ mempelajari kedua-dua mata pelajaran ini. Prestasi mereka dalam Ujian Matematik dan Sains juga rendah, terutama item-item yang memerlukan murid membaca arahan dalam Bahasa Inggeris dan ‘menyelesaikan masalah’. Dapatan daripada kajian ini menunjukkan objektif asal dasar PPSMI tidak tercapai. Ia telah menyusah dan melemahkan lagi pembelajaran Matematik dan Sains pelajar, dan terlalu sedikit pula meningkatkan pembelajaran Bahasa Inggeris mereka. Maka, tidakkah keadaan ini akan mengakibatkan kemunduran pelajar Melayu kita?

Selain itu, keadaan ini turut menambahkan bebanan guru kerana mereka terpaksa menggandakan usaha untuk memberi kefahaman kepada pelajar menggunakan bahasa asing, khasnya pelajar sekolah rendah. Tidak dapat tidak, guru-guru terpaksa belajar ilmu nahu atau ilmu tatabahasa dan perbendaharaan kata bahasa Inggeris terlebih dahulu sebelum memulakan pengajaran, kerana bukan semua guru tersebut mahir berbahasa Inggeris. Keadaan ini akan merumitkan para guru dalam memberikan kefahaman kepada pelajar, sekaligus memberi tekanan kepada mereka. Dalam pada itu, mereka terpaksa pula menghadiri kursus-kursus bagi memantapkan penguasaan bahasa Inggeris, supaya dengannya para guru berupaya menyampaikan pengajaran dengan berkesan. Hal ini perlu dilakukan secara berterusan, dan tentunya memakan masa yang lama. Jika seorang guru pun sukar untuk memahami dan menyampaikan pengajarannya dengan baik, maka tentulah pelajar akan lebih memerlukan masa yang lama dalam memahami subjek yang dipelajari.

Jika difikirkan secara terperinci, pelaksanaan sesuatu dasar jika sekadar mahu mencuba dan melihat dahulu impaknya merupakan dasar yang tidak menjamin masa depan rakyat. Rakyat seolah-olah menjadi bahan uji kaji. Jika dasar ini tidak berjaya, apakah kerajaan mampu mengembalikan masa depan pelajar-pelajar kita yang telah gagal dalam pengajian dan terjerumus ke lembah sosial?
Satu tinjauan yang dijalankan oleh UNESCO untuk laporan Bank Dunia pada tahun 1997 telah menyimpulkan bahawa apabila sesuatu pembelajaran itu menjadi suatu matlamat, termasuklah pembelajaran bahasa kedua, (seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, dan lain-lain di Malaysia), penggunaan bahasa ibunda seseorang pelajar itu harus digunakan sebagai medium pengajaran dalam tahun-tahun awal persekolahannya. Di samping itu, UNESCO juga memetik daripada ‘Education for All: Policy Lessons From High-Achieving Countries (Staff Working Papers, New York, Unicef’) sebagai berkata: “Dalam keadaan di mana ibu bapa pelajar itu buta huruf, jika medium pengajaran di sekolah ialah bahasa yang tidak digunakan sebagai bahasa pertuturan di rumah, ditambah pula dengan masalah pembelajaran dalam suasana kemiskinan, maka peluang untuk berlaku keciciran dalam pembelajaran akan meningkat dengan mendadak.” Maka, tidakkah kerajaan melihat kepada rumusan dan kajian yang dilakukan oleh UNESCO ini sebagai prinsip sebelum mengambil keputusan melaksanakan dasar PPSMI di negara ini?

Justeru, kami dengan tegasnya memohon supaya kerajaan memansuhkan dasar PPSMI di semua sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) demi memartabatkan semula bahasa Melayu dan sebagai inisiatif untuk mengembalikan kecemerlangan pencapaian para pelajar kita. Hal ini kerana para pemimpinlah yang harus membela bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda di negara kita. Sesuatu bangsa adalah dinisbahkan kepada bahasa yang dituturkannya. Jika hilang bahasa Melayu dari lidah kita, maka di manakah identiti kita sebagai bangsa Melayu yang suatu ketika dahulu begitu gah dengan kekayaan berbahasa dan kehalusan budi pekerti? Zaman yang semakin mencabar ini telah menyaksikan tamadun Melayu semakin lama semakin hilang identitinya, maka janganlah bahasa Melayu yang satu ini turut mengalami nasib yang sama.

Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA) sangat berbesar hati sekiranya YB Menteri-menteri dapat memberi perhatian yang sewajarnya terhadap perkara yang kami utarakan ini.
Sekian. Dengan salam hormat.

Yang benar,
MOHD FAISAL MUSTAFFA
Presiden Penaja
Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA)
http://faisalmustaffa.com/v2/

This entry was posted in Respon Isu. Bookmark the permalink.

2 Responses to Surat Terbuka PERSADA: Isu PPSMI

  1. madisyak says:

    Masalah PPSMI bukanlah perkara baru yang tiba-tiba menjadi hangat dibincangkan. Sejak mula diperkenalkan oleh Tun Mahathir hinggalah sekarang tak habis-habis orang ramai memberi pandangan, tetapi PPSMI berjalan seperti biasa.

    Jangan kita terlalu melenting dan beremosi tentang isu ini. Berfikirlh dengan waras.

    Saya bukanlah hendak menentang pelaksanaan PPSMI dana bukan juga mahu menyokongnya. Tapi biar perkara ini dibincangkan dengan berhati-hati dan lebih rasional.

    Kita boleh laksanakan PPSMI, tetapi perlu perancangan yang jitu. Seboleh-bolehnya persiapkan guru-guru terlebih dahulu agar mahir berbahasa Inggeris.

    Yang diamalkan sekarang , sejak Kementerian Pelajaran memulakan PPSMI, adalah secara tergesa-gesa. Dengn tiba-tiba sahaja diperkenalkan PPSMI sedangkan guru-guru masih teraba-raba dengan Bahasa Inggeris.

    Sebahagian guru adalah lepasan dari sekolah-sekolah di kampung-kampung yang pembelajaran BI sangat terhad.

    Sepatutnya diperkemaskan mata pelajaran BI terlebih dahulu supaya para pelajar mahir dengan bahasa itu, barulah diperkenal PPSMI. Apa yang terjadi sekarang, dalam pelajaran BI pun murid merangkak-rangkan, dibebankan pula dengan BI dalam Matematik dan Sains.

    Yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.

  2. 508xrebel says:

    Bolehkah kita mempelajari nahu Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu menerusi pengajaran subjek Sains dan Matematik. Adakah memadai mempelajari suatu bahasa hanya di sekolah, iaitu suatu pembelajaran terhenti atau tidak berterusan hingga ke tua? Ikuti pandangan YM. Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid di YouTube (klik di sini)

    Yang mana kita perlukan Resolusi Bahasa atau Revolusi Bahasa? Revolusi Bahasa adalah satu ideologi, cadangan dan juga desakan oleh seorang bekas hakim bernama Mokhtar Hj. Mansor menerusi suratnya kepada PM dan menteri-menteri sekitar tahun 1990 yang mendesak supaya pelajaran subjek Sains dan Matematik diajarkan dalam Bahasa Inggeris. Dakwaannya bahawa pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dapat melonjakkan prestasi pelajar dalam kedua-dua subjek ini mula mendapat perhatian umum terutama menteri-menteri menerusi bukunya “Revolusi Bahasa Bahasa Revolusi” (Utusan Malaysia 17 hb Julai 1991).

    Sedikit mengenai pembohongan Mokhtar Hj Mansor, sila layari blog ini : http://mokhtarmansor.blogspot.com/.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s