Coretan bersama Hilman

DSCF1081

Wajah Hilman di Asro Awani

Jom kita keluar makan malam esok, dah lama tak jumpa”, sms saya kepada Hilman. “Ok. Masih free. Tak ada meting. Esok kita jumpa”, balas Hilman.

Hilman merupakan sahabat yang saya kenali di dalam kelas latihan kepimpinan 2007. Pada awalnya saya melihat beliau sebagai seorang manusia yang agak pelik dari yang lain. Berwajah “Chinese Look” ala-ala hero drama Korea.

Paling yang tidak dapat saya lupakan, ketika mana kami diminta melakonkan watak seorang jurujual menjual barang, aksi yang beliau lakukan cukup pelik. Pada mulanya beliau menyembunyikan diri di bawah meja di hadapan kami.

“Apala budak ni nak buat”, terdetik di dalam hati. “Barang-barang. Barang murah..bla..bla….”, tiba-tiba Hilman muncul dan memekik untuk menjual barangnya. Kami semua ketawa.

“Pelik betul budak ni ya, memang selamba betul”, terdetik di dalam hati saya. Pada ketika itu saya masih belum mengenalinya. Itulah kali pertama bertemu. Kali pertama melihat beliau, saya sudah menemui “kepelikan” beliau.

Di dalam Piliharan Raya Kampus (PRK) tahun 2007, beliau memenangi kerusi fakulti Kejuruteraan. Kami bersama-sama seangkatan sebagai wakil fakulti Pro Mahasiswa di dalam Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya pada ketika itu. Pada ketika itu, kami hanya berlapan termasuk Syahir, Hasbie, Khirati, Abang Helmi dan Izat Amin.

Masing-masing mempunyai watak yang agak berbeza di dalam mesyuarat. Syahir terkenal dengan watak seorang yang paling lantang memperjuangkan isu-isu mahasiswa di dalam mesyuarat. Saya sendiri memainkan watak seorang Ustaz yang tegas dalam membahaskan sesuatu perkara. Izat Amin lebih tawadduk dan sesuai dengan jiwa tarbiah yang mendalam dalam dirinya. Khirati selaku Exco Akademik dan Intelektual hanya berdiam diri dan menjadi pengundi setia kepada kami setiap kali berlakunya undian. Abang Helmi lebih tegas berdasarkan pengalamannya yang lalu. Hasbie pula sebagai sebagai seorang yang memainkan peranan yang professional dan menjadi penenang sekiranya berlakunya kekecohan perdebatan diantara kami dan sahabat-sahabat Aspirasi.

Sahabat saya Hilman ini berubah-ubah warnanya. Kadang-kadang baik dan kadang-kadang seperti singa jantan. Mengaum sehingga menimbulkan kerisauan. Pernah suatu ketika dia menggertak semua MPM aspirasi sebagai amaran jangan mempermain-mainkan wakil Pro M. Beliau jugalah yang mencadangkan dihadapan Encik Affendi supaya diadakan undi tidak percaya kepada Affandy Tanjung sehingga memperlihatkan kemenangan majoriti tipis supaya beliau dilucutkan jawatan sebagai YDP MPMUM. Beliau jugalah yang mengetuai sidang media bersama Syahir mendesak supaya YDP MPMUM meletakkan jawatan dan berita tersebut tersiar didalam Berita Harian online.

Kemudian dikala BBMN mundur ke belakang, di dalam mesyuarat BBMN beliau diberi mandat memimpin BBMN. Beliau mengatakan saya memperkena beliau, tetapi saya memberi jaminan kepada beliau yang saya akan sentiasa berdiri di belakang beliau.

Akhirnya berhimpunlah wakil MPP Pro M seluruh Malaysia dan keseluruhannya sekali lagi memilih dan mengakui Hilman sebagai Pengerusi BBMN. Daripada Konvensyen MPP Pro M tersebutlah maka tercetusnya gelombang media dan keyakinan untuk membuka pintu kemenangan di dalam PRK akan datang. Beliau jugalah yang membelanja Satay Kajang pembantu-pembantu program daripada UPM walaupun saya yang beria-ia mahu membelanja. Tetapi ketika itu saya kesempitan duit, maka Hilmanlah yang bermurah hati.

Beliau berjaya menunjukkan kredibiliti beliau sebagai pengerusi BBMN apabila berjaya menjayakan himpunan menyerahkan memorandum kepada Dato’ Khalid Nordin di UKM. Mukanya terpampang diakhbar suara keadilan.

Beliau sentiasa komited di dalam menghidupkan laman web mahasiswakini. Laman yang pada peringkat awalnya diasaskan oleh saya, Hasbie dan Syahir menggunakan laman percuma blogspot. Kami menggunakan passwordnya yang agak lucu iaitu cangkul besi.

Kemudiannya, saudara Naim bermurah hati untuk membelikan kami domain mahasiswakini.com. Pentadbiran mahasiswakini versi baru ini diketuai oleh Hasbie. Manakala Hilman membantu sebagai moderator setia. Namun begitu, sekarang ini laman ini diserahkan sepenuhnya kepada Fahmi, selaku pimpinan baru PMIUM untuk meneruskannya.

Laman ini menjadi suara utama kepada MPM Pro M di Universiti Malaya. Gelombang bloggers mula kami gerakkan dan akhirnya dijadikan sebagai resolusi di dalam Konvensyen MPP Prom M. Lahirlah blog-blog politik mahasiswa daripada seluruh kampus secara serentak. Selepas berlakunya perkembangan yang pesat, maka mahasiswakini yang pada mulanya bersifat lokaliti akhirnya dijadikan laman rasmi mahasiswa seluruh Malaysia atas persetujuan bersama. Perkara ini juga mendapat pengiktirafan daripada seluruh media-media didalam negara. Maka Hilmanlah yang menjadi “pengumpul” artikel yang setia.

Dikala saya teraba-raba mencari pemanas untuk menggerakkan unit calon selepas menggantikan Riduan Mohamad yang diberi kepercayaan untuk bertanding, Hilmanlah yang banyak membantu saya disamping Kak Azilah, Ummi Hani dan Nasirah. Walaupun pada peringkat awalnya semangat kami menjunam turun disebabkan kekurangan calon, tetapi kami sedaya upaya memberi motivasi antara satu sama lain.

Ketika perkampungan akhir calon di Bukit Cerakah, pada malam pertama tiada peserta lelaki yang hadir. Maka pada malam tersebut hanya saya dan Hilmanlah menghuni rumah tersebut. Rasa bersalah juga ada kepada Razali selaku ketua jentera Pro M. Entahlah, dimana hendak dicari kekuatan pada ketika itu. Banyak wang yang dihabiskan, tetapi tiada orang yang datang. Namun begitu, kemanisannya terasa apabila diumumkan calon-calon yang dilatih ini menang. Hilman menitiskan air mata kegembiraan dan disaat inilah kami merasakan pertolongan Allah telah datang setelah 8 tahun mengalami kekalahan. Ketika itu juga, Razali mencatatkan sejarah sebagai pangliman yang menawan kembali MPMUM selepas 8 tahun mengalami zaman kekalahan.

Entah kenapa terdetik hati untuk menukilkan tentang Hilman. Sayang rasanya kisah-kisah di alam mahasiswa tidak dicatit dan dijadikan sebagai sejarah kehidupan saya di masa akan datang. Mudah-mudahan hasrat beliau menjadi Profesor Islam terbilang tercapai. Mudah-mudahan juga, hasrat saya dan Hilman ingin menunaikan umrah sekiranya diizinkanlah Allah pada bulan 3 ini tercapai. Amin

This entry was posted in Cetusan Idea. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s