Berhati-hati Memberi Hati

Alhamdulillah selepas seminggu membelek-belek buku The 7 Habit Of Highly Effective People karangan Stephen Covey, semalam saya berjaya juga menghabiskan buku tersebut. Sebelum ini Ust Phahrol Md Juoi ada menyuruh saya menghadamkan buku tersebut bagi memboleh enjin carian saya bergerak cerdas seterusnya memahami modul-modul di Fitrah Perkasa dengan lebih

Sebaik sahaja menghabiskan bacaan 7 habit ini, saya mula menelaah terjemaahan makna-makna al-Quran. Selepas 10 tahun, barulah saya menunaikan hasrat Allahyarham Ust Ahmad Puad Helmi ketika saya berada di SMKAK suatu ketika dahulu. Setiap kali memberi tazkirah, beliau sering mengingatkan kami supaya membaca terjemahan al-Quran di dalam bahasa melayu sehingga habis 30 juz. Mudah-mudahan pahala saya membaca al-Quran ini akan mengalir kepada Allahyarham yang berada di akhirat sana.

Antara perkara yang menarik yang melekat dikepala saya adalah dialog diantara Allah S.W.T dan Malaikat semasa hendak diciptakan Nabi Adam A.S, kisah golongan Bani Israel yang derhaka kepada Allah S.W.T dan sebagainya. Di dalam juz 1 ini, saya ketemui banyak perumpamaan yang sinis yang difirmankan oleh Allah S.W.T bagi orang-orang yang ingkar. Misalnya perumpaan tentang nyamuk, perumpaan berkenaan orang yang menyalakan api dan beberapa perumpaan yang lain. Namun begitu, kupasan saya pada kali ini hanya akan menumpukan kepada Hati.

Persoalan Hati

Apa yang menariknya, semasa proses membaca tersebut mengimbau kembali saya kepada siri-siri ceramah di dalam kursus terutamanya berkaitan dengan pengurusan hati. Penulisan saya ini tidaklah menyeluruh kerana saya hanya menyentuh berkenaan masalah-masalah yang berlaku terhadap makhluk bernama hati ataupun “al-qalb” ini.

Di dalam ayat ke 7, persoalan berkenaan hati ini ditujukan khas kepada golongan-golongan munafik yang telah dikunci hati mereka oleh Allah S.A.W.

“Allah telah mengunci hati dan pendengaran mereka, penglihatan mereka telah tertutup, dan mereka telah mendapat azab yang berat”.

Antara sebab hati mereka dikunci adalah kerana sifat mereka yang bermuka-muka ataupun dalam bahasa yang mudah bersifat talam dua muka. Hanya menyatakan keimanan pada luaran, tetapi hati mereka kufur dengan Allah S.W.T. Andai kata hati seseorang itu telah dikunci oleh Allah S.W.T ini, maka untuk membuka kunci tersebut, seseorang itu mestilah kembali kepada pemilik kunci tersebut. Hanya dengan kembali kepada pemilik kunci tersebutlah barulah akan terbuka hati yang telah dikunci. Untuk apa hati yang terkunci perlu dibuka? Kerana dengan kunci ini jugalah akan menjadi “kunci” untuk kita memasuki syurga suatu hari nanti.

Seterusnya pada ayat ke 10, surah Al-Baqarah ini Allah S.W.T membawakan perumpaan yang jelas berkaitan dengan hati orang-orang yang munafik dan diistilahkan sebagai “hati sakit”.

“ Dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah menambah penyakitnya itu. Dan mereka mendapat azab yang pedih, kerana mereka berdusta”.

Hati yang sakit ini bukanlah bukanlah boleh diubati di mana-mana hospital ataupun Farmasi. Tidak boleh juga dirawat oleh pawang ataupun bomoh. Andai kata ada pakar hati sekali pun, belum tentu dapat merawat penyakit hati sebegini.

Andai kita ingin merawat hati yang sakit ini, kembalilah kita kepada pemilik hati. Hanya pemilik hati inilah yang mengetahui ramuan dan bahan-bahan yang boleh digunakan untuk merawat hati yang sakit. Sekiranya tidak dirawat, Allah S.W.T sudah menjanjikan azab yang pedih bagi mereka.

Seterusnya saya terus membaca dan meneliti, akhirnya sampai ke ayat yang ke 74. Di dalam ayat tersebut, Allah S.W.T membawa perumpaan yang menunjukkan betapa kerasnya hati manusia.

“Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras, sehingga (hatimu) seperti batu. bahkan lebih keras. Padahal dari batu-batu itu pasti ada sungai-sungai yang (air) memancar daripadanya. Ada pula yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya. Dan ada pula yang meluncur jatuh kerana takut kepada Allah. Dan Allah tidaklah lengah terhadap apa yang kamu kerjakan”.

Apabila membaca ayat ini, teringat saya kepada perbandingan yang selalu dibuat oleh Ust Nasib apabila membuat perbandingan diantara kerasnya batu dan kerasnya hati manusia semasa slot belajar dari alam. Beliau sering membawa bandingan bahawa kerasnya batu, air boleh memancar daripadanya. Kadang-kadang batu tersebut pecah dan menghasilkan batu-batu yang kecil. Tetapi hati manusia apabila sudah keras, maka tiada siapa yang dapat mengubahnya. Bertambah keras sehingga membawa kekufuran kepada Allah S.W.T.

Selain itu, Ust Hashim juga seringkali mengulangi kisah perjalanannya melalui lereng-lereng bukit untuk masuk ke sempadan China selepas negara tersebut membuat dasar pintu terbuka. Semasa melalui lereng-lereng bukit tersebut untuk naik ke puncak bagi mendapatkan cop visa, kelihatan pemandu land rover sentiasa memerhatikan ke atas. Perkara ini merisaukan ke semua penumpang di dalam Land Rover tersebut. Apabila ditanya mengapa beliau berpaling ke atas, beliau terus menunjuk ke arah batu-batu kecil yang sentiasa mengalir jatuh ke bawah.

Sekali imbas mungkin tiada apa-apa erti. Namun begitu, apabila kita memahami ayat ini, ternyatalah batu tersebut jatuh ke bawah kerana takutkan Allah S.W.T. Tetapi hal ini tidak berlaku kepada hati manusia yang telah buta hatinya.


Buta Mata Vs Buta Hati

Semasa melalui Dataran Fakulti Sains, salah seorang sahabat saya telah membantu Seong, seorang siswa berbangsa Cina yang buta matanya untuk melintas jalan. Seong pada ketika itu merupakan pelajar tahun akhir, jurusan TESL di Fakulti Pendidikan. Walaupun dia seorang siswi, namun begitu atas dasar kemanusiaan dia membantu menarik tongkat Seong melintas jalan bagi mengelakkan dia dilanggar oleh kenderaan yang lalu lalang disitu.

Betapa gembiranya hati Seong selepas mendapat bantuan daripada siswi tersebut. Tidak putus-putus beliau mengucapkan terima kasih kepada siswi tersebut. Bahkan berhari-hari beliau menghantar sms mengucapkan terima kasih di atas pertolongan tersebut. Betapa gembira orang buta menerima pertolongan orang yang celik ini.

Mari kita melihat situasi kedua, iaitu orang yang buta hatinya. Cuba kita bayangkan suatu hari kita bertemu dengan sahabat kita yang meninggalkan perintah Allah iaitu tidak bersolat, tidak berpuasa dan sering berkepit dengan pasangannya ke sana sini. Andai pada ketika itu kita mendekatinya dan memberi nasihat, agak-agak apa reaksinya pada ketika itu. Mungkin ada sesetengah orang yang menerima teguran sedemikian dapat menerima teguran tersebut dan terus berubah. Tetapi ramai juga yang melenting. Silap-silap kasut naik kepala kita dibuatnya. Sedangkan nasihat kita adalah untuk menolongnya.

Inilah realiti di dalam kehidupan kita seharian. Hanya orang yang Buta Mata sahaja suka akan pertolongan, manakala orang Buta Hati menolak apabila ditolong. Bagi orang buta mata ini, pertolongannya adalah untuk di hidup di dunia Manakala orang yang buta hatinya, pertolongan tersebut adalah untuk dunia dan akhirat.

Oleh itu, kepada semua pemilik hati termasuk diri saya supaya berhati-hatilah dalam menjaga hati. Berikanlah hati sepenuhnya kepada empunya hati. Hanya empunya hatilah yang bisa menenangkan hati. Renung-renungkan.

Advertisements
This entry was posted in Artikel, Cetusan Idea and tagged , . Bookmark the permalink.

3 Responses to Berhati-hati Memberi Hati

  1. Hidayah says:

    Salam. Rasanya ustaz ni yg bg ceramah masa ihya’ Ramadhan kat Fak engine kan?

  2. Faisal Mustaffa says:

    Wslm. Ya ana ceramah malam tu. Hilman jemput

  3. nordalily says:

    salam,

    terima kasih

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s