Berdakwah Untuk Merubah

“Salam. Saya ada satu soalan. Macam mana nak wujudkan suasana islamik dalam kalangan komuniti yang tak islamik?contohnya di kampus”.

Soalan yang mudah untuk dijawab secara teori, tetapi memerlukan mujahadah atau kesungguhan yang tinggi untuk menjayakannya. Saya yakin orang yang bertanyakan soalan begini adalah orang yang betul-betul sayangkan Islam mahu melihat Islam diamalkan oleh orang lain. Hasilnya kehidupan masyarakat di dalam komuniti tersebut akan lebih harmoni dengan cara hidup Islam yang di amalkan.

Namun begitu, unsur terpenting di dalam melakukan perubahan ini adalah penghuni komuniti itu sendiri. Sekiranya dipejabat, pekerja pejabat itu sendiri. Sekiranya di Universiti, mestilah mahasiswa Universiti yang diberi perhatian.
Ini kerana manusia yang mendiami sesebuah tempat tersebutlah yang akan mencorakkan tempat tersebut. Maka manusialah yang perlu diubah, bukannya suasana. Sekiranya diubah manusia, maka suasana tersebut secara automatiknya akan berubah.

Perubahan mestilah daripada “in sight out” bukannya “out sight in”. Berubahan dari dalam keluar, bukannya dari luar ke dalam. Merubah manusia supaya merubah suasana, bukan merubah suasana untuk merubah manusia.


Dakwah Rasulullah SAW

Berbalik kepada sirah Rasulullah S.A.W. Selama 13 tahun berdakwah di mekah, baginda memfokuskan kepada pembangunan modal insan. Penekanan diberikan kepada pemerkasaan manusia melalui penerapan “belief system” yang betul iaitu mentauhidkan Allah SWT. Sedangkan suasana Mekah pada ketika itu masih lagi diselimuti dengan kegelepan.

Sebaik sahaja menuju ke Madinah, penyatuan kaum Muhajirin dan Ansar yang telah dibetulkan “belief system” mereka berjaya membentuk biah solehah (suasana islamik) di sana. Mengapa terjadi sedemikian? Tidak lain dan tidak bukan adalah disebabkan insan yang telah diperbetulkan iman (in put), melaksanakan syariat iaitu Islam (proses) dan akhirnya melahirkan ihsan (out put). Penekanan Baginda Rasulullah SAW adalah pada pembinaan sahsiah dan keimanan individu untuk merubah suasana, bukan merubah suasana untuk membentuk individu.

Sekolah Agama

Lazimnya selalu kedengaran pelajar sekolah agama menjadi baik disebabkan suasananya. Namun tidak dapat dinafikan ada segelintir daripada mereka sukar untuk diubah sikap mereka. Seringkali diungkapkan di dalam siri-siri training yang dijalankan berkenaan roda perubahan manusia ini.

“Untuk menjadikan dunia ini baik, orang yang menghuninya mestilah dibaiki. Untuk memperbaiki manusia, kita perlulah memperbaiki hatinya. Untuk memperbaiki hatinya, kita perlulah memperbaiki solatnya. Kerana solat itulah yang akan merubah diri manusia tersebut”.

Sememangnya suasana sekolah agama itu baik, tetapi yang menjadikan ianya baik adalah penekanan kepada soal akidah dititik beratkan di dalam sekolah. Ianya berjalan secara langsung iaitu melalui subjek-subjek yang diajar atau secara tidak langsung melalui aktiviti kuliah, muhadhoroh, usrah dan sebagainya yang dijalankan secara tidak formal di surau melalui Badan Dakwah.

Penekanan kepada solat jemaah juga menyebabkan jiwa para pelajar terbina dengan roh islam. Lazimnya pelajar yang culas untuk solat inilah yang akhirnya membawa kepada masalah. Sering ponteng majlis kuliah dan aktiviti yang dijalankan. Jiwa mereka tidak terbangun kerana mengabaikan makanan rohani.

Mungkin sekali imbas kita nampak suasana sekolah membentuk pelajar yang baik, tetapi ketahuilah kita bahawa suasana yang baik itu dibentuk oleh pelajar yang baik rohani. Cuba kita banyangkan, sebaik sahaja pelajar-pelajar ini bercuti dan pulang ke kampung. Kemudiannya sekolah ini dihuni oleh atlet-atlet sukan seperti yang pernah berlaku di sekolah saya suatu ketika dahulu. Maka hilanglah suasana islamiknya. Mandi tanpa hanya memakai pakaian “kecil”. Terkinja-kinja ke sana sini yang akhirnya memalitkan nama buruk sekolah kepada masyarakat setempat. Tidakkah mereka berada di dalam suasana sekolah yang suatu ketikanya dikenali dengan “Biah Solehah”?

Secebis Pengalaman



Saya masih ingat, ketika jiwa reformis menggelodak di dalam diri saya suatu ketika dahulu. Bertemankan Idris kami mula mencatur bidak-bidak catur untuk melakukan perubahan. Bidak-bidak catur ini adalah anak-anak usrah kami yang mahu dibentuk untuk meneruskan usaha dakwah di sekolah.

Kami tidak mampu merubah suasana sekolah yang semakin jauh daripada roh islam melainkan dengan mengembalikan rijal-rijal dakwah yang sentiasa mahu mengamalkan islam di dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara. Untuk merubah sekolah tanpa merubah orang yang berada di dalam sekolah ianya adalah suatu yang mustahil!. Sedangkan Baginda Rasulullah SAW sendiri menumpukan kepada towering personality.

Namun begitu ianya bukanlah mudah. Tidak semudah perkataan yang diucapkan. Perjuangan untuk melaksanakannya memerlukan mujahadah (kesungguhan) dan tadhiyah (pengorbanan) yang tinggi. Perjuagan inilah yang menyaksikan suatu ketika dahulu saya, Idris dan Hakimi pernah menitiskan air mata kerana memikirkan jalan keluar kepada masalah yang dihadapi. Bahkan untuk berhadapan dengan guru penasihat Badan Dakwah sendiri pun memerlukan kepada kesungguhan kami menyatakan bahawa perubahan drastik di dalam sistem pentarbiahan sekolah perlu di lakukan bagi memperbaiki kembali sumber manusia yang ada di sekolah.

Pernah suatu ketika disaat-saat kami kecewa memikirkan masa depan. Kami bimbang agenda dakwah yang dirancang tiada perwarisnya. Di saat itu, lahirnya motivasi yang cukup berharga buat saya dan Idris daripada Ustaz Mahmud Zaim dan Ust Rushdan. Masih terngiang di telinga saya sehingga kini.

“Kamu jangan risau. Kerja yang kamu buat adalah kerja-kerja Islam. Islam itu bukan milik kamu, tetapi ianya milik Allah. Allahlah yang akan menghantar orangnya untuk melaksanakan kerja-kerja dakwah ini. Syaratnya kamu mesti berusaha. Apabila orang faham Islam, mereka akan mendekati Islam”.

Selang beberapa hari selepas itu, datang seorang junior yang lebih muda dua tahun daripada kami meminta supaya diusrahkan. Daripada insan biasa, hasil daripada ruh tarbiah ini maka pada hari ini dia menjadi orang yang luar biasa. Bahkan jauh lebih terkehadapan dan hebat daripada saya.

Nasihat Buat Yang Bertanya

Saya yakin rentetan daripada kisah di atas kita sudah dapat idea pokoknya. Iaitu menjalankan dakwah secara lebih agresif untuk membawa manusia kepada kenal pencipta. Usaha yang dilakukan adalah bersifat “the long breath war”. Tidak akan dikecapi dalam hanya sekelip mata, tetapi perjuangan yang memerlukan kepada suatu jangka masa yang amat panjang.

Kita akan tertekan sekiranya kita memikirkan jalan untuk merubah manusia adalah dengan merubah suasana. Maka kita akan mencari jalan untuk mengenakan busana muslimah, mengenakan hiasan-hiasan yang bercirikan Islam di sekitar komuniti kita. Tetapi dalam pada masa yang sama kita gagal membentuk peribadi mereka. Biarpun ‘container” sudah diubah, tetapi “contain” masih lagi seperti yang asal, nescaya agak sukar untuk dilaksanakan.

Rancanglah yang terbaik, mudah-mudahan Islam akan kembali bersinar. Berpeganglah kepada pesanan Baginda Rasulullah SAW:

“Islam itu datang dalam keadaan yang asing, dan ianya akan kembali menjadi asing. Maka beruntunglah orang-orang yang berada dalam keadaan asing tersebut”.

This entry was posted in Dakwah. Bookmark the permalink.

2 Responses to Berdakwah Untuk Merubah

  1. Hidayah says:

    Salam.
    Betul memang solat tu memperbaiki hati. Tapi dulu ada kawan yang rajin solat tapi lesbian (tahap kronik). Kalau subuh dia yang bangun paling awal. Satu lagi, seorang senior sekolah ni selalu bagi teguran pasal ahlak & sahsiah tapi gay (tahap kronik juga). Ada tak kena ke dengan solat mereka?

    Bukan nak mengaibkan, tapi pelik kenapa solat tu macam
    tak bagi kesan pada mereka.

  2. Faisal Mustaffa says:

    Belum tentu orang yang solat itu baik. Tetapi untuk menjadi baik kita mesti solat. Mungkin solat tersebut tidak dihayati. Sekadar solat tingkal laku, tetapi lalai hatinya

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s