Menziarahi Pak Cik Iskandar Sekeluarga

Setelah sekian lama merancang, akhirnya semalam saya sempat menziarahi rumah ayah angkat saya. Inilah kali pertama saya berkesempatan ke rumah beliau walaupun sudah berkali-kali diajak ke sana. Sebenarnya saya agak kekok untuk menziarahi rumah orang, selain daripada teman rapat saya. Ini kerana di dalam hati timbul rasa kurang senang kerana tidak mahu dilabel sebagai ingin mengambil kesempatan ke atas orang lain. Tambahan pula perkenalan saya dengan ayah angkat saya ini hanya diatas bas sewaktu pulang daripada kampung untuk ke KISAS 4 tahu yang lalu.

Pertemuan yang singkat, berterusan sehingga hari ini. Walaupun singkat, tetapi ada berkat. Banyak pengalaman yang saya timba daripada beliau ketika berada diatas bas tersebut. Sudah menjadi kebiasaan saya untuk mendengar cerita daripada orang yang lebih tua daripada saya untuk mengetahui pengalaman hidup mereka.

Bahkan di Fitrah Perkasa, teman-teman yang menjadi teman bualan saya jauh lebih berumur daripada saya. Ust Hashim, Ust Nasib, Ust Pahrol, Tuan Haji dan Ust Junaid. Ini membuatkan pemikirannya saya lebih tua daripada umur saya kerana idea-idea yang diperolehi adalah daripada orang-orang yang berumur. Mujur masih ada Abang Arif dan Che Mat yang boleh dikategorikan masih muda pemikiran mereka walaupun umurnya jauh lebih tua daripada saya. Ini kerana sayalah fasilitator paling muda di Fitrah Perkasa.

Berulang kali juga saya memikirkan keputusan untuk menziarahi beliau. Bagaikan bermain tarik tali, akhirnya saya mengambil keputusan untuk pergi. Ini memandangkan saya pernah berjanji dengan beliau untuk menziarahi beliau sebaik sahaja beliau pulang daripada tanah suci Mekah.

Namun hasrat tersebut dibatalkan apabila memikirkan sudah tentu beliau akan dikerumuni oleh saudara terdekat dan sahabat handai yang lain sebaik pulang dari tanah suci Mekah. Banyak perkara yang bermain difikiran. Kebiasaannya, sekiranya menziarahi orang pulang daripada Mekah sudah tentu ada buah tangannya. Risau juga sekiranya saya seperti seorang yang mahukan buah tangan tersebut. Entah mengapa perkara tersebut bermain difikiran saya. Sejak dari kecil saya di asuh oleh emak dan ayah untuk tidak mengambil pemberian orang lain.

Kata emak, “biarlah kita susah, tetapi jangan dilihat seperti kita meminta”. Prinsip ini bergelegar dikepala saya sehingga hari ini. Bukan sengaja, tetapi mungkin sudah sebati dengan diri. Saya faham mengapa emak berpendirian sedemikian. Ini kerana, suatu ketika kami pernah dipinggirkan kerana kesusahan hidup yang dialami. Namun begitu, dalam kesusahan tersebut emak dan ayah tidak pernah meminta daripada orang lain. Tetap berusaha sendirian untuk membesarkan anak-anak.

Saya tersenyum sendirian memikirkan sikap saya ini. Entah betul, entah tidak. Tetapi inilah sikap saya. Sukar untuk menyatakan masalah sekiranya berhadapan masalah keewangan kecuali kepada teman-teman rapat. Takut dikatakan meminta-minta. Kecuali di dalam keadaan terdesak seperti kejadian tayar bocor baru-baru ini. Di sebabkan kekurangan wang, saya terpaksa meminjam wang daripada seorang teman. Lucu juga walaupun perit. Yang penting, jangan menonjolkan sikap meminta-minta.

Sewaktu hendak keluar daripada rumah, hujan yang turun semakin lebat. Bertambah berat rasanya untuk ke sana. Namun begitu buah tangan untuk dibawa sudah dibungkus. Hendak berpatah balik, tidak adil rasanya kerana sudah berjanji dengan ayah angkat saya ini. Mujur ketika itu ada kereta sahabat serumah yang tidak digunakan. Dapat juga saya meminjam keretanya.

Walaupun pertemuan ini agak singkat, namun begitu terdapat banyak benda yang dapat dikongsi dengan beliau dan isterinya. Selepas bertanya khabar, perbincangan kami bertambah rancak dan beralih daripada suatu isu kepada suatu isu yang lain.

Antara perkara yang saya kongsikan bersama beliau adalah berkaitan dengan penghayatan kita di dalam membaca surah al-Fatihah. Ini kerana, dengan surah al-Fatihah ini sahaja sudah cukup untuk menjadi pendinding dan ru’yah seorang mukmin. Saya mengisahkan kepada beliau berkenaan kisah sahabat Rasulullah SAW iaitu Abu Said Al-Khudri yang berjaya menyembuhkan ketua sebuah kabilah dengan hanya meru’yah dengan surah Al-Fatihah.

Kemudiannya saya berkongsi lagi dengan beliau berkenaan kelebihan ayat Kursiy yang berupaya menjadi pendinding kepada harta dan seluruh ahli keluarga. Walaupun ramai yang membacanya, namun begitu tidak ramai yang mengetahui kisah disebalik kegunaan ayat tersebut. Sekali lagi saya mengisahkan kepada beliau berkaitan dengan kisah Abu Hurairah yang mengetahui akan kelebihan ayat kursiy ini sewaktu ditugaskan menjaga perbendaharaan negara oleh Rasulullah SAW. Dengan mengetahui kisah tersebut, sekurang-kurangnya akan bertambah yakin kita sewaktu membaca dan mengamalkan kedua-dua ayat tersebut.

Antara perkara menarik yang saya perolehi didalam pertemuan tersebut, beliau menyatakan kepada saya bahawa ada seorang Cina bukan Islam yang meminati sebuah majalah iaitu solusi. Selepas sahaja memberitahu perkara sedemikian, saya terus menyampuk memberitahu beliau bahawa majalah solusi itu adalah intipati kandungan modul Fitrah Perkasa Sdn. Bhd.

Di mana Ust Pahrol Mohamad Joui selaku ketua pengarang majalah solusi merupakan pengarah penyelidikan dan modul di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Saya berkongsi serba sedikit kisah-kisah semasa menjalankan training sepanjang berada di Fitrah Perkasa Sdn Bhd.

Semasa diakhir pertemuan tersebut, ibu angkat saya ini ada menyatakan akan kesusahan tugasan yang dipikulnya semasa disekolah. Bagi memujuk hatinya, saya berkongsi sebuah kisah yang di ambil daripada siri-siri kursus Fitrah Perkasa berkenaan konsep ikhlas. Q1+Q2+A=C. Kualiti + kuantiti+ Sikap = Ganjaran.

Pernah terjadi di dalam kursus, seorang wanita yang agak berumur mengeluh berkenaan konsep ikhlas ini. Katanya tidak guna kita ikhlas di dalam pekerjaan kerana ianya tidak dipandang oleh orang lain. Pengalaman dirinya yang ikhlas di dalam kerjanya sehingga hampir pencen dirinya tidak dinaikkan pangkat. Tetapi orang yang pandai membodek lebih mudah naik pangkat. Semudah naik lif. Hanya perlu memicit butang, kemudian terus naik ke atas.

Pada ketika itu, fasilitator yang berhadapan dengan wanita tersebut bertanya wanita tersebut berkenaan bilangan anaknya. Lalu dia tersenyum sambil memberitahu jumlahnya. Fasilitator tersebut kemudiannya bertanya kepada wanita tersebut berkenaan keadaan anaknya pada ketika ini. Dia memberitahu kesemuanya anaknya telah berjaya, dan salah seorangnya merupakan seorang Profesor di salah sebuah Universiti terkemuka di tanah air.

Lalu fasilitator tersebut membalas. Itulah ganjaran Allah pada beliau. Mungkin ikhlas di dalam pekerjaan tersebut tidak diberikan melalui kenaikan pangkat, tetapi ganjarannya adalah di dalam bentuk kurniaan anak-anak yang berjaya. Apa gunanya sekiranya dinaikkan pangkat tetapi porak peranda rumah tangganya kerana kenaikkan pangkat tersebut adalah atas dasar bodek semata-mata. Menzalimi orang yang lebih awal berkhidmat.

Ujian didalam pekerjaan adalah merupakan kasih sayang Allah SWT. Seorang guru diuji dengan karenah anak murid yang nakal. Tetapi diatas kesabaran tersebut, sekiranya dilakukan dengan ikhlas maka ganjarannya tetap ada.

Di dalam hati saya terdetik, tetapi tidak diluahkan kepada mak angkat saya ini. Saya terfikir, Mak Cik adalah seorang yang beruntung kerana dikurniakan suami yang memahami dan menyayangi Mak Cik. Selain itu, Mak Cik juga beruntung kerana dikurniakan anak-anak yang berjaya dan taat kepada perintah ibu bapa. Ini adalah ganjaran diatas kesabaran Mak Cik mendidik pelajar-pelajar di sekolah dan pengorbanan berjauhan dengan suami suatu ketika dahulu semata-mata mahu menjaga ibu di kampung.

Saya sendiri kagum dengan ayah angkat saya ini, walaupun menjawat jawatan seorang pengurus kanan tetapi hidupnya sederhana. Kereta juga hanya sekadar ala kadar, tidak berlebihan seperti orang lain. Mudah-mudahan kehidupan mereka sekeluarga dirahmati Allah SWT.

Di dalam perjalanan pulang, saya memikirkan sekali lagi. Entah bila pulalah saya akan kembali menziarahi mereka sekeluarga. Kepulangan ini juga membawa buah tangan yang dikirim oleh mak angkat saya ini. Sekali lagi bermain difikiran, malu rasanya dihati.



Advertisements
This entry was posted in Cetusan Idea and tagged . Bookmark the permalink.

2 Responses to Menziarahi Pak Cik Iskandar Sekeluarga

  1. Juma Karamah berkata:

    salam.. oh, ustaz fasilitator rupanya yg menjengah blog sy:) Tahniah! penulisan ustz yg bagus juga , ada bakat la jd editor:) ok, thanks atas perkongsian(^_^)

  2. Faisal Mustaffa berkata:

    Terima kasih atas ziarah

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s