Panggilan Nabi Satu Penghormatan

Perarakan Maulidur Rasul ketika bergerak aktif di dalam PMIUM

“Kitakah Umat Nabi”, saya membaca sms yang dihantar oleh Ust Yusof. Tajuk ini dipilih untuk forum yang akan di adakan di Masjid Bulat pada 4 Mac akan datang.

Beliau meminta jasa baik saya untuk menjadi moderator forum tersebut. Manakala panelnya adalah Ust Ghazali dan Ust Hasni. Saya sendiri tidak kenal siapakah gerangan mereka, tetapi yang pasti sekiranya diizinkan Allah saya akan bergandingan bahu dengan mereka untuk menjayakan forum ini.

Tajuk yang diberikan oleh pihak penganjur ringkas, tetapi sekiranya dikupas dengan baik akan memberikan maknanya yang mendalam.

Tidak dinafikan di dalam negara Malaysia ini terdapat ramai umat Islam yang mengaku mereka adalah umat Nabi Muhammad SAW. Boleh dikatakan sebahagian besar umat Islam mengaku baginda adalah Rasul ikutan mereka kecuali beberapa golongan yang menolak hadis di dalam kehidupan mereka.

Namun begitu, pengakuan yang diberikan oleh mereka hanyalah pengakuan lidah semata-mata yang bersifat zahiriah. Perlakuan dan tindakan mereka sekiranya diperhatikan, jauh daripada akhlak yang dipamerkan oleh Baginda SAW. Begitu mudah untuk mengatakan kita cinta Rasulullah SAW, tetapi sukar untuk diterjemah.

Hari ini ramai yang mengaku umat Rasulullah SAW, tetapi semakin terhakisnya rasa hormat mereka kepada Rasulullah SAW. Ada yang tidak malu untuk berceramah dihadapan khayalak ramai dengan hanya menyebut istilah MUHAMMAD tanpa disandarkan dengan awalan Nabi. Inilah realiti umat pada hari ini. Berdentam dentum menceritakan kisah kehidupan Nabi Muhammad, tetapi hanya nama MUHAMMAD yang disebut. Hilang kalimah NABI di awal nama Rasulullah SAW. Namun begitu, yang tidak lupa untuk disebut oleh penceramah tersebut adalah istilah Dato’ atau Tan Sri untuk memuliakan tetamu yang hadir pada malam tersebut yang berkemungkinan terdiri daripada Dato’-dato’ atau Tan Sri-Tan Sri. Kenapa Baginda yang mendapat pangkat “NABI” daripada Allah tidak dimuliakan, tetapi orang yang mendapat gelaran manusia dimuliakan?

Ada Profesor marah apabila para pelajarnya tidak memanggilnya dengan gelaran professor, tetapi dia sendiri tidak malu apabila memanggil Rasulullah hanya dengan kalimah “MUHAMMAD”. Ada juga pensyarah yang bergelar Doktor akan marah sekiranya terlucut perkataan Doktor apabila menyebut namanya, tetapi dia sendiri tidak rasa apa-apa apabila gelaran Nabi dilucutkan ketika dia menyebut nama Nabi Muhammad. Seorang Dato atau Tan Sri tidak senang apabila hanya dipanggil nama tanpa gelaran, tetapi senang sahaja menyebut nama Nabi Muhammad tanpa ada perkataan Nabi di hadapan. Ada Ustaz yang berceramah marah apabila pendengar memanggilnya dengan nama sahaja tanpa meletakkan Ustaz dihadapan. Kurang adab katanya. Tetapi dia sendiri tidak beradab terhadap Baginda Rasulullah SAW di dalam ceramahnya. Hanya menyebut perkataan Muhammad tanpa meletakkan kalimah Nabi dihadapannya.

Saya mengakui perkara ini kecil dan remeh. Tetapi yang kecil dan remeh inilah yang besar di dalam menanamkan rasa cinta pada Rasulullah SAW. Andaikata nama dan gelaran Baginda yang kecil sukar untuk kita jaga, bagaimana sunnah Baginda yang jauh lebih besar. Saya mengakui tidak semua orang sedemikian, tetapi tidak dinafikan ada golongan sedemikian.

Andai kata di dalam sesebuah syarikat, seorang bos akan di panggil tuan oleh anak-anak buahnya, barulah diketahui siapa bos dan siapa pekerja. Seorang murid akan memanggil gurunya dengan panggilan guru, barulah seorang murid akan dianggap murid oleh gurunya. Seorang anak akan memanggil ayahnya dengan panggilan ayah, barulah anak tersebut dianggap seorang anak oleh ayahnya.

Bagaimana dengan Rasulullah SAW? Andai manusia memuliakan manusia dengan gelaran yang diberikan oleh manusia. Sekiranya ditinggal gelaran tersebut mereka menganggap seolah-olah diri mereka dihina. Bagaimana pula dengan Rasulullah SAW. Gelaran Nabi adalah anugerah Allah, bukannya gelaran yang diberikan oleh manusia kepada Baginda. Andai kata kita sendiri tidak memanggil Nabi dengan gelaran Nabi. Sejauh manakah nilai diri kita yang mengaku sebagai umat Nabi? Ramai orang bernama Muhammad, tetapi hanya seorang didunia ini yang bernama Nabi Muhammad SAW.

Tidak cukup menghormat Nabi hanya sekadar berceramah, berforum dan membuat perarakan. Tetapi menghormati Nabi juga mestilah kita melazimkan panggilan yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada Baginda Rasulullah SAW iaitu gelaran Nabi. Panggilan “Nabi” adalah suatu penghormatan, bukan hanya mainan.

Renungkanlah sempena sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini…

This entry was posted in Minda Penulis. Bookmark the permalink.

One Response to Panggilan Nabi Satu Penghormatan

  1. nura ahmad says:

    terima kasih atas peringatan Tuan di ruangan ini…saya merasa amat bersyukur kerana ada seorang pendakwah berjiwa seperti Tuan…saya pernah diberi peringatan perkara-perkara kecil sebegini dan banyak lagi seperti ucapan salam yang betul, ucapan selawat yg betul.. oleh seorang guru agama yang tua satu masa dahulu…teruskan berdakwah…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s