JANGAN DI TOHMAH SEBELUM DI SELIDIK

“Ustaz, betulkah pusat zakat salah guna wang zakat?”, tanya seorang pelajar selepas saya selesai menyampaikan ceramah di sebuah IPT.

Saya hanya tersenyum mendengar persoalan tersebut. Selalunya dibaca di laman media sosial, kali ini berdepan mata bertemu mata dengan perihal tersebut.

Inilah antara persoalan yang kerap ditimbulkan oleh masyarakat pada masa kini. Persoalan ini timbul kerana persepsi yang telah dibina di dalam kepala mereka berkaitan dengan salah guna wang zakat dalam kalangan institusi pengurusan zakat.

Masyarakat membuat tohmahan rambang dengan mengatakan bahawa semua institusi zakat di Malaysia adalah sama sahaja. Semua pengurusannya tidak cekap, bermasalah dan menyalahgunakan wang zakat sesuka hati mereka. Manakala pekerjanya dibayar gaji yang mahal dan makan gaji buta!

Itulah skeptikal masyarakat yang amat menyedihkan tohmahan tersebut turut dilontarkan oleh agamawan di dalam kuliah-kuliah yang disampaikan di Masjid. Saya pernah berhadapan dengan situasi seperti itu. Apabila usai kuliah saya bertanya kepada ustaz tersebut, “Ustaz dapat maklumat dari mana?”. Terkebil-kebil dia menjawab, “Baca dalam facebook”. Apabila diminta perincian negeri mana, dia tidak mampu menjawab. Kata-katanya sudah menimbulkan persepsi buruk kepada institusi zakat di Kedah kerana kuliah yang disampaikan tersebut adalah di Negeri Kedah sedangkan hal yang disebut tidak berlaku di Kedah.

Di Malaysia, urusan kutipan dan agihan zakat bukannya dibuat secara berpusat tetapi adalah mengikut negeri-negeri. Hal demikian kerana, hal ehwal zakat merupakan perkara berkaitan bidangkuasa agama yang ditadbir oleh negeri seperti yang termaktub di dalam perkara 2, Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, di Malaysia urusan pengurusan kutipan dan agihan zakat bagi 14 buah negeri adalah berbeza sama sekali. Tidak adil sama sekali apabila dihukum institusi zakat di Negeri Kedah misalnya disebabkan salah guna wang zakat yang berlaku di negeri lain. Selain itu, tidak adil juga ditohmah wang zakat berbillion-billion tidak diagihkan sedangkan negeri yang mencatatkan kutipan zakat yang tinggi hanyalah Wilayah Persekutuan dan Selangor itu pun tidak sampai kutipan 1 billion.

Manakala bagi negeri-negeri yang dianggap luar bandar kutipan yang dicapai setahun sekitar RM 100 juta. Misalnya di Negeri Kedah, kutipan wang zakat adalah sekitar 100 juta dan agihan balik kepada asnaf yang selayaknya juga RM 100 juta lebih. Tetapi disebabkan persepsi buruk terhadap institusi zakat, maka segala gerak kerja yang dilakukan dipandang serong. Tidak ada penyelewengan berkaitan hal ehwal kutipan zakat di Negeri Kedah memandangkan ianya dipantau secara langsung oleh para alim ulama yang melaporkan terus berkaitan hal ehwal zakat kepada Tuanku Sultan Negeri Kedah Darul Aman.

Saban tahun Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman menerima anugerah 4 bintang bagi Audit Indeks Akauntabiliti hasil pengauditan daripada Jabatan Audit Negara berkaitan dengan ketelusan pengurusan kewangan dan hal berkaitan dengan urus tadbir zakat di Negeri Kedah. Ada yang bertanya, “4 bintang sahaja?, kenapa bukan 5”. Jawapannya mudah, kerana markah maksimum yang diberikan oleh Jabatan Audit Negara hanya empat bintang iaitu mendapat markah sangat baik dengan wajaran 90 sehingga 100 markah. Penafsiran empat bintang menurut audit negara adalah seperti berikut :

  • Objektif setiap elemen yang dinilai sentiasa dicapai dan memberi impak yang baik.
  • Pematuhan sepenuhnya kepada undang-undang dan peraturan.
  • Pelaksanaan melebihi piawaian ditetapkan.
  • Pengagihan tugas diberi dengan teratur, jelas dan seimbang.
  • Kawalan dalaman keseluruhannya berkesan dan boleh dicontohi.
  • Pemantauan/penyeliaan keseluruhannya berkesan dan boleh dicontohi.
  • Ada melaksanakan inovasi/pembaharuan bagi meningkatkan kualiti/produktiviti kerja.
  • Tiada keperluan untuk ambil tindakan pembetulan.
  • Boleh dijadikan penanda aras bagi Kementerian/Jabatan dan Agensi lain

Mungkin terdapat agensi lain yang mempunyai masalah berkaitan dengan kepatuhan terhadap prosuder pengurusan wang zakat. Namun tidak adil hal tersebut dipalit sama kepada agensi zakat negeri-negeri lain yang tidak mempunyai masalah tersebut. Misalnya, apabila timbul hal berkaitan dengan YAPEIM, Lembaga Zakat Negeri Kedah turut ditohmah di media sosial. Bak kata pepatah,  “kerana nila setitik, rosak susu sebelanga”. Tidak dinafikan hak masyarakat mengkritik institusi Zakat, tetapi berilah kritikan yang membina. Bukannya caci maki yang merosakkan tatasusila peradaban Melayu Islam.

Sudah menjadi trend dalam kalangan masyarakat, apabila berlaku suatu masalah dihospital, maka kakitangan hospital tersebut dicaci maki sehingga tiada suatu pun kebaikan yang ada pada para doktor dan jururawat dihospital kerajaan. Dan ada yang sanggup membuat tohmahan jururawat makan gaji buta. Yang mengutuk tersebut ada dalam kalangan guru, pensyarah, jurutera dan sebagainya.

Sebaliknya bila berlaku masalah disekolah, guru pula ditohmah dengan pelbagai tohmahan daripada pelbagai latar belakang termasuk jururawat, doktor, polis dan sebagainya. Di kata pula kepada guru makan gaji buta. Bila berlaku masalah kepada polis, guru yang dikata orang tadi menunding jari kepada polis.

Bila berlaku sesuatu isu berkaitan dengan kemiskinan, semua pihak tadi menunding jari kepada institusi zakat tanpa menyelidik terlebih dahulu. Misalnya apabila wartawan menyiarkan berita tentang individu miskin tidak menerima zakat, LZNK dihentam bertubi-tubi. Apabila disemak individu tersebut telah mendapat bantuan daripada LZNK, pihak LZNK terpaksa membuat jawapan balas kepada masyarakat berkaitan dengan hal tersebut dan timbul komen kepada LZNK tidak menjaga nama baik asnaf kerana memviralkan jawapan balas. Perkara ini mengingatkan saya kepada kisah seorang ayah dan anak dengan keldai. Di akhir kisah tersebut, siayah berkata kepada anaknya :

“Wahai anakku, sekiranya kamu sentiasa melihat dan mengharap kepada pandangan manusia, tiada apa yang bakal berubah pada keadaannya. Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Sikap manusia tidak akan berasa senang dan gembira dengan orang lain.Orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah SWT sahaja dan sesiapa memahami kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap sesuatu.”Yakinlah akan dirimu sendiri dan setelah dilaksanakan sebaiknya, maka bertawakallah kepada Allah SWT.”

Sebelum kita memberi sebarang komen negatif, kajilah terlebih dahulu. Jangan cepat menghukum sebelum menyelidik dengan lebih teliti perihal tersebut. Cubalah memahami situasi, sebelum memberikan berkata-kata kerana kata-kata tersebut akan dipersaksikan dihadapan Allah di akhirat kelak.

Mohd Faisal Hj Mustaffa

10 Januari 2016

This entry was posted in Artikel, Isu Zakat and tagged , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s