BAYAR ZAKAT TERUS PADA ASNAF ATAU PADA ULIL AMRI : PENCERAHAN BERDASARKAN UNDANG-UNDANG DI NEGERI KEDAH DARUL AMAN

Mohd Faisal Mustaffa
Lembaga Zakat Negeri Kedah

Di dalam kekalutan masyarakat berbincang berkenaan dengan boleh atau tidak zakat dan zakat fitrah dibayar terus kepada asnaf, seorang sahabat telah tag saya difacebook supaya memberi ulasan berkenaan dengan isu tersebut. Saya membalas dengan jawapan perlukan masa yang lebih lama bagi tujuan membuat sedikit kajian berkaitan dengan hal tersebut. Mungkin saya tidak akan menjawab persoalan sah atau tidak kerana jawapan berkaitan dengan hukum tersebut hanya layak dijawab oleh mufti, tetapi sebagai pencerahan kenapa institusi zakat di tubuhkan di Negeri Kedah saya akan cuba untuk menjawab persoalan tersebut.

Sebelum memberi respon, saya cuba menbuat rujukan kepada undang-undang dan pendapat para ulama di dalam membincangkan hal tersebut. Selain itu apabila berbincang berkaitan dengan ibadah zakat, saya lebih gemar merujuk kepada perbahasan yang dibawa oleh Dr. Yusof Al Qardhawi di dalam karya beliau iaitu Fiqh Zakat dan Bagaimana Mengatasi Masalah Ekonomi Dalam Islam serta beberapa penulisan daripada tokoh agama mutakhir ini. Ini bagi membolehkan, perbincangan berkaitan dengan hukum dan tata kelola zakat dihurai dengan lebih praktikal berdasarkan nas dan sirah.

SIAPAKAH ULUL AMRI YANG MENGURUSKAN ZAKAT DI NEGERI KEDAH

Di memahami isu ini, kita wajib mentaati arahan pemerintah selagi mana arahan tersebut tidak bercanggah dengan Al Quran dan Sunnah. Tuntutan ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah An Nisa ayat 59 :
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan ulil amri (orang yang berkuasa) dalam kalangan kamu”.

Merujuk kepada perbincangan oleh Dr Zulkifli Al Bakri (2015), salah satu daripada maksud ulil amri adalah para penguasa yang sah berdasarkan pendapat Abu Hurairah, Ibnu Abbas dan Ibnu Zaid R.A.

Merujuk kepada Undang-undang Tubuh Negeri Kedah, di dalam Fasal 33 B memperuntukkan bahawa raja adalah Ketua Agama Negeri bagi Negeri Kedah Darul Aman. Baginda mempunyai bertanggungjawab kepada hal ehwal pentadbiran agama di Negeri Kedah Darul Aman seperti yang diperuntukkan Perenggan 1 dalam Senarai 2 (Senarai Negeri Jadual 9) Perlembagaan yang termasuk di dalamnya hal berkaitan dengan pengurusan zakat dan zakat fitrah.

Oleh itu, dalam konteks pentadbiran hal ehwal agama khususnya zakat di Negeri Kedah, ulil amri yang bertanggungjawab menguruskan hal tersebut adalah KDYMM Sultan Negeri Kedah Darul Aman. Dengan kuasa yang diperuntukkan ini, Baginda telah menubuhkan sebuah Lembaga yang dinamakan Lembaga Zakat Negeri Kedah seperti di dalam 4 (1) Suatu pertubuhan perbadanan bernama “Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman” ditubuhkan untuk membantu dan menasihati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dalam perkara-perkara yang berhubungan dengan zakat dan zakat fitrah.

Di dalam menguruskan lembaga ini, keahlian lembaga adalah individu beragama Islam dengan syarat majoriti ahli mesyuarat terdiri daripada kalangan ahli agama yang mahir di dalam hukum dan undang-undang zakat dilantik oleh ulil amri iaitu KDYMM Sultan Negeri Kedah. Perlantikan juga tidak melibatkan individu yang terlibat secara langsung dengan politik bagi mengelakkan masyarakat memandang seorang terhadap institusi zakat di Negeri Kedah.

Oleh itu, tanggapan masyarakat berkaitan dengan ulil amri dalam hal ehwal pentadbiran zakat di Negeri Kedah yang dirujuk kepada kerajaan pentadbiran negeri yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya adalah salah.

Ini kerana, ulil amri yang sah menurut undang-undang di Negeri Kedah di dalam hal ehwal pengurusan agama Islam khususnya pentadbiran zakat adalah dibawah bidang kuasa Sultan Negeri Kedah. Baginda sebagai ulil amri berkuasa memberikan arahan berkaitan dengan urusan kutipan dan agihan zakat kepada rakyat jelata di Negeri Kedah.

LEMBAGA ZAKAT NEGERI KEDAH SEBAGAI AMIL RASMI MEWAKILI ULIL AMRI

Di dalam enakmen Lembaga Zakat Negeri Kedah 2015 telah memperuntukkan bahawa Lembaga boleh melantik kakitangan dana amil sebagai amil rasmi mewakili KDYMM Sultan Kedah bagi melaksanakan tugasan mengutip dan mengagih zakat di Negeri Kedah Darul Aman.

Pengambilan kakitangan bermula dengan proses pengiklanan dan temuduga dan kemudiannya calon yang perlu terlebih dahulu disahkan di dalam Mesyuarat Lembaga Zakat Negeri Kedah yang mana minit mesyuarat tersebut akan dibawa menghadap KDYMM Sultan Kedah bagi tujuan diperkenankan. Selepas diperkenankan tersebut, maka sahlah keputusan pelantikan kakitangan di Lembaga Zakat Negeri Kedah.

Tugasan yang dijalankan oleh para amil ini adalah berlandaskan kepada peruntukan undang-undang. Namun begitu, tidak dapat dinafikan, tugasan yang diamanahkan ini amat besar tanggungjawab dan kurang disenangi oleh masyarakat sebagai mana Sabda Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Jabir Bin Atiq :

“Akan datang dihadapanmu kelak para petugas zakat yang dibenci. Oleh itu, apabila mereka datang kepada kamu, maka sambutlah mereka dan berilah mereka kesempatan melakukan tugasnya. Apabila mereka jujur dalam menjalankan tugas, maka mereka akan mendapat pahala, sebaliknya apabila mereka berlaku zalim mereka berdosa. Sesungguhnya kesempurnaan zakat kamu adalah kerana kerelaan mereka dan mereka mendoakan kamu”. Hadis Riwayat Abu Daud

Syeikh al-Islam Ibnu Hajar Al Asqalani di dalam kitab Fathul Bari mengemukakan pendapat bahawa Imam yang berkuasa adalah mereka yang paling berhak untuk mengelola harta zakat, mengambil dan mengagihkan kepada asnaf yang layak menerimanya.

Berdasarkan perbincangan ini, amil zakat yang menjalankan tugasan mengutip dan mengagih zakat merupakan pihak yang dipertanggungjawabkan oleh Sultan selaku ulil amri, bukannya kerajaan yang diangkat melalui proses pengundian dan mentadbir negeri Kedah seperti yang difahami oleh sesetengah pihak.

Sehingga kini, LZNK masih terus mengekalkan identiti sebuah badan pengurusan zakat yang berada terus dibawah KDYMM Sultan Negeri Kedah tanpa terikat dengan mana-mana pihak yang berkepentingan berbantukan para ilmuan Islam di Negeri Kedah.

ADAKAH ULIL AMRI DI NEGERI KEDAH BERTEPATAN DENGAN KEHENDAK ISLAM

Terdapat golongan yang berpendapat bahawa ulil amri yang tidak melaksanakan undang-undang Islam adalah ulil amri yang tidak wajib ditaati.

Namun di dalam konsep negara berperlembagaan, perlaksanaan undang-undang Islam secara menyeluruh adalah tertakluk kepada bidang kuasa yang diberikan oleh kerajaan persekutuan di dalam perlembagaan. Oleh itu tidak wajar sekiranya, apabila ianya tidak boleh dilaksanakan secara menyeluruh diperingkat negeri maka kita terus menolak peranan ulil amri kerana dikatakan tidak bertepatan dengan syarak.

Di dalam konteks Negeri Kedah, Tuanku Sultan Negeri Kedah telah menjalankan amanah dengan dalam mentadbir hal ehwal agama Islam di Negeri Kedah melalui agensi yang berkaitan seperti Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Kedah, Jabatan Mufti, Jabatan Kehakiman Syariah dan seterusnya Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman.

Oleh itu hujah yang mengatakan tidak wajib membayar zakat kepada ulil amri di Negeri Kedah Darul Aman tidak menjalankan undang-undang Islam secara menyeluruh adalah tertolak kerana Tuanku Sultan Negeri Kedah selaku ulil amri di dalam hal ehwal agama, mentadbir hal hal ehwal agama dengan baik setakat bidang kuasa yang diberikan oleh perlembagaan persekutuan.

Baginda tidak pernah melarang bahkan menggalakkan aktiviti keagamaan di negeri Kedah dan menyokong pertumbuhan institusi agama seperti pondok, sekolah agama dan sebagainya.

SARANAN MEMBAYAR ZAKAT MELALUI ULIL AMRI

Tidak dapat dinafikan, perbahasan berkenaan dengan kewajipan berzakat kepada ulil amri begitu panas mutakhir ini. Isu ketidak yakinan pembayar kepada institusi zakat dan pemerintah iaitu ulil amri tidak melaksanakan hukum Islam menjadi sebab kepada hujah membolehkan wang zakat diberikan terus kepada asnaf.

Menurut Dr Yusof Al Qardhawi, pengumpulan harta zakat tidak boleh dibuat secara individu. Hal demikian kerana zakat bukanlah suatu kewajipan bersifat individu tetapi ianya adalah suatu sistem yang bertujuan mendidik masyarakat dimana tata kelolanya diserahkan kepada pihak pemerintah.

Muaz Bin Jabal ketika dihantar oleh Nabi S.A.W telah mengarahkan supaya zakat dikutip daripada orang kaya dan diagihkan kepada orang miskin dalam kalangan mereka. Arahan melaksanakan proses mengutip dan mengagih ini mengisyaratkan kepada perlunya ada tenaga khusus yang menjalankan kutipan tersebut bukannya diserahkan begitu sahaja oleh pembayar kepada sesiapa yang dikehendaki mereka.

PENDAPAT PARA SAHABAT

Dr Yusof Al Qardhawi di dalam buku Bagaimana Mengatasi Masalah Ekonomi Dalam Islam membawa beberapa kisah yang menyokong berkaitan dengan tanggungjawab menyerahkan zakat kepada pemerintah.

Sahal Bin Abu Soleh meriwayatkan daripada ayahnya, beliau berkata “ Ada seseorang yang mempunyai sejumlah harta yang bercampur dengan sedekah sudah mencapai nisab zakat.

Dia kemudiannya bertanya kepada Sa’ad Bin Abi Waqqas, Ibnu Umar, Abu Hurairah, Abu Said Al Khudri mengenai masalah zakatnya samaada dibahagikan sendiri kepada fakir atau diserahkan kepada penguasa? Kemudian mereka semua menyatakan bahawa zakat tersebut perlu diserahkan kepada penguasa dan tidak seorang pun antara mereka yang berselisih pendapat berkaitan dengan perkara ini.

Di riwayatkan oleh Mughirah Bin Syu’bah bahawa dia pernah bertanya kepada hambanya yang diberikan tugas menguruskan hartanya di Taif, “Bagaimana cara kamu mengeluarkan zakat hartaku”, tanya Mughirah.

Jawab pembantu tersebut, “Sebahagian saya bahagikan sendiri kepada fakir miskin manakala sebahagian yang lain saya serahkan kepada penguasa”.

Al Mughirah berkata : “Mengapakah engkau melakukan perkara demikian?”. Pembantu tersebut menjawab,

“Sesungguhnya mereka menyeleweng harta zakat untuk membeli tanah dan menggunakan duit zakat untuk berkahwin dengan seorang perempuan”.

Kemudian Al Mughirah berkata kepadanya, “Serahkanlah semua harta zakat itu kepada mereka kerana Rasulullah SAW memerintahkan kita untuk menyerahkan zakat kepada mereka (yakni pemerintah). Di riwayatkan oleh Al Baihaqi di dalam sunan al Kubra.

POLEMIK MENARA ZAKAT HASIL SALAH GUNA WANG ZAKAT

Salah satu isu yang digunakan di Negeri Kedah untuk mengelakkan membayar zakat adalah pembinaan Menara Zakat yang dikatakan menggunakan duit zakat dan tiada kegunaanya. Berkaitan pembinaan Menara Zakat Kedah yang dikatakan tidak berfaedah dan membazir.

Oleh masyarakat ini, pembinaan ini sebenarnya menggunakan dana pinjaman tanpa faedah daripada kementerian kewangan jaminan surat Istana Negeri Kedah Darul Aman tempoh bayaran balik selama 10 tahun dan diberi tempoh bertenang selama 3 tahun pertama pembinaan siap.

Bayaran balik pinjaman Menara Zakat adalah menggunakan hasil sewa daripada penyewa di Menara Zakat KWSP, LHDN dan pelbagai jabatan yang mendiami Menara Zakat pada ketika tanpa menggunakan wang kutipan zakat. Selepas selesai pembayaran balik, kini hasil kutipan sewa diagihkan balik kepada lapan asnaf dan Menara Zakat menjadi hak umat Islam di Negeri Kedah Darul Aman.

Sekiranya para ulama pada ketika itu tidak berani berijtihad berdasarkan hukum syarak untuk membuat pinjaman dan membina Menara Zakat, tidak mustahil pada hari ini Lembaga Zakat Negeri Kedah akan menumpang di mana-mana pejabat ataupun menjadikan rumah kedai sebagai bangunan pejabat. Mendiami bangunan seperti hidup segan, mati tak mahu juga mungkin akan menjadikan institusi Zakat Kedah ditohmah sebagai tidak profesional, tidak mempunyai imej dan sebagainya.

Keputusan berani ini sebenarnya membawa keuntungan kepada umat Islam dimana tanpa mengeluarkan modal, Menara Zakat dapat dibina hasil wang kerajaan persekutuan dan membayar balik pinjaman menggunakan wang kerajaan persekutuan juga iaitu hasil sewa daripada agensi persekutuan pada ketika itu.

KESIMPULAN

Berdasarkan perbincangan di atas, sekiranya digunakan hujah ulil amri tidak bertepatan dengan syarak dan penyalahgunaan wang zakat bagi membina bangunan yang tinggi menjadi asas kepada penolakan pembayaran zakat kepada agensi yang diamanahkan oleh Sultan Negeri Kedah, maka pendapat tersebut tidak berasas semata-mata.

Dan sekiranya hujah bahawa ulil amri iaitu Sultan Negeri Kedah tidak perlu ditaati kerana tidak melaksanakan hukum Islam secara menyeluruh, soalan ini dilontarkan kembali kepada yang menimbulkan isu ini iaitu sejauh mana mereka menghormati dan mentaati pemerintah iaitu KDYMM Sultan Negeri Kedah Darul Aman.

Soal hukum sah atau tidak zakat dibayar terus kepada asnaf, mungkin boleh dirujuk kepada pihak sewajar seperti Jabatan Mufti Negeri Kedah kerana saya bukannya ahli hukum.

Hal ini kerana, artikel ini sekadar memberi pencerahan bahawa asas kepada melaksana kutipan dan agihan zakat di Negeri Kedah adalah dibawah seliaan dan bidang kuasa KDYMM yang merupakan pemerintah agama di Negeri Kedah yang wajib ditaati selagi mana tidak bertentangan dengan hukum syarak. Konteks perbincangan ini hanyalah berdasarkan realiti di Kedah semata-mata.

Mungkin artikel ini tidak digemari oleh golongan anti monarki, tetapi perbahasan ini adalah berdasarkan kepada peruntukkan undang-undang yang diguna pakai di Negeri Kedah Darul Aman.

#zakatfitrah #ulilamri #zakatdanpemerintah #persoalanbayarzakat #agihsendiri #menarazakat

Wallahu a’lam.

This entry was posted in Artikel, Isu Zakat. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s