MEMBINA RUMAH UNTUK MEMBAHAGIAKAN

Mohd Faisal Mustaffa

Salah satu daripada masalah sosio masyarakat pada masa kini adalah berkaitan dengan tempat tinggal. Tempat tinggal yang menjadi salah satu keperluan asas hidup sekiranya tidak dimiliki samada melalui pembelian atau pun secara sewa menyebabkan seseorang akan hidup dalam gelandangan ataupun berteduh didalam khemah buruk di tepi sungai mahu pun hutan.
Di dalam membasmi kemiskinan, salah satu usaha yang diberikan oleh agensi zakat di Malaysia adalah seperti bantuan memperbaiki dan membina rumah. Manakala sekiranya terdapat kekangan saluran bantuan berbentuk kewangan diberikan bagi tujuan menyewa rumah sewa.

Tanggungjawab memberi bantuan ini bukan sahaja terletak kepada agensi zakat, tetapi ianya juga agensi-agensi lain dibawah kerajaan persekutuan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, KEDA dan sebagainya. Namun begitu, apabila isu ini timbul sasaran utama yang dituju adalah agensi zakat.

BANTUAN BINA RUMAH

Bagi tahun 2015, sebanyak 120 buah rumah asnaf miskin telah dibina oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah dengan peruntukan 4.8 juta. Ianya jauh lebih tinggi daripada rumah yang dibina oleh agensi persekutuan di negeri ini.

Manakala bantuan memperbaiki rumah adalah sebanyak 5.7 juta melibatkan 306 buah rumah yang diperbaiki. Selain daripada itu, terdapat juga bantuan sekaligus yang diberikan kepada penerima dalam bentuk wang tunai bagi tujuan pembaikan rumah.

SYARAT TANAH MILIKAN SENDIRI

Terdapat pihak yang mempertikaikan berkenaan dengan salah satu syarat bagi tujuan pembinaan rumah adalah mestilah nama pemohon terdapat di dalam geran atau pun diberikan kebenaran oleh ibu bapa sebagai pemilik tanah sekiranya yang memohon anak. Hujah yang digunakan adalah, “Takkan orang miskin nak ada tanah”.

Syarat ini diletakkan adalah kerana, untuk menyediakan tapak rumah kepada asnaf miskin ianya adalah diluar kemampuan agensi zakat yang hanya bergantung kepada hasil kutipan zakat.

Maka sekiranya tidak mempunyai tanah, bantuan kewangan akan diberikan bagi tujuan menyewa rumah. Bantuan kewangan bagi tujuan penyewaan rumah ini dipraktiskan di Lembaga Zakat Negeri Kedah. Berdasarkan info daripada laman facebook Lembaga Zakat Selangor, mereka turut memberikan bantuan sewa rumah dan kes yang terbaharu adalah bantuan kepada En Jasmin Bin Mohd Sharif dan isteri serta 7 anak yang lain yang dijumpai tinggal di dalam van.

MASALAH BILA BUKAN TANAH MILIKAN SENDIRI

Pernah berlaku beberapa tahun yang lepas di daerah Yan, Kedah berkaitan dengan bantuan rumah yang diberikan oleh pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah kepada seorang penerima. Bantuan tersebut diberikan kepada si anak di atas tanah ibunya dengan persetujuan mulut semata-mata.

Namun begitu, selepas beberapa lama rumah tersebut siap, disebabkan berlakunya perselisihan faham di antara si anak dan si ibu menyebabkan si ibu mengambil keputusan untuk menjual rumah dan tanah tersebut. Kes ini menjadi kes polis, tetapi pihak polis menyatakan bahawa mereka tidak ada kuasa untuk menahan kerana tanah tersebut secara dokumentasinya adalah milik si ibu.

Antara kejadian beginilah menyebabkan syarat milikan tanah dilihat semasa meluluskan permohonan. Sekiranya melibatkan ibu bapa sekalipun boleh berlaku sedemikian rupa, apatah lagi apabila melibatkan tanah orang lain.

KENAPA TIDAK DIBINA DI ATAS TANAH RIZAB?

Terdapat juga tohmahan agensi zakat tidak berhati perut kerana membiarkan asnaf tinggal didalam rumah usang di atas tanah rizab milik pihak lain samaada dimilik oleh agensi kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri.

Di dalam hal ini, pihak zakat tidak mahu menanggung risiko membina rumah diatas tanah rizab kerana ianya bercanggah dengan undang-undang tanah dan boleh disabitkan kesalahan di mahkamah. Bahkan sekiranya dibina rumah, tiba-tiba rumah tersebut dirobohkan selepas siap ianya menyebabkan berlakunya pembaziran wang zakat di situ. Lazimnya di dalam kes begini, apabila penghuni enggan keluar dari rumah yang didiami atas tanah rizab ke rumah sewa baharu maka bantuan kewangan akan dipertimbangkan oleh pihak zakat.

ISLAM MENGHORMATI HAK ORANG LAIN

Islam adalah agama yang menghormati hak dan pemilikan harta orang lain samaada daripada kalangan orang Islam mahupun bukan Islam. Gangguan terhadap harta milikan orang lain adalah ditegah oleh Islam. Dr Yusof Al Qardhawi di dalam bukunya Ciri-ciri Unggul Masyarakat Islam Yang Kita Idamkan membawa sebuah kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW.

Pada zaman dahulu, Sumrah Bin Jundub memiliki pohon kurma yang terletak di dalam sebuah kebun yang dimilik oleh seorang ansar. Sumrah dan keluarganya sering memasuki kebun tersebut dan pemilik kebun tersebut berasa terganggu dengan perkara tersebut sehingga menyebabkan pemilik tersebut datang mengadu kepada Baginda Nabi SAW.
Lalu Baginda Nabi SAW berkata kepada Sumrah supaya menjual pohon tersebut, namun Sumrah enggan menjualnya. Baginda bersabda lagi supaya beliau mencabut pokok tersebut dan ditanam ditempat lain, dan Sumrah enggan menuruti kehendak tersebut. Nabi bersabda lagi, “Berikan pohon kurma tersebut kepadaku, nescaya kamu akan mendapat seumpama dengannya di dalam syurgga”, dia tetap enggan juga. Ini kerana Sumrah menyangka bahawa apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW itu hanyalah sebagai petunjuk dan proses perdamaian dan bukannya satu perintah yang wajib.

Akhirnya, bagi menyelesaikan masalah tersebut Rasulullah SAW mengarahkan kepada pemilik tanah tersebut supaya mencabut pohon kurma milik Sumrah Bin Jundub.

Rasulullah SAW tidak menghiraukan kemudaratan sedikit yang menimpa Sumrah berbanding kemudaratan dan menghormati hak pemilik tanah tersebut. (Yusof Al-Qardhawi, 2012).

Melihat kepada risiko yang akan berlaku diantara pemilik tanah dengan orang yang mendiami tanah tersebut tanpa kebenaran dikhuatiri akan menyebabkan timbul pertikaian perundangan di masa akan datang. Hal demikian boleh dilihat daripada masalah pembinaan semula rumah mangsa banjir di Kelantan yang tergendalah disebabkan masalah status tanah rizab milik pihak lain.

Di dalam kes begini kebiasaannya akan ditawarkan bantuan kewangan bagi sewa rumah, tetapi sekiranya penghuni tidak mahu berpindah maka pihak zakat tidak mempunyai kuasa untuk memaksa mereka berpindah.

BANTUAN BINA DAN BAIKI RUMAH LAMBAT?

Terdapat juga viral dan kecaman bahawa pihak zakat membuat kerja lambat dan tidak profesional dalam memberikan bantuan bina dan baiki rumah. Seperti yang dimaklumi, setiap tahun banyak permohonan yang diterima. Permohonan akan diuruskan adalah mengikut giliran dan berdasarkan bajet yang ada. Berbeza dengan bantuan yang lain, bantuan membina dan memperbaiki rumah perlu melalui beberapa peringkat selepas kelulusan iaitu pemilihan kontraktor pembinaan yang dibuat mengikut fasa.

Terdapat juga golongan yang mempertikaikan bantuan rumah diberikan kepada kontaktor kroni. Tanggapan ini sebenarnya salah. Hal demikian kerana pemilihan kontraktor adalah berdasarkan cabutan undi, bukannya secara pemilihan. Bahkan ada yang tidak mahu masuk cabut undi kerana keuntungan yang sedikit.

Mudah-mudahan dengan pencerahan ini akan memberikan gambaran yang lebih dekat tentang bantuan rumah yang diberikan oleh pihak zakat.

Sekiranya terjumpa asnaf yang memerlukan, selain daripada memviral difacebook, jangan dilupa salurkan sama kepada pihak zakat. Tidak dinafi, terkadang ada yang tercicir dan terlepas pandang walau pelbagai usaha dijalankan.

Insya Allah skuad jejak asnaf akan turun menyantuni asnaf tersebut.

#binarumah #rumahzakat #sewarumah #lzs #lznk

This entry was posted in Artikel, Isu Zakat. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s