6 Jenis Kemiskinan

“Kenapa masih ada orang miskin walaupun kita ada institusi zakat?”, tanya seorang penyelidik yang pernah saya temui dulu.

Bahkan jika viral didalam media baharu, soalan yang sama juga dibangkitkan. Apabila menyentuh berkaitan dengan isu kemiskinan, ianya bukan perkara baharu samaada diperingkat Malaysia atau global.

Jika diteliti dari sudut penyelidikan, terdapat enam jenis kemiskinan yang digariskan. Pertama kemiskinan situasi (situational poverty) iaitu kemiskinan disebabkan peristiwa yang berlaku. Samaada disebabkan oleh kemalangan yang menyebabkan hilangnya punca pencarian, kematian pasangan hidup terutamanya suami sebagai ketua isi rumah yang menjadi tonggak sumber pendapatan keluarga dan kini misalnya wabak covid 19 yang melanda menyebabkan sebahagian daripada golongan peniaga terpaksa gulung tikar dan jatuh miskin.

Keduanya kemiskinan generasi (generational poverty) kemiskinan yang diwarisi bergenerasi. Kehidupan didalam keluarga miskin gagal untuk mengeluarkan mereka daripada kemiskinan disebabkan tiada anjakan revolusi minda dalam kehidupan.

Ketiganya kemiskinan mutlak (absolute poverty) iaitu seseorang itu benar-benar miskin. Pendapatan yang ada tidak mampu menampung keperluan asas kehidupan seperti makan, minum, pakaian, tempat tinggal serta pendidikan untuk anak-anak.

Keempat kemiskinan relatif (relative poverty) iaitu kemiskinan disebabkan pendapatan isi rumah kurang daripada pendapatan penengah isi rumah. Kebiasaannya golongan yang mempunyai pendapatan rendah ini akan terkesan apabila berlakunya kenaikkan kos sara hidup yang menyebabkan golongan ini sentiasa hidup dalam tekanan.

Kelima kemiskinan kampung (rural poverty) iaitu kemiskinan yang ada bagi masyarakat diluar bandar disebabkan kurangnya akses dan sumber ekonomi. Misalnya di Negeri Kedah kemiskinan kampung ini sebahagiannya besarnya adalah golongan petani dan pesawah yang melakukan aktiviti pertanian seperti getah dan sawah.

Keenam kemiskinan bandar (urban poverty) iaitu kemiskinan yang muncul disebabkan ketidakmampuan untuk menampung kehidupan kos sara hidup dibandar yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Jika diteliti, keenam-enam jenis kemiskinan ini mempunyai asas tersendiri dan sentiasa akan ada sepanjang zaman. Berkemungkinan dalam tempoh yang akan datang, akan muncul pelbagai jenis kemiskinan yang mungkin sukar untuk kita jangkakan.

Keenam-enam jenis kemiskinan ini juga menjadi jawapan kenapa persoalan kenapa agenda pembasmian kemiskinan tidak pernah terhenti hingga kini.

Semakin maju ekonomi, maka akan wujud ketidakseimbangan agiha kekayaan yang akan mewujudkan golongan miskin yang baharu.

Apatah lagi dalam dunia digital yang berkehendakkan pekerja mahir berkepakaran tinggi, maka disana golongan pekerja “kolar biru” akan terus ketinggalan dan kehilangan pekerjaan.

Mungkin ada pelbagai cara dan jalan untuk membasmi kemiskinan. Sama-samalah kita berusaha dan berfikir untuk menanganinya.

Faisal Mustaffa
Jitra, Kedah

This entry was posted in Kemiskinan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan komen