Zakat Membasmi Kemiskinan

Kemiskinan merupakan isu “evergreen” yang dibincangkan dalam setiap zaman. Baik didalam sistem ekonomi sosialis dan kapitalis, kemiskinan tetap wujud. Ribuan tahun manusia memerah akal untuk mencari solusi yang tuntas, tetapi gagal menemui solusinya.

Di dalam Islam, penekanan Islam berkaitan dengan kemiskinan ini boleh dilihat daripada Al Quran dan Hadis berkisar tentang kemiskinan. Bahkan Islam datang dengan solusi untuk membasmi kemiskinan.

Sistem zakat, sedekah, jariah, infak, wakaf dan sebagainya antara tujuannya adalah untuk memberi jaminan dan mendayaupayakan golongan fakir dan miskin.

Berbeza dengan sistem kapitalis dan sosial yang semata-mata bergantung dengan akal manusia yang menciptanya, sistem yang dijadikan oleh Allah ini merupakan sistem yang syumul dengan mengambil kira kedua-duanya.

Sistem pembasmian kemiskinan yang diwahyukan oleh Allah SWT bukan bersifat qat’ie kaedah perlaksanaannya, tetapi terbuka kepada ijtihad-ijtihad baharu sesuai dengan perubahan zaman dan ekonomi semasa.

Sudah pasti, sistem yang dicipta oleh Allah SWT ini lebih kuat dan utuh kerana ianya datang daripada Pencipta manusia. Allah sebagai pencipta tahu sifat dan tabiat manusia sepanjang zaman dan apakah ramuan terbaik bagi menyusun kehidupan manusia. Manakala akal manusia diberikan pilihan untuk berijtihad berkenaan dengan kaedah perlaksanaan untuk menjayakan ramuan tadi.

Allah tahu manusia itu sifatnya kedekut, maka diwajibkan zakat. Bagi golongan yang berat untuk bersedekah, tidak dapat tidak jika mempunyai lebihan harta mereka wajib untuk dizakatkan. Hasil didikan melalui kewajipan berzakat, ianya akan melunakkan hati orang kaya untuk tidak takut bersedekah.

Orang yang berzakat, apabila mula merasai nikmat berzakat mereka akan terus berani memberi daripada harta yang mereka ada. Harta yang diberi, makin berkembang dan terus berkembang. Tidak seperti logik akal, makin memberi makin berkurang. Tetapi makin memberi, harta yang ada makin berkembang dan memberikan kesejahteraan kepada jiwa si pemberi.

Islam datang melengkapi kehidupan. Menyusun atur bagaimana si kaya dan si miskin bersinergi diantara satu sama lain. Saling lengkap melengkap.

Sunatullah kehidupan,
Ada lelaki dan ada perempuan,
Ada kecil dan ada besar,

Maka disana ada sikaya yang menjadi ‘pasangan’ kepada si miskin.

Jom kita berzakat, kerana zakat itu adalah bakti kita kepada mustahik untuk sampai amal kepada Allah SWT.

Faisal Mustaffa
Alor Setar, Kedah

Posted in Artikel, Zakat | Tinggalkan komen

SAFF SOLAT JEMAAH COVID 19 JARAK 1 METER DI MASJID : MENYALAHI SUNNAH & TANDA AKHIR ZAMAN?

Petang ini ditanya oleh seorang sahabat berkenaan dengan artikel yang tular tentang kaedah solat jemaah yang tidak sempurna saffnya. Kerana tidak rapat yang bercanggah dengan sunnah. Beliau merujuk kepada kenyataan ustaz warganegara Timur Tengah yang tinggal di Pantai Timur.

Saya bukan alim untuk memberikan jawapan, tetapi apabila ditanya sudah tentu perlu untuk memberikan jawapan agar tidak bertambah kekeliruan. Apatah lagi, kekeliruaan yang ditimbulkan tersebut bercanggah dengan dasar yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Perbahasan berkenaan dengan merapatkan saff solat sememangnya satu perkara yang dititik beratkan oleh Baginda Nabi SAW dan para sahabat.

Menjadi pegangan kita di Malaysia, apabila bertembung diantara perlaksanaan sesuatu hukum dengan kemudaratan maka Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan akan bersidang untuk mencari solusi. Solusi yang disepakati ini mengambil kira pandangan daripada para alim ulama dan pakar bidang yang berkaitan.

Misalnya di dalam isu COVID 19, pakar bidang daripada Kementerian Kesihatan Malaysia turut serta dalam perbincangan dan mengambil kira saranan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Maka hasil hukum yang dikeluarkan adalah mengambil kira kemaslahatan semasa rakyat negara kita di Malaysia.

Apabila adanya fatwa daripada pemerintah, maka terangkatlah khilaf yang ada.

Tanpa menafikan hukum yang dikeluarkan itu tidak dapat memuaskan hati sesetengah pihak, tetapi ianya dibuat mengambil kira maslahah rakyat teramai dan kemampuan peralatan perubatan yang ada dalam negara.
Timbul perbincangan apabila sah tidak dirapatkan maka Allah SWT akan memecahbelahkan hati-hati umat Islam.

Ya memang benar. Bahkan terdapat beberapa hadis yang menyatakan berkenaan dengan ancaman bagi orang yang tidak merapatkan saff seperti akan dilemparkan perasaan benci membenci, api permusuhan dan sebagainya.

Saya ingin mengajak rakan-rakan semua untuk berfikir. Tercetusnya perasaan benci membenci antara satu sama lain, permusuhan dan sebagainya bukan semata-mata berpunca daripada saf yang tidak sempurna.

Beribu tahun lamanya kita solat dalam keadaan saff yang sempurna, tetapi umat Islam saling berpecah diantara satu sama lain. Negara-negara Islam khususnya di asia barat perang sesama saudara antara satu sama lain. Bermula daripada negara utara semenanjung tanah arab sehinggalah ke selatan umat Islam berperang sesama sendiri kerana perebutan kuasa dan berbeza pandangan mazhab.

Tanpa menafikan zahir hadis, tetapi hadis tersebut mestilah ditafsir dan dibincangkan dalam konteks semasa. Jika tersebarnya COVID 19 dimasjid, api permusuhan dan perpecahan akan makin tersebar luas dinegara kita.

Mohon maaf jika saya tidak menjawab dengan mengemukakan hadis dan dalil Al Quran sebagai sandaran. Ini adalah sekadar coretan santai petang untuk direnungkan bersama.

Apa yang pasti, menulis sesuatu perbahasan hukum yang bercanggah dengan hukum yang diputuskan oleh ulil amri dalam keadaan darurat selepas dibincangkan secara terperinci oleh pakar bidang itu bukanlah cara yang terbaik.

Dalam waktui biasa ianya mungkin boleh dibahaskan, tetapi apabila berlaku darurat kita semua meletakkan keyakinan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan tokoh agamawan yang bersidang dalam menyusun urusan kita bersama.

Dalam keadaan trend COVID 19 yang makin naik sedikit beberapa hari ini, usah keluarkan pandangan yang meresahkan lagi masyarakat awam!

Kita bertawakkal, tetapi kita juga perlu berusaha.

Salam Ramadan.

Faisal Mustaffa
Jitra, Kedah

Posted in Artikel | Tinggalkan komen

Kedah Negeri Orang Miskin

Terima kasih Puan Parihah Hasan dan Tuan Haji Mohammad Zamri Zakariaatas kiriman buku karya Dr Yusof Al Qardhawi “Kemiskinan dan Cara Islam Mengatasinya” yang diterjemahkan daripada karya asal (مشكلة الفقير وكيف عالجها الإسلام)

Mudah-mudahan bermanfaat bagi tujuan menambah ilmu berkaitan dengan pengurusan kemiskinan.

Sebagai mana disebut oleh YAB Tn Haji Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah dalam pertemuan agensi membasmi kemiskinan bersama kerajaan Negeri semalam,

“Saya berharap Kedah menjadi negeri tempat orang miskin berteduh, negeri tempat orang kaya berbakti”.

Jika dilihat dengan kedudukan Kedah sebagai negeri kedua KDNK terendah di Malaysia menjadi kayu ukur bahawa Kedah adalah negeri yang miskin.

Untuk menjadikan negeri yang miskin ini berdiri sama tinggi dengan negeri-negeri kaya, jiwa-jiwa yang berada di Kedah mesti “dikayakan” dengan ilmu dan cita-cita.

Jika orang kaya mampu makan dengan nilai RM100 sehari, orang miskin mungkin makan dengan nilai RM10 sehari. Tetapi kedua-duanya menghasilkan perut yang kenyang.

Jika orang kaya naik kereta mewah memecut laju diatas jalan raya, diikuti oleh si miskin dengan kereta kancil 650 dengan kelajuan 60 kilometer sejam. Akhirnya kedua-dua akan sampai ke destinasi walaupun masanya berbeza.

Maksudnya, orang miskin boleh merasai apa yang orang kaya rasa seperti kenyang dan sampai ke destinasi walaupun dalam konteks berbeza.

Untuk negeri miskin bangun berdiri sama tinggi dengan negeri kaya, ukuran wang ringgit tidak boleh dijadikan sandaran.

Tetapi dengan kecanggihan teknologi dan akses kepada maklumat, negeri tempat berteduh orang miskin ini mampu berinovasi untuk terus maju ke depan.

Kedah mempunyai lebih dari 2 juta insan yang boleh digunakan untuk menjadikan negeri ini terus maju.

Khidmat bakti si kaya amat ditagih untuk membangunkan negeri ini.

Sesuai dengan falsafah zakat, “ambil dari orang kaya, agih kepada orang miskin”.

Dengan syarat si kaya yang berhati mulia.

Faisal Mustaffa
Alor Setar Kedah

#kemiskinan

Posted in Zakat | Tinggalkan komen

CARA DAFTAR LOGO SAHABAT ZAKAT KEDAH

Sijil Muzakki atau dikenali juga sebagai Sahabat Zakat Kedah merupakan inisiatif Lembaga Zakat Negeri Kedah untukmemperkenalkan produk pembayar zakat kepada masyarakat.

Idea perlaksanaan sijil muzakki dan logo sahabat zakat Kedah muncul apabila gelombang “Buy Muslim First” atau BMF bergelegar dalam kalangan masyarakat. Namun menjadi kesulitan kepada umat Islam untuk memilih barangan keluaran muslim kerana tiada asas yang boleh dijadikan sebagai tanda bahawa sesuatu produk itu adalah milik orang Islam.

Logo halal misalnya boleh dimiliki oleh peniaga bukan Islam. Bahkan jika dirujuk kepada nama, banyak nama-nama yang menjadi symbol kepada orang Islam seperti masjid, surau, nama tokoh wanita seperti Fatimah, Aisyah diletakkan kepada produk orang bukan Islam.

Hal ini menjadi kekeliruan dalam kalangan masyarakat untuk memilih produk yang benar-benar dihasilkan oleh orang Islam.

Bermula daripada masalah yang dibangkitkan tersebut, maka pihak LZNK mengeluarkan sijil muzakki dan logo sahabat zakat kedah bagi tujuan membantu para peniaga yang menunaikan zakat untuk mempromosikan produk mereka.

Selain daripada logo halal, para pengguna boleh memastikan juga melalui logo sahabat zakat kedah bahawa produk yang dipasarkan adalah milik umat Islam.

Sijil Muzakki telah dilancarkan pada 22 Mei 2020 oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Kedah Darul Aman.

Para pembayar zakat tidak secara automatik akan mendapat sijil ini. Selepas membuat pembayaran zakat, pihak pembayar perlu membuat permohonan. Pihak LZNK akan membuat siasatan berkenaan dengan pemilik syarikat, peratusan milikan muslim, serta ketepatan dalam membuat taksiran berdasarkan kepada penyata kewangan syarikat atau ianya tepat berdasarkan siasatan pihak LZNK.

Pihak LZNK melalui Jabatan Pengurusan Zakat Korporat akan memantau dari semasa ke semasa berkenaan dengan logo yang dikeluarkan. Pihak LZNK dalam proses menyiapkan sistem dimana para pengguna hanya perlu scan bar code dilogo SZK dan sistem akan mengesahkan produk tersebut adalah sah dan diiktiraf LZNK.

Tempoh sah logo adalah hanya setahun dan akan direkodkan dalam sistem yang akan dibangunkan oleh LZNK didalam Zakat On Touch. Jika peniaga tersebut tidak menunaikan zakat tanpa sebab munasabah, maka logo tersebut akan ditarik.

Tetapi jika tidak dapat menunaikan zakat disebabkan kegawatan ekonomi dan selepas taksiran diperakui bahawa pembayar tidak layak menunaikan zakat, maka pihak LZNK membenarkan ianya digunakan bagi tujuan menguatkan kembai produk mereka sebagai tanda sokongan kerana ketika mana mereka untung, mereka menunaikan zakat tanda taat pada Allah SWT.

Logo Sahabat Zakat Kedah bukan hanya berteraskan kepada keuntungan, tetapi logo ini sebagai ‘tanda’ sokongan yang tidak berbelah bahagi LZNK kepada pembayar zakat walaupun dalam apa jua keadaan.

Ketika senang, pembayar menunaikan zakat untuk disalurkan kepada fakir dan miskin.

Ketika pembayar susah, LZNK mampu memberikan tanda sokongan melalui logo pada produk mereka.

Logo ini juga telah diproses untuk pendaftaran trademark dibawah MyIPO dan pihak LZNK dalam proses menunggu kelulusan.

Insya Allah, akan terjalin mahabbah antara satu sama lain.

Muzakki dan Mustahik berpisah tiada. Keduanya wajib disantuni.

Sebarang pertanyaan dan permohonan borang sijil muzakki sila hubungi :

Jabatan Pengurusan Zakat Korporat

0195591055

atau whatsapp

http://wasap.my/60195591055

Faisal Mustaffa
Jitra, Kedah

Posted in Artikel | Tinggalkan komen

Zakat dan Kemiskinan

102335030_10158334897933149_6345604460881903616_o

Posted in Berita, Uncategorized | Tinggalkan komen

Malu Mengaku Orang Kedah

“Saya malu sebagai orang Kedah,” balas mesej seorang netizen yang mengkritik LZNK dalam sebuah group WhatsApp selepas saya mesej beliau secara peribadi.

Ketika viral sebuah kes baru-baru ini, seseorang yang saya tidak kenali secara terbuka mengkritik pihak zakat di dalam group tersebut. Memandangkan ahli group tersebut mempunyai masyarakat pelbagai latar belakang terdiri daripada anak-anak Kedah yang tinggal di dalam dan di luar Kedah, saya tidak membalas komen tersebut secara terbuka, sebaliknya mengirim mesej secara peribadi kepada beliau.

Ditambah lagi dengan masalah “hoarding disorder” yang mereka hadapi, menambah lagi belas kasihan netizen kepada mereka. Menyimpan sampah tanpa dibuang dan hidup bersama-sama dengan sampah di dalam dan di luar rumah.

Apabila beliau mengkritik secara terbuka, saya mengambil pendirian untuk tidak menjawab secara terbuka tetapi mengirim mesej kepada beliau secara tertutup kerana di dalam group tersebut juga terdapat salah seorang ahli Lembaga Zakat Negeri Kedah. Tidak manis sekiranya bersuara di hadapan orang yang saya hormati dalam keadaan panas tersebut.

Sebagai salah seorang anak Kedah yang berada di perantauan, beliau malu menjadi anak Kedah, tetapi di Kedah masih ada kemiskinan seteruk kes tersebut. Beliau malu dengan pengurusan zakat di Kedah yang gagal membasmi kemiskinan.

“Saya tak malu, tuan. Kerana kemiskinan ini ada di mana-mana sahaja. Kami berusaha membasmi kemiskinan sedaya upaya kami dengan dana yang ada. Tidak seperti di sesetengah negeri kaya, kami terima hakikat Kedah negeri kedua KDNK terendah di Malaysia. Jadi kayu ukur sebagai negeri kedua termiskin,” balas saya.

Apabila beliau menyatakan beliau tinggal di salah sebuah negeri maju di Malaysia, saya menghantar satu kes kemiskinan di negeri tersebut yang hampir sama dengan kes viral di Kedah.Kes tersebut saya sudah panjangkan kepada pihak zakat negeri tersebut dan ianya dalam makluman mereka. Sudah lebih setahun, tetapi tidak mahu berubah kerana sikap.

Selepas penjelasan demi penjelasan, nada beliau berubah dan meminta izin untuk berhenti berbincang isu tersebut.

Bagi saya, tidak adil bagi seseorang yang telah keluar dari Kedah lebih 20 tahun, menghakimi pengurusan kemiskinan di Kedah hanya berdasarkan satu kes viral. Sudah tentu ada kisah di sebaliknya.

Saya menyakini bahawa di peringkat awal viral kemiskinan, orang akan menyalahkan agensi zakat. Tetapi jika kemiskinan itu berlaku di seluruh Malaysia, maka peluru yang ditujukan kepada pihak zakat akan beralih kepada pihak kerajaan.

Bajet zakat setahun lebih kecil daripada bajet pembasmian kemiskinan oleh kerajaan. Agihan zakat adalah kepada 8 asnaf termasuk disana fakir, miskin, fisabilillah, amil, muallaf dan sebagainya.

Kemiskinan bukan isu Kedah, tetapi isu negara. Bukan hanya isu Malaysia, tetapi isu dunia.

Kemiskinan tidak mengenal bangsa, bahkan juga merentas agama seperti yang dibincangkan di dalam buku Why Nations Fail: The Origins of Power, Prosperity, and Poverty.

Jika diselak lembaran setiap negeri dari utara ke selatan, timur dan barat, maka akan ada orang miskin yang setara dengan kes viral di Kedah.

Beberapa hari selepas itu, viral satu kes di Johor. Kemudian di Negeri Sembilan. Hari ini viral kes kemiskinan di Kuantan, Pahang.

Kini netizen mula membangkitkan persoalan, agenda pembasmian kemiskinan oleh kerajaan selama ini gagal?

Kepada orang Kedah, jangan malu kita orang Kedah. Kepada anak-anak Kedah di perantauan, walaupun sudah lama menetap di luar Kedah, jangan malu apabila viral kemiskinan di Kedah kerana setiap apa yang berlaku ada kisah di sebaliknya. Kemiskinan bukan hanya isu Kedah, tetapi kemiskinan adalah isu nasional. Ada di mana-mana sahaja.

Faisal Mustaffa
Jitra, Kedah

Posted in Artikel, Zakat | Tinggalkan komen

Miskin Kerana Malas

“Maaf cakap Tuan Syeikh. Salah satu penyebab berlaku kemiskinan adalah LELAKI YANG MALAS”, ujar Prof Madya Dr W.A. Amir Zal dalam forum “Kemiskinan dan Kesejahteraan” sempena SKIK 2020.

Menurut Prof Madya Dr Wan Amir Zal, Pengarah Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan UMK, salah satu punca kemiskinan yang sukar untuk diatasi adalah lelaki yang malas. Samaada ketua keluarga atau anak lelaki yang malas untuk bekerja.

Tanpa beliau menafikan, sememangnya ada orang yang miskin kerana tiada daya upaya dan perlu diberikan ikan sepanjang hidup. Misalnya orang tua, orang sakit, miskin disebabkan anak ramai dan sebagainya.

“Bayangkan Tuan Syeikh. Bila kami turun untuk menjalankan penyelidikan ke rumah-rumah orang miskin, mereka masih lagi tidur lena diwaktu pagi”.

Jika penyelidik yang menjalankan kajian dilapangan pun menemui perkara sedemikian, apatah lagi masyarakat setempat dan institusi yang menjaga kebajikan golongan ini.

Berdasarkan kajian beliau, salah satu ancaman kepada golongan miskin yang malas ini adalah “social capital” atau modal sosial. Tanpa menafikan modal sosial di Malaysia adalah tinggi, dimana ramai rakyat Malaysia cakna akan kemiskinan. Disamping dana yang diberikan oleh kerajaan, rakyat cukup bermurah hati untuk membantu golongan yang memerlukan.

Namun begitu, kebaikkan ini boleh membawa kepada keburukan bagi golongan miskin malas.

Modal sosial ini perlu diseimbang, tidak boleh berkurang dan tidak boleh berlebihan. Air yang kurang gula akan tawar, jika terlebih membawa kepada penyakit. Begitu juga ubat, jika diambil dibawah dos tidak menjadi penawar tetapi jika berlebihan akan menjadi racun membawa kepada kematian.

Bahkan P Ramlee menunjukkan kepada kita dalam memberikan kasih sayang kepada anak-anak didalam filem Anakku Sazali, jika anak-anak terlalu dimanja dan diberikan kasih sayang maka disana kita seolah-olah membuka pintu kerosakkan kepada mereka.

Begitu juga dengan orang miskin yang malas.

Pernah suatu ketika melawat sebuah agensi yang turut menyediakan dana bagi membasmi kemiskinan. Bagi tujuan meningkatkan taraf hidup golongan ini, pihak agensi telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan seperti bantuan penternakan binatang seperti kambing, lembu, lembu tenusu, bantuan latihan teknikal berkaitan jentera pertanian, bantuan dan bimbingan perniagaan dan pemasaran produk dan pelbagai bentuk bantuan.

Apabila diberi kambing, kambing habis dijualnya. Diberi mesin rumput, penyembur racun, baca dan sebagai semua habis dijual. Apabila diadakan latihan dimana pihak agensi datang ke rumah dan menyediakan elaun harian, datang sehari dua kemudiannya terus tidak datang kerana malas.

Jika yang bersikap sedemikian adalah seorang ayah, maka ianya berpotensi berjangkit kepada isteri dan anak-anak.

Pada waktu pagi bangunnya lewat. Menjelang malam, menghabiskan masa dikedai kopi. Belum dicampur lagi dengan aktiviti tidak berfaedah yang dijalankan.

Malas bekerja kerana mahu bangun lewat, menghabiskan masa menahan burung, main dam aji, memancing tanpa ada batasan waktu, tikam ekor dan sebagainya. Lebih parah apabila mula mencuba air ketum, dadah dan sebagainya.

Lebih parah mereka berasa selesa dengan bantuan yang diperolehi daripada pihak berwajib dan masyarakat. Ini adalah realiti masyarakat.

Jika penduduk ditaman-taman perumahan, kondominium dan banglo-banglo mewah tidak kenal jiran tetangga, bertegur sapa sekali sekala ketika bertemu disurau atau kenduri kendara. Tetapi masyarakat kampung mereka saban hari hidup bermasyarakat saling tegur menegur antara satu sama lain.

Lebih mudah untuk berpeleseran seperti bersekedudukan tanpa nikah, parti liar dan sebagainya diperumahan kerana jiran tetangga tidak ambil peduli. Jiran tidak peduli, imam masjid pun tidak peduli. Tiada makan minum pun tiada siapa peduli. Sakit demam, jika tiada keluarga hanya sendiri-sendiri.

Tetapi jika berlaku dikampung-kampung, jika ada kes bersekedudukan tanpa nikah, pesta liar dan sebagainya imam secepat mungkin akan turun serta melaporkan kepada pihak berwajib. Jika tiada makan dan minum, ada jiran tetangga yang menghulurkan bantuan. Sakit demam, jiran tetanggalah yang akan membantu untuk dibawa ke klinik walaupun jiran tetangga itu tidaklah kaya.

Itu realiti kehidupan masyarakat kampung. Dibulan Ramadan bertukar juadah jiran tetangga. Bagi yang miskin akan menerima juadah dari jiran tetangga. Adakah perkara ini berlaku diperumahan elit? Jika ada mungkin kes terpencil, tetapi hidangan diatas meja lebih banyak dibeli dibazar ramadan berbanding hasil air tangan jiran setaman.

Jika viral sesuatu isu, mereka cepat menunding jari orang itu salah, orang ini salah. Tetapi tanpa mereka sedari, disana juga ada ramai orang yang mempunyai hati nuraini seperti mereka.

Ketika kita menyangka hanya kita sahaja mempunyai hati, diluar sana ribuan manusia turut mempunyai hati seperti kita. Bahkan mungkin lebih suci dan bersih daripada kita.

Mungkin sudah tiba masanya untuk kita mencipta antivirus kepada penyakit malas ini.

Siru ala barakatillah.

Faisal Mustaffa
Jitra, Kedah

Posted in Artikel, Zakat | Tinggalkan komen

Pengurusan Ekonomi Peribadi Dalam Tempoh COVID 19

Semalam sempat mendengar bual bicara atas talian oleh Dr Aznan Hasan dengan Syeikh Zakaria Othman bertajuk “Ibrah Nabi Yusof AS Dalam Perancangan Jangka Panjang”.

Apa yang menarik adalah, selain perbincangan ibrah terhadap pengurusan kewangan negara, Dr Aznan juga menyentuh berkenaan dengan pengurusan peribadi atau rumah tangga.

Di dalam Al Quran, Allah merakamkan aspek perlaksanaan pengurusan ekonomi di dalam ayat 47-49 melibatkan 3 fasa. Fasa pertama zaman kemakmuran sebelum berlaku bencana, fasa kedua zaman bencana dan fasa ketiga fasa kejayaan selepas berjaya mengharungi bencana.

Mafhum firman Allah SWT ayat 47-49 Surah Yusof :

“Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan dibulirnya kecuali sedikit untuk kamu makan. (Ayat 47) –

Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), kecuali sedikit dari (bibit gandum) yang kamu simpan. (Ayat 48).

Kemudian setelah itu akan datang tahun yang padanya manusia diberi hujan (dengan cukup) dan dimasa itu mereka memeras anggur”. (Ayat 49)

Daripada ayat 47, beberapa ibrah dapat diambil bagi tujuan pengurusan ekonomi peribadi dan rumah tangga.

Antaranya :

Pertama : Bertanam Tujuh Tahun (lamanya) Sebagaimana Biasa.

Dalam tempoh PKP ini, jika berkemampuan untuk menghasilkan pendapatan, maka maka berusahalah. Bagi pekerja disektor awam dan swasta yang tidak terjejas maka pendapatan akan beroleh seperti biasa.

Bagi peniaga, ada yang terjejas dan ada yang meningkat.

Prof Dr Hamka menyatakan bahawa, bertanam tujuh sebagaimana biasa ini mesti dilakukan secara bersungguh-sungguh. Maka bagi golongan yang mempunyai ruang untuk mendapat pendapat lebih samaada didalam sektor makanan atau perniagaan atas talian, maka gunakanlah ruang sebaiknya.

Keduanya : Biarkan Dia Pada Tangkai-Tangkainya.

Apa yang menarik disentuh oleh Dr Aznan berkenaan dengan tafsiran “Biarkan dia pada tangkai-tangkainya” adalah bagaimana wang yang kita perolehi mesti disimpan sebahagiannya untuk menghadapi kesusahan mendatang.

Perolehan ini termasuk moratorium yang diberikan oleh Bank Negara yang memberi pelepasan kepada kita tidak membayar pembiayaan peribadi, kereta, rumah dan sebagainya. Ini juga termasuk pengeluaran KWSP akaun dua yang boleh dikeluarkan bagi menampung perbelanjaan pada musim COVID 19 ini.

Wang yang disimpan, bukan disimpan dalam akaun biasa, tetapi mestilah disimpan dalam akaun yang memberi jaminan serta pulangan yang terbaik. Sebagai contoh didalam akaun simpanan tetap jangka pendek atau simpanan dalam Tabung Haji, Koperasi dan sebagainya yang mempunyai pulangan yang lebih daripada biasa.

Teringat kupasan Dr Basri Ibrahim, Ketua Pengurusan Syariah PNB ketika menghadiri Bicara Maqasid Pelaburan PNB di UUM sebelum ini, jika pada musim bukan darurat, kita mungkin boleh menyimpan harta dalam bentuk aset seperti rumah, tanah dan sebagainya. Tetapi dalam fasa darurat, wang tunai itu lebih penting bagi tujuan menghadapi sebarang kemungkinan.

Jika wang disimpan dalam bentuk aset, risiko yang boleh dihadapi antaranya apabila berlaku musibah kita perlu mencairkan aset untuk untuk berbelanja. Risiko lain pula muncul dimana proses untuk mencairkan aset bukan mudah dan mengambil tempoh yang panjang. Hari ini jual rumah bukan akan terus terjual terutama dalam tempoh suasana ekonomi yang tak menentu ini. Kecualilah kita mempunyai lebihan tunai ditangan yang mencukupi.

Oleh itu, penting juga kita menyimpan dalam bentuk tunai dan melabur didalam insitusti kewangan yang selamat yang memberi pulangan yang baik dan terjamin. Jika terdapat kemudaratan, maka dalam tempoh yang singkat mampu untuk berbelanja dengan rizab kewangan yang ada.

Ketiga : Sedikit Dari Bahagian Yang Kamu Jadikan Untuk Makan.

Di dalam fasa COVID 19 ini, kita perlu mendidik diri kita untuk berjimat cermat. Berbelanja dengan mengukur poket sendiri.

Perbelanjaan wajib bulanan perlu dikemaskini semula termasuk bil utiliti mengikut keperluan berdasarkan pendapatan dan rizab kita ada. Misalnya jika sebelum ini astro pakej penuh, mungkin boleh dikurangkan kepada pakej biasa atau Astro Njoi.

Kebiasaannya, pada bulan Ramadan pola berbelanjaan rakyat Malaysia akan meningkat berbanding bulan biasa. Sewajarnya perbelanjaan Ramadan pada tahun ini boleh dibuat secara sederhana.

Bukan hanya Ramadan, tetapi sambutan Aidilfitri pada tahun ini juga wajar disambut secara sederhana.

Hal demikian kerana, impak pasca COVID 19 ini akan berlanjutan sehingga 6 bulan 12 tahun kepada ekonomi dunia dan negara kita khususnya. Maka beringatlah.

Untuk Golongan Fakir Miskin?

Mungkin ada yang bertanya, relevenkah pengurusan ini untuk golongan yang langsung tidak berkemampuan seperti asnaf fakir dan miskin serta hilang pekerjaan?

Bagi golongan yang langsung tidak mempunyai pendapatan maka dikisahkan juga di dalam Surah Yusof melalui kisah adik beradik beliau yang datang dari Palestin untuk meminta bantuan khususnya makanan yang diterjemahkan dalam bentuk gandum.

Maka disana, menjadi tanggungjawab kerajaan melalui agensi yang ada untuk membantu golongan ini seperti mana Nabi Yusof membantu abang-abang beliau yang datang memohon pertolongan.

Golongan masyarakat terutama jiran tetangga dan ahli keluarga juga perlu menghulurkan tangan bagi membantu mereka yang memerlukan disaat ini.

Bagi golongan ini, pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah berusaha membantu mereka melalui agihan bekalan makanan secara berperingkat sehingga akhir Ramadan bagi memastikan seluruh rakyat di Negeri Kedah tidak terputus bekalan makanan. Agihan makanan juga dijalankan oleh pihak kerajaan melalui pejabat ADUN dan Parlimen, NGO, JKM dan agensi-agensi lain serta perseorangan.

Agihan ini sebagai pelengkap kepada bantuan wang tunai yang diberikan oleh kerajaan melalui Bantuan Prihatin Nasional yang diberikan kepada seluruh rakyat Malaysia yang berkelayakan.

Faisal Mustaffa
Jitra, Kedah

Nota : Ulasan ini sebahagiannya adalah olahan penulis yang memetik konteks daripada perbahasan Dr Aznan semalam.

Posted in Artikel | Tagged | Tinggalkan komen

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030

Perkongsian berkaitan dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) kepada peserta Simposium Belia Pendokong Cabaran Perdana yang dirasmikan oleh YB Simon Ooi Tze Min pagi ini di UUM.

WhatsApp Image 2019-12-03 at 10.18.45 AM

Para peserta turut memberi pertanyaan dan respon termasuk supervisor saya iaitu Dr Nurizah Aripin terutamanya berkaitan dengan kehendak industri kepada graduan dalam menghadapi Ekonomi Digital.

Menyentuh secara sepintas lalu berkaitan dengan 3 objektif WKB 2030, 15 prinsip panduan, 7 teras strategik, 8 pembolehdaya, 9 kumpulan sasaran serta 15 aktiviti pertumbuhan ekonomi utama (KEGA).

Selain itu turut dikongsi berkaitan dengan falsafah rukun negara, MDG, SDGs dan jurang pendapatan serta agenda keterangkuman antara wilayah yang menjadi kunci utama untuk mengimbangi perkembangan ekonomi antara bandar dan luar bandar.

Terima kasih kepada pihak penganjur yang “memaksa” saya untuk menghadam WKB 2030.

Turut sama hadir, Mr Goh wakil Kementerian Pendidikan Malaysia, wakil PPD, para pensyarah dan para pelajar.

Mohd Faisal Mustaffa

ustfaisal@gmail.com

Facebook : Faisal Mustaffa

#wkb2030
#wawasankemakmuranbersama2030

 

Link pembentangan :

 

Posted in Artikel | Tinggalkan komen

Ulama Dan Kemerdekaan

Tercatat dalam lembaran sejarah,
Bumi bertuah ini pernah dijajah,
Satu persatu bangsa menjarah,
Hasil mahsul bumi bertuah,

Portugis,
Belanda,
Siam,
British,
Jepun,

Silih berganti, silih menjajah,
Dibantu sang bedebah berpaling tadah,

Bangkit ulama memandu arah,
Bukannya angkuh menunjuk juah,
Menentang talibarut serta penjajah,
Bergadai nyawa, bergadai darah,

Pondok bukan hanya tempat menadah,
Berzikir bermunajat diatas sejadah,
Siang malam strategi digubah,
Melunas taklifan juga amanah,

Membawa semangat Lailahailallah,
Muhammadur Rasulullah,

Tekad mempertahan bangsa bermaruah,
Agama dijunjung dijulang megah,
Walaupun jasad tersungkur rebah,
Syurga dan redha Allah sudah ditempah,
Kepada mereka ku kirim Al Fatihah,

Dedikasi kepada,
Syeikh Abdul Samad Falimbani
Tuan Guru Haji Abdul Hassan Munas,
Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong

Dan seluruh ulama dan pejuang kemerdekaan Tanah melayu yang bermujahadah,
Semoga kita bertemu dipintu Jannah,

 

Faisal Mustaffa
Alor Setar, Kedah

Sempena Forum Peranan Ulama dan Institusi Pondok Dalam Kemerdekaan di Menara Zakat pada 19 September 2019.

Posted in Puisi | Tinggalkan komen

Asap Peparu Nusantara

Gunung Ledang Hilang,
Gunung Tahan Hilang,
Gunung Jerai Hilang,
Gunung Keriang Hilang,

Menara Kuala Lumpur Hilang,
Menara Alor Setar Pun Hilang,
Pencakar Langit Tidak Dapat Di Bilang,
Angkara Asap Kapitalis Sang Petualang,

Mentari Pagi Hilang,
Purnama Malam Pun Hilang,
Bulan sudah tidak cemerlang,

Anak Menteri Batuk,
Anak Marhaen Batuk,
Anak Menteri Batuk Masuk Berita,
Anak Marhaen Batuk Tahan Derita,

Sekolah Tutup,
Pasaraya Buka,
Tadika Tutup,
Panggung Wayang Buka,

Pintu Masjid Sentiasa Terbuka,
Mengetuk Hati Bekalan Ke Pusara,

Anak-anak bergelak tawa,
Ibu Bapa Pening Kepala,

Semuanya Angkara Asap Hutan,
Diceroboh Kapitalis Tidak Berperikemanusiaan,

Si Miskin Terus Miskin Selamanya,
Si Kaya Terus Kaya Raya,

Komoditi Sawit Turun Harga,
Kesan Amarah Dunia Pada Kita,
Dek Rakus Menjarah Peparu Nusantara,

Kerana wahyu Ilahi sudah tertera,
Musnahnya dunia angkara tangan tangan manusia.

Faisal Mustaffa
Alor Setar, Kedah

Posted in Puisi | Tinggalkan komen

Di Sebalik Sepinggan Delima

Disebalik sepinggan Delima,
Tersirat seribu makna,
Jerit perih kehidupan,
Sepasang kekasih kurang upaya,

Itulah sesuap nasi dihari esok,
Untuk ayah,
Untuk ibu,
Untuk anak-anak si jantung hati,

Walau pancaindera tidak sempurna,
Tidak pula meminta-minta,

Biar miskin,
Biar papa,
Biar dihina,
Biar dipandang sebelah mata,

Mengerah kudrat yang ada,
Biarpun dipesisir duduk bersila,
Tanpa pangkin dan bumbung,
Menjemput rezeki yang belum kunjung,

Mengharap janji yang pasti,
Insan bernyawa tersedia haknya,
Sehingga nyawa dijemput Ilahi.

Faisal Mustaffa
Pasar Malam Kepala Batas
Alor Setar, Kedah

Posted in Puisi | Tinggalkan komen

Menara Alor Setar International Jump 2019

“Malam ni mai naik Menara Alor Setar tengok terjunan malam. CEO Menara Kuala Lumpur pun ada”, mesej Mohd Syafiq Kamil.

Ketika sampai di atas platform Menara Alor Setar, turut berada disana adalah Dato’ Rozlan Mohamad, CEO Menara Kuala Lumpur, Puan Haslinda Abdul Rashid, Pengurus Menara Alor Setar dan Tuan Iskandar Zulkarnain Mohamad Ali, Pegawai PRO JPJ Negeri Kedah.

Ketika, menaiki lif ke atas secara kebetulan kami bertemu dengan Justin, salah seorang penerjun daripada Carlifornia, Amerika Syarikat. Beliau sanggup datang semata-mata untuk melakukan terjunan selama 3 hari di Alor Setar dan kemudiannya terus pulang ke Carlifornia selepas selesai terjunan di Alor Setar. Setakat semalam, dimaklumkan beliau telah melakukan lebih kurang 24 terjunan berbanding penerjun lain hanya sekitar 4-6 terjunan.

Menurut Justin, pada tahun lepas beliau turut sama beraksi di Menara Kuala Lumpur, tetapi pada tahun ini beliau hanya beraksi di Alor Setar dan tidak dapat menyertai terjunan di Kuala Lumpur yang dijadualkan pada 26 hingga 28 September 2019.

Pada terjunan terakhir semalam, beliau sempat melakukan aksi ‘Back Flip’ sebaik melompat daripada platform. Menurut Tuan Syafiq Kamil, Justin merupakan penerjun paling cekap berbanding penerjun lain. Beliau mampu menyiapkan lipatan payung terjun sekitar enam minit sahaja berbanding yang lain lebih daripada 20 minit.

Bagi Justin misalnya, peluang untuk beliau melakukan ‘BASE jump’ bukan mudah di negara beliau. Misalnya, sekiranya di Carlifornia untuk sekali terjunan daripada bukit, mereka perlu mendaki bukit. Untuk tiba dipuncak memakan masa lebih kurang 4 hingga 5 jam dan kemudiannya turun membuat satu terjunan.

Berbanding di Menara Alor Setar atau Menara Kuala Lumpur, mereka boleh terjun dan kemudiannya dengan cepat naik kembali untuk melakukan terjunan seterusnya. Jika tiada halangan angin, dalam tempoh sejam mereka boleh melakukan dua kali terjunan.

Tidak hairanlah beliau ‘pulun’ naik turun terjun tanpa henti untuk mencipta rekod peribadi melakukan jumlah terjunan maksimum dalam tempoh tiga hari berkampung di Menara Alor Setar.

Di Menara Alor Setar semalam, terjunan hanya boleh dilakukan pada sebelah pagi dan petang selepas jam 5. Ini kerana, pada waktu tengah hari terjunan terpaksa ditangguhkan kerana angin kuat.

Kami juga berkesempatan bertemu Kapten Norizan, antara ‘sifu’ kepada penerjun di Malaysia. Sudah berusia 60 tahun lebih, tetapi masih tegar melakukan terjunan walaupun sudah beberapa kali mengalami kecederaan.

“Terjunan ni gian. Kalau dah pernah rasa nak terjun lagi. Pelik dak orang berani buat kerja gila macam ni. Tapi puas”, beritahu Kapten (B) Zainol.

Menurut beliau, terjunan dari menara ini dinamakan terjunan ‘BASE’ adalah level yang paling tinggi bagi seorang penerjun kerana jarak yang rendah. Terjunan jenis ‘BASE’ adalah singkatan kepada ‘Building’, ‘Antenna’, ‘Span’ dan ‘Earth’. Seseorang penerjun perlu mempunyai ilmu dan kemahiran ‘sky jump’ atau terjunan daripada kapal terbang pada aras yang tinggi.

Penerjun juga mesti tahu ilmu untuk melipat payung terjun sendiri sebelum melayakkan mereka untuk melakukan ‘BASE jump’. Dengan melipat sendiri payung terjun, ianya akan menanam keyakinan yang tinggi penerjun terhadap kebolehan diri sendiri dan set terjunan yang dimiliki. Menurut Kapten (B) Zainol lagi, harga satu set alat terjunan lebih daripada RM 18,000.00 dan dibeli sendiri oleh penerjun bebas atas dasar minat.

Berbanding ‘sky jump’ yang mempunyai dua payung, ‘BASE jump’ hanya mempunyai satu payung dan mempunyai risiko yang lebih tinggi. Berbanding terjunan daripada kapal terbang, lazimnya payung terjun mereka akan dilipat oleh orang lain. Jarak untuk membuka payung juga lebih tinggi.

Menurut Kapten (B) Zainol, sepanjang melakukan terjunan atau melihat aksi terjunan banyak peristiwa manis atau tragis yang disaksikan dihadapan mata beliau. Ada yang cedera, patah dan ada yang meninggal dunia. Di Thailand, pernah ketika beberapa orang penerjun melakukan aksi terjunan daripada Kapal Terbang. Jurukamera yang bertugas tanpa sedar turut sama terjun. Apabila tersedar, rupa-rupanya beliau terjun tanpa memakai payung terjun.

“Gian terjun ni. Sebab boleh Nampak permandangan cantic dari atas. Boleh main macam burung dengan kawan-kawan diawangan’, beritahu Kapten Norizan lagi.

Kepada seluruh rakyat Negeri Kedah dan serta Pulau Pinang dan Perlis, ‘Menara Alor Setar International Jump 2019’ masih berbaki lagi dua hari. Ambillah peluang untuk membawa anak-anak melihat aksi penerjun yang jarang sekali dapat kita lihat di Alor Setar ini.

Hari ini terjunan bermula jam 8.00 pagi hingga 10 malam dan esok hari Jumaat dari jam 8.00 pagi sehingga 12.00 Tengah Hari.

‘Insya Allah tahun hadapan Menara akan bayar zakat di Kedah sebab keseluruhan pengurusan Menara Alor Setar akan diambil alih oleh Menara Kuala Lumpur’, beritahu Dato’ Razlan Mohamad kepada saya.

Terima kasih Menara Alor Setar atas jemputan. Terima kasih juga kerana mempunyai impian dan harapan untuk membangunkan para asnaf di Negeri Kedah.

Semoga Menara Alor Setar yang menjadi mercu tanda Negeri Kedah terus maju dan cemerlang. Semoga kecemerlangan ini juga menjadi rahmat buat para asnaf yang melihat sayup menara nun disana.

Faisal Mustaffa

Alor Setar, Kedah

#menaraalorsetar

#menaraalorsetarinternationaljump2019

#menarakualalumpur

#visitalorsetar

#kedahtourism

Posted in Pelancongan | Tinggalkan komen

Kak Ani Nasi Kerabu Sungai Petani

Pagi ini singgah di Ani Nasi Kerabu, Sungai Petani. Pelbagai menu yang menarik. Boleh menjadi tempat singgahan bila datang ke Sungai Petani.

Hari Jumaat, ada Nasi Dagang gulai ikan ‘aya’.

Lokasi :

Kak Ani Nasi Kerabu

Bandar Puteri Jaya, 08000 Sungai Petani, Kedah

017-457 6982

https://goo.gl/maps/v1Ay5Skkz8dfbFit6

Posted in Makan | Tinggalkan komen

Tugu Tsunami, Kota Kuala Muda, Kedah

Image may contain: 3 people, including Faisal Mustaffa and Hamidi Mohd Nor, people smiling

Dalam keheningan tatkala moyang pergi dijemput ilahi, kelihatan tiang bergoyang seperti lalang ditiup angin. Ketika itu, aku sedang bercangkung ditepi sawah padi merenung ke arah laut yang nun disana kelihatan Pulau Langkawi dan jauh lagi di sana adalah Acheh.

“Apa sudah jadi pada diri ini”, bisik hati kecilku.

“Gempa bumi”, kata seorang tua disebelahku.

26 Disember 2004, tarikh yang mengingatkan saya kepada dua peristiwa. Kematian moyang dan berlakunya gempa bumi di Acheh.

Image may contain: sky, shoes and outdoor

Walaupun kami yang berada dipesisir laut Kuala Kedah dilanda tsunami seperti kawasan Kota Kuala Muda dan Pulau Pinang, tetapi goyangan bumi tetap terasa. Acheh musnah umpama terkena ledakan atom seperti yang dialami oleh bandar hiroshima.

Itu kali pertama saya merasai sendiri bumi ini bergoyang seolah-olah kepala ini kemabukan. Bagaimana tidak, tiang elektrik yang keras kelihatan bergoyang! Air beralun-alun.

Satu persatu peristiwa yang berlaku sejak akhir-akhir memberikan mesej penting daripada Allah kepada kita. Bumi yang didiami ini semakin hari semakin kerap meluahkan “amarahnya”. Banyakkan beramal. Tinggalkan maksiat. Mudah-mudahan Allah selamatkan kita.

Semoga Allah kurniakan keselamatan kepada sahabat-sahabat kita yang dilanda musibah ini.

Image may contain: outdoor

Hari ini Alhamdulillah buat kali pertama menjejakkan kaki selepas hampir 15 tahun ombak Tsunami membadai penduduk dipesisir laut Kota Kuala Muda. Disebabkan terlewat, hanya sempat bergambar tetapi tidak sempat masuk ke dalam kawasan berpagar.

Terletak tidak jauh daripada Mee Udang, Pulau Sayak.

Faisal Mustaffa
5 September 2019
Kota Kuala Muda

Posted in Kedah | Tinggalkan komen