Mencari Masalah Sebenar

“Fokus kepada ‘real problem’, bukannya ‘presenting problem’ dalam sesuatu isu”, pesan Ustaz Pahrol ketika dalam perjalanan pulang daripada sebuah program motivasi.

Kejadian ini berlaku sekitar hujung tahun 2009. Pejam celik, sudah hampir 13 tahun.

Ketika itu, kami berdiskusi tentang penulisan. Saya bertanya bagaimana beliau menulis.

Beliau menekankan supaya, penulis mestilah berupaya menulis masalah sebenar bukannya masalah yang dilihat.

Ketika itu, beliau memberikan perumpamaan pokok.

Masalah yang dilihat umpama daun, buah, batang dan sebagainya yang boleh dilihat dengan mata. Tetapi jika itu yang ditulis, ianya bersifat sementara dengan apa yang hanya ada didepan mata. Tidak mampu memberikan penyelesaian yang baik.

Tetapi jika seorang penulis mampu menelaah ‘akar pokok’ yang ditamsilkan sebagai permasalahan sebenar, maka disana penulisan yang dihasilkan lebih kuat dan mampu memberikan penyelesaian. Walaupun masalah tidak dapat diselesaikan, tetapi memberi pencerahan dan membuka pintu untuk orang berfikir dalam mencari penyelesaian.

Mencari permasalahan sebenarnya, bukanlah suatu perkara yang mudah. 

Jika dalam pasukan keselamatan seperti polis memerlukan unit khas seperti perisikan, forensik dan sebagainya untuk mencari ‘akar’ bagi sesuatu permasalahan berkaitan dengan jenayah dan keselamatan, maka begitu juga bagi seorang penulis.

Perlu kepada bimbingan, latihan, praktis dan juga pengalaman. Yang lebih penting, mempunyai mentor untuk memberikan petunjuk serta pedoman disepanjang jalan.

Jom latih diri kita menjadi ‘problem solver’ dengan kita sentiasa berfikir tentang ‘real problem’.

Semoga kita menjadi sebahagian daripada orang yang sentiasa memberikan solusi.

Dr Faisal Mustaffa

Alor Setar, Kedah

Posted in Artikel, Cetusan Idea | Tinggalkan komen

Jangan Biarkan Bulan Berlalu Pergi

“Bulan januari hampir berlalu. Apa yang dah disasarkan? Apa yang sudah mula dilakukan? Apa yang sudah dicapai?”, tanya seorang jurulatih dalam program latihan kepada peserta.

Bulan januari sudah meninggalkan kita. Jangan biarkan apabila masuk ke Januari kita masih kita seperti hari ini. Tiada sebarang perubahan. 

Sambil menulis teringat lirik lagu Junaidah 365 yang menggabungkan bulan-bulan bermula daripada bulan Januari sehingga Disember. Berkaitan dengan waktu meninggalkan kita dirakamkan dalam bait berikut :


“Ogos kian menjelma
Sehingga terlupa
September meninggalkan kita”

Seringkali ditanya bagaimana untuk mencipta perubahan diri dan sentiasa kekal dalam perubahan yang diingini.

Sudah pastilah soalan yang ditanya sukar untuk dijawab melainkan kita merujuk kepada orang-orang yang berjaya. 

Kerana, jika kita ingin berjaya pelajarilah daripada orang-orang yang berjaya dan ambillah iktibar daripada orang yang gagal samaada gagal disebabkan berusaha untuk berjaya atau sebaliknya. Daripada orang yang gagal, renungilah asbab kegagalan mereka dan cuba untuk memperbaiki diri dengan pengajaran tersebut.

Untuk merubah hidup kita dalam bulan-bulan yang bakal dilalui ini, cubalah untuk melakukan beberapa perkara berdasarkan perkongsian tokoh-tokoh yang berjaya :

Pertama : Hindarilah Individu ‘Toksid’

Individu toksid adalah golongan yang sentiasa bercakap perkara negatif, memandang rendah kepada orang lain, sukar menerima perubahan dan juga menjadi pembawa virus kepada orang lain.

Jika kita mendekati mereka, semangat kita akan luntur dan tidak akan sedia untuk berubah.

Kedua : Komitmen 500% Kepada Matlamat

Untuk memberikan kita sentiasa komited dengan matlamat diri sendiri, kita mestilah menulis matlamat tersebut. Bak kata pepatah cina, ‘sesamar-samar tulisan, lebih baik daripada hafalan’.

Apabila kita menulis, kita akan mengukuhkan lagi matlamat peribadi kita dan akan sentiasa sedar pada tahap tertinggi tentang apa yang kita inginkan dalam hidup.

Ketiga : Belajar Daripada Kesilapan

Untuk berjaya, jangan takut kepada kesilapan. Kesilapan adalah antara guru penting dalam kehidupan. Belajarlah daripada kesilapan diri sendiri dan orang lain, kerana setiap kesilapan itu sudah pasti mahal harganya.

Berani membuat kesilapan, bukan bermaksud kita perlu membuat silap pada setiap masa. Tetapi ianya adalah komitmen kita untuk memperbaiki diri dari semasa ke semasa.

Keempat : Sentiasa Meningkatkan Kemahiran Diri Yang Sesuai Dengan Keperluan Semasa

Jika kita memakai telefon bimbit samaada iphone atau android, dari semasa ke semasa kita perlu ‘update’ sistem telefon bimbit kita.

Misalnya, bagi iphone dari semasa sistem iOS akan diupdate dari semasa ke semasa dan kini telah mencapai iOS 15.3. Setiap kali pengguna mengupdate sistem iOS, maka akan ada penambahbaikan pada sistem operasi telefon bimbit kita.

Begitu juga dengan kita, dari semasa ke semasa kita perlu mengupdate diri kita. Jika kita hanya ‘beroperasi’ dalam hidup dengan ilmu yang dicari 10 tahun dulu, mungkin ada beberapa tindakan kita pada hari ini dianggap ketinggalan zaman. 

Kelima : ‘Mencipta Semula’ Diri

Dari semasa ke semasa, kita perlu membuat pernilaian terhadap diri kita. Apabila kita mempunyai kekuatan dan kesedaran yang tinggi terhadap diri kita, maka disana sudah pasti kita akan mampu sentiasa mencipta identiti diri kita berdasarkan kepada kesesuaian semasa. 

Bersediakah kita untuk mencipta perubahan dalam diri? Atau perlukah kita berubah?

Tepuk dada tanya diri. Hanya kita mampu menjawabnya.

Dr Faisal Mustaffa

Jitra, Kedah

Posted in Artikel, Dakwah | Tinggalkan komen