Salah satu daripada hal berkaitan dengan kemiskinan yang menjadi perbualan hangat pada masa kini adalah isu berkaitan dengan tersebarnya kisah-kisah kemiskinan yang tidak mendapat pembelaan sebaiknya daripada pihak kerajaan dan institusi berwajib, tetapi diambil berat oleh aktivis-aktivis NGO berkaitan .
Bantuan yang diberikan diviralkan di media sosial dalam keadaan yang menyedihkan dan ianya menimbulkan rasa kurang senang masyarakat terhadap pihak berwajib dalam menguruskan perkara berkaitan dengan kemiskinan.
Di barat, kemiskinan yang dipotretkan bagi tujuan meraih simpati mendapatkan dana dikenali sebagai “poverty porn”. Jika diterjemahkan ianya membawa maksud sebagai “kemiskinan pornografi”. Oleh kerana istilah agak kurang sesuai digunakan dalam masyarakat tempatan, penggunaan istilah ‘pemerdagangan kemiskinan’ lebih sesuai bagi tujuan memahami hal ini.
‘Pemerdagangan kemiskinan’ ini merujuk kepada bagaimana isu berkaitan dengan kemiskinan digunakan dan diambil peluang melalui saluran media yang ada bagi tujuan meraih simpati dan mendapatkan sokongan daripada pelbagai pihak.
Melalui aktiviti ‘pemerdagangan kemiskinan’ ini, media yang digunakan oleh sesetengah pihak memaparkan seolah-olah kemiskinan yang melanda sesebuah kawasan itu begitu dahsyat sehingga menimbulkan kesan emosi yang mendalam kepada penonton.
Ianya juga menyebarkan persepsi yang salah dan separuh masak terhadap agenda pembasmian kemiskinan yang ada didalam sesebuah masyarakat.
Sedikit bantuan yang diberikan, apabila dipotretkan dan disebarkan melalui media ianya menenggelamkan bantuan yang diberikan oleh pihak berwajib.
Sedangkan disebalik isu yang diviralkan itu terdapat pelbagai isu-isu lain yang saling berkait. Misalnya isu sosial seperti masalah dadah, kemalasan dan sebagainya. Selain itu juga, wujud kes dimana terdapat sebahagian golongan yang mempunyai kemampuan dan memiliki harta, tetapi sengaja mengambil peluang untuk meraih simpati bagi tujuan mendapatkan bantuan.
Bagi sesebuah organisasi kebajikan, pemerdagangan kemiskinan dieksploitasi bagi tujuan mendapatkan simpati bagi tujuan mengutip dana.
Manakala bagi organisasi politik, pemerdagangan kemiskinan menjadi senjata untuk menonjolkan agenda kebajikan yang dibawa bagi tujuan meraih undi didalam pilihanraya.
Ditambah pula dengan faktor ‘sensasionalisme’ menjadikan ianya lebih hangat dan sensasi diplatform media baharu pada hari ini. Unsur sensasionalisme inilah yang memikat dan membujuk netizen untuk terus simpati dan dalam pada masa yang sama menunding jari menyalahkan pihak berwajib yang dilihat gagal dalam menguruskan isu berkaitan kemiskinan ini.
Perkara yang kecil, digembar-gemburkan oleh media seolah-olahnya ianya bencana besar yang tidak diambil endah disetiap peringkat pentadbir yang ada.
Pernah suatu ketika, dunia hollywood pada tahun 1999 mewajahkan melalui melalui filem ‘Entrapment’ yang memaparkan suasana kemiskinan di Melaka dan dibelakangnya tersergam binaan KLCC. Perkara ini menimbulkan kemarahan Perdana Menteri pada ketika itu. Ketika lawatan Perdana Menteri ke Amerika selepas itus, beliau secara sinis meminta supaya wartawan merakamkan kemiskinan dan gelandangan di negara “Uncle Sam” tersebut, tetapi mereka tidak melakukannya.
Tun Mahathir di dalam buku Dr Umum secara kesimpulannya membuat rumusan bahawa, isu kemiskinan bukan hanya di Malaysia tetapi juga di Amerika.
Isu kemiskinan adalah isu seluruh dunia. Semakin maju dan kaya sebuah negara, akan muncul rakyat yang tidak bernasib baik disebabkan oleh pelbagai faktor dan keadaan.
Walaupun terdapat golongan miskin, pembangunan infrastruktur dan ekonomi negara mesti terus dipacu demi masa depan yang lebih cemerlang. Pembangunan harus dilaksana selari dengan pembasmian kemiskinan dalam masyarkakat.
Walaupun dari sudut undang-undang, ‘pemerdagangan kemiskinanan’ bukanlah suatu jenayah tetapi ianya boleh menyumbang kepada bahaya moral (moral hazards) jika tidak dibendung dan ditangani dengan baik oleh pihak berkuasa.
Sebagai golongan yang bijak dan waras, kajilah terlebih dahulu sebelum menyalahkan pihak berwajib.
Faisal Mustaffa
Jitra, Kedah