Warta Kasih Dua Hati

Saya merenung “warta kasih dua hati” teman-teman seperjuangan. Semakin hari semakin bertambah ditampal di dinding rumah. Lawa-lawa belaka. Biru, merah, ungu, hijau dan beberapa kaler yang menjadi hiasan kad jemputan perkahwinan mereka.

Masih terngiang-ngiang perbualan saya sebelum perkahwinan kakak. Mak menyatakan hasrat hatinya yang mahukan kad biasa sahaja diedarkan bagi menjemput hadirin ke majlis walimah tersebut. Kad kebiasaan yang digunakan oleh masyarakat biasa di Kedah. Hanya bermodalkan sekeping A4 yang dilipat empat. Maklumatnya sama seperti kad yang mahal, tetapi kosnya hanya sekitar 4 atau 5 sen sahaja seunit. Yang lebih kualitinya sekitar 40 sen sehingga RM 1.00 sekeping.

Ini kerana, sekiranya kita menjemput tetamu seramai 1000 orang, andai digunakan kad yang mahal sudah tentu kita dah berhabisan duit semata-mata untuk mencetak kad itu sahaja. Lainlah orang berada, mampu mencetak kad yang agak mahal ini untuk semua jemputan mereka.

Tetapi kata emak, sekiranya keluarga kita membuat perkara sedemikian ianya suatu pembaziran jika diukur dari sudut kemampuan. Andai mahu dicetak dua versi iaitu yang murah dan mahal. Kad yang murah digunakan untuk menjemput orang susah dan kad yang mahal digunakan untuk menjemput orang berada.

Lagilah emak tidak bersetuju. Inilah pesanan Syeikh Hamid Tahir ketika emak mengikuti kuliah fekahnya di Mardi.Tidak elok sekiranya membezakan darjat semasa menjemput walimah. Allah menjemput manusia ke rumah-Nya pun tanpa ada perbezaan antara miskin dan kaya.

Andai mahu dicetak kad yang mahal, berilah kad itu untuk semua jemputan tanpa ada perbezaan. Tetapi andai tidak mampu, minimumkan kos tersebut. Salurkan kepada perkara lain yang lebih penting untuk menjayakan walimah tersebut.

Betul kata emak, orang bukan melihat pada mahalnya kad yang kita guna, tetapi kepada ikhlasnya hati kita. Ada orang yang menggunakan kad yang mahal harganya, tetapi lenggang khemah kendurinya. Walaupun semasa kenduri kakak emak hanya menggunakan kad yang murah, tetapi kenduri tersebut begitu ramai orang yang hadir. Tidak cukup tangan dibuatnya.

Lain orang lain cara pandangnya. Tetapi pandangan masing-masing ada kelebihan dan kebaikkannya. Cara memandang inilah yang membina persepsi dan sikap masing-masing. Mungkin cara pandang emak adalah salah satu daripada cara pandang terhadap kad walimatul urus ini. Ia juga mungkin terbina daripada kondisi emak sendiri yang lahir dan bangun daripada kesusahan dan tahu betapa susahnya untuk mencari wang dalam meneruskan hidup. Sebab itulah emak berhati-hati di dalam berbelanja supaya wang yang digunakan tidak membazir secara sia-sia.

Saya menulis ini bukan bermaksud saya menolak warta dua hati yang agak mahal harganya. Tetapi saya hanya mengenangkan si ibu yang tidak berkehendakkan sedemikian. Kehendak ibu jugalah yang perlu diutamakan. Tidak rugi, bahkan lebih jimat.

Kepada teman-teman yang bakal memasuki gerbang perkahwinan, saya doakan semoga kalian terus bahagia. Selamat pengantin baru, semoga kekal ke anak cucu.

Selamat ber Baitul Muslim kepada:
1. Abdul Halim Hakimi Bin Hussien dengan pasangannya Fakhriyyah
2. Hannan & Fathurrahman
3. Abang Dzulkhairi dan Kak Rai (Naqib saya)
4. Habib

5.Wan Afifi

6.Abg Yus

This entry was posted in Cetusan Idea. Bookmark the permalink.

5 Responses to Warta Kasih Dua Hati

  1. noorul bariyyah berkata:

    salam…
    sy pun setuju dgn pendapat ustaz…
    pape pun biar la ape yg kte buat tu ikhlas dan x membebankan org lain…
    bru la semua org akn mendoakan kebahagiaan kte…
    insyaAllah…

  2. Faisal Mustaffa berkata:

    Mudah-mudahan kerja yang kita buat ikhlas.

  3. great gurl berkata:

    amboi pakchan….tgn ni da gatai2 mau trima kad awk…huhu

  4. sue jaafar berkata:

    salam, terima kasih atas nukilan ini.. sungguh bernas & menarik.. betul tu, tiada bezanya antara kita, yang penting kita menjemput org, dgn penuh rasa rndh diri & kesyukuran pada Allah, & berdoa moga majlis dipermudahkan..lncar=)

  5. Faisal Mustaffa berkata:

    Great Gurl: Lambat lagi la akak..Hehe
    Sue : terima kasih atas komen. Masing-masing ada rasa kehendak masing-masing

Tinggalkan komen